KUALA LUMPUR 16 Nov. – Pengarah terkenal, Osman Ali (gambar) mengambil positif setiap teguran berhubung penggunaan tajuk drama Isteri Untuk Disewa yang boleh memberi gambaran buruk terhadap Islam.
Osman berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk menambah perkataan ‘bukan’ pada tajuk sebagai menghormati dan bertolak ansur dengan teguran yang dilakukan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Jelasnya, tindakan menukar tajuk drama itu adalah sesuatu yang positif dan terbaik bagi menghormati semua pendapat ter- masuk peminat drama yang sedang ditayangkan itu.

“Pihak mufti sudah menegur dengan baik dan sebagai tin- dakan maklum balas, kami sepakat menukar tajuk drama kepada Isteri Bukan Untuk Disewa. Kami bertolak ansur dan hormat pendapat semua pihak.
“Saya tidak menjangkakan sama sekali isu ini akan timbul tetapi saya sudah merasakan, tajuk itu seperti kurang sesuai. Oleh kerana jalan cerita yang tidak ada kena mengena dengan isu itu, saya biarkan dahulu.
“Tetapi tidak mengapa. Saya anggap isu ini sudah selesai dan demi kebaikan semua pihak, kami tukar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan itu memuat naik gambar di laman sosial menunjukkan beliau sedang menulis sebuah surat terbuka kepada pengarah terkenal itu berhubung tajuk drama tersebut.
Dalam status ter- sebut, Zulkifli berkata, surat itu ditulis berikutan terdapat beberapa isu berhubung isu fiqh dalam drama tersebut.
Dalam pada itu, Osman tidak menafikan kontroversi berhubung tajuk drama tersebut memberikan impak positif dan negatif kepada drama lakonan Fattah Amin dan Tiz Zaqyah itu.
“Memang ada peminat yang marah sangat dengan tajuk drama tersebut dan ada pula yang bersikap positif. Saya ambil setiap teguran secara positif.
“Ada juga yang menganggap ini semua gimik tetapi saya menafikannya. Saya mahu drama tersebut popular kerana jalan cerita bukan gimik,” katanya.