Ukays yang mula ditubuhkan pada 1989 menganggap tiada peluang dan ruang untuk mereka mengadakan satu persembahan khusus buat pengikutnya dek acap kali berlaku perubahan jadual.

Pun begitu, Ukays yang dianggotai Amy (gitaris), Tokjie (bes), Ali (dram), Well (bes) dan Ady (vokalis) tetap mampu mengukir senyuman apabila berpeluang mengadakan persembahan istimewa hujung minggu lalu.

Bertempat di Hard Rock Cafe (HRC) Kuala Lumpur, Ukays berjaya menghimpunkan hampir 200 peminat.

Selaku ketua kumpulan, Amy akui pelbagai rintangan dan kekangan perlu mereka harungi sebelum dapat menunaikan impian ini.

“Sejak 1997 dan selepas pengunduran Amir, Ukays tak pernah buat konsert besar. Tahun ini baru kami tampil semula dengan harapan mahu mengubati kerinduan peminat.

“Peluang untuk adakan persembahan di HRC memang kami tak lepaskan sebagai hadiah kepada penonton yang hadir,” katanya kepada Mega HITS.

Biarpun tempat Amir digantikan dengan Ady, namun yang jelas jejaka berusia 21 tahun itu mampu menandingi vokal penyanyi asal dan tidak mengecewakan peminat tegar Ukays.

Kata Amy, ketika Ady menghantar demo nyanyiannya menerusi aplikasi WhatsApp, dia terpegun dengan suaranya yang mirip seperti Amir.

“Pada awalnya Ady sekadar penyanyi undangan kami sahaja. Tapi apabila dihayati, suara Ady ada mirip dengan Amir masa dia muda dahulu.

“Jadi saya bawa Ady masuk studio dan perbetul vokal serta beri latihan selama enam bulan sebelum benar-benar bersedia untuk diperkenalkan kepada umum.

“Kami sepakat pilih Ady sebab setakat ini dia calon sesuai untuk merealisasikan setiap konsert Ukays di seluruh Malaysia.

“Sudah tiga tahun Ady bersama-sama kami dan undangan nyanyian di Bentong, Pahang merupakan penampilan pertamanya dengan kami.

“Saya suka kekalkan muzik Ukays yang asal walaupun Ady yang menyanyikan lagu-lagu kami. Boleh dikatakan peminat sudah serasi dan hafal dengan muzik kami jadi tak perlu diberi penambahan lagi,” terangnya.

Bijak berinteraksi

Mempersembah 12 seleksi lagu hits sejak awal penubuhan Ukays hingga kini, kumpulan yang sinonim dengan muzik tangkap leleh itu nyata masih menyengat.

Rata-rata pengunjung yang hadir dilihat menyanyi bersama-sama dari awal hingga berakhirnya persembahan.

Meskipun ruang HRC lompong dan tidak penuh akan tetapi kuasa Ukays tetap menggamatkan suasana pada petang itu.

Selama dua jam Ukays mengajak pendengar setia mereka terbuai dengan alunan suara Ady, selain bijak mengawal pentas membuatkan penonton agak selesa.

Suasana yang pada awalnya agak ‘biasa-biasa’ dihangatkan lagi dengan persembahan vokalis itu dengan peminat di pentas.

Sikap ceria Ady dan sporting penonton yang tidak segan silu menyanyi mencuit hati pengunjung.

Memilih lagu seperti Kembali Mencari, Pahit Akan Manis Akhirnya, medley Seksa dan Sebak, Rythm Si Jantung Hati, Di sana Menanti Di sini Menunggu dan Lepaskanmu Kerana Terpaksa nyata antara pilihan terbaik daripada mereka.

Malah tak dilupakan lagu Rythm Berbunyi Lagi, Bila Diri Disayangi, Kekasihku Di Menara, Kau Satu-Satunya, Siapa Rampas Cintamu dan Kerana Pepatah Lukaku Berdarah turut tidak ketinggalan mengembalikan nostalgia pada awal kegemilangan Ukays.

Kemunculan ‘Raja Report’ iaitu Rani Kulup dan Sometimes Group mengundang sorakan penonton dan membawakan lima buah lagu sebagai menutup tirai persembahan.

Selepas Kuala Lumpur, Ukays dijangka ke HRC Singapura selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.