BISA PERTAMA

Majlis Kenduri Kesyukuran Ayam Golek Baling (AGOBA) dan Special Project Bisa Pertama diadakan sebagai tanda syukur pada Allah yang mengurniakan rezeki kepada Bayeng Black.

Dalam mengharungi dunia perniagaan, bukan Bayeng atau lebih mesra dengan panggilan Abang Black tidak pernah jatuh tetapi katanya, Allah tetap membuka pintu rezeki kepada beliau untuk meneruskan perniagaan ayam golek dengan resipi asal yang dipelajarinya dari Baling, dibawa ke Kuala Lumpur.

Menurut Abang Black, apabila beliau berhasrat untuk meraikan penduduk Baling dalam satu majlis kesyukuran sebagai menepati janjinya kepada para sahabat, kenalan dan keluarga yang sebelum ini menyokong perniagaan ayam goleknya, hari ini, beliau memperkenalkan kepada penduduk Baling tentang Special Project Bisa Pertama yang menampilkan dua penyanyi lelaki berlainan genre, Uchop Ahmad (Vokal Bukan Sekadar Rupa) dan Irwan Mentor Otai.

Untuk nota, kedua-dua penyanyi lelaki ini lahir daripada program realiti televisyen.

agoba

UCHOP AHMAD dan anaknya, Iskandar turut menghiburkan penduduk Baling yang hadir pada majlis Kenduri Kesyukuran AGOBA, Special Project Bisa Pertama, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE/HASNURUL MOHAMED

Usai majlis kenduri kesyukuran AGOBA, Abang Black berkata, beliau berterima kasih atas kunjungan penduduk Baling pada majlis tersebut.

"Saya gembira dan bersyukur, majlis berjalan lancar dengan kehadiran pelajar-pelajar tahfiz dari Ma'ahad Tahfiz dan Pengajian Islam Darul Hijrah, Kampung Tandop, Mukim Siong, Baling.

bikers agoba

BAYENG BLACK komposer dan penulis lirik lagu Bisa Pertama mendapat sokongan padu daripada rakan-rakan Big Bikers Club Kedah ketika menganjurkan majlis Kenduri Kesyukuran AGOBA, Special Project Bisa Pertama di Baling, Kedah. - UTUSAN ONLINE/HASNURUL MOHAMED

"Saya juga merasa terharu dengan kehadiran Big Bikers Club Kedah yang walaupun mereka ini sibuk dengan Kedah International Bike Week 2019, mereka tetap hadir memeriahkan majlis kenduri kesyukuran kali ini," katanya.

Mengakui dirinya bersandarkan kepada lagu ciptaan yang diperam selama 22 tahun, Bisa Pertama diteruskan dengan special projek iaitu memperkenalkan lagu Bisa Pertama ini secara lebih meluas.

Katanya, untuk kelainan yang luar biasa, dalam Special Projek Bisa Pertama, Abang Black memilih Uchop Ahmad dan Irwan untuk bergandingan menyampaikan lagu ciptaan beliau sepenuhnya.

"Apabila kita bercakap tentang special project, kena faham di situ bahawa Bisa Pertama ini juga boleh dinyanyikan oleh penyanyi lain dalam negara kita.

"Menggandingkan Uchop dan Irwan bukan sahaja mampu mencetuskan kelainan tetapi penerimaan peminat lagu Bisa Pertama juga perlu diambil kira.

"Justeru, sebagai komposer dan penulis lirik lagu Bisa Pertama, saya berpuas hati dengan gaya nyanyian Uchop, dia rock, dan gaya nyanyian Irwan, dia pop balada yang mana suara Irwan ada mirip arwah Salem Iklim," ujarnya.

Abang Black menekankan, Bisa Pertama ialah mahakarya atau master piece beliau dan apabila dua suara berbeza digabungkan untuk melantunkan lagu Bisa Pertama, hasilnya sedap di halwa telinga.

"Saya sedar bahawa saya bukan orang dari dalam industri tetapi saya percaya, lagu Bisa Pertama ini boleh pergi jauh di atas kanvas seni tanah air.

"Maka itulah, saya mendapat maklum balas daripada para pendengar melalui media sosial Facebook. Rata-rata mereka mahu saya tubuhkan Kelab Peminat Bisa Pertama.

"Insya-Allah, dengan penerimaan pendengar yang mengakui terkesan mendengar lagu Bisa Pertama, Kelab Peminat Bisa Pertama akan diwujudkan tidak lama lagi," jelasnya.

Beliau yakin dan percaya, Bisa Pertama mampu berada di tempat yang selayaknya dalam industri muzik Malaysia kerana lagu Bisa Pertama ini amat dekat di hati penggemar muzik. - UTUSAN ONLINE