Menerusi video tersebut, Fasha bergelek sakan sambil menayangkan pahanya kepada penonton, sekali gus gelagatnya itu dianggap tidak mencerminkan kesantunan wanita Timur.

Biarpun dikecam teruk, Fasha bagaimanapun tidak mudah melatah, sebaliknya, dia lebih senang mengambil sikap tidak mempedulikan kata-kata orang.

“Suka hati saya nak joget ke, nak menari ke, nak berzumba ke. Saya tak kacau duit mahupun masa awak. Jaga diri ya, ini media sosial saya, jadi suka hatilah nak buat apa,” katanya membalas kritikan salah seorang pengikutnya.

Dalam video yang dimuat naik dalam laman sosialnya itu, Fasha memberitahu, ketika itu dia berada di Kuala Kangsar, Perak menjalani penggambaran filem Cerana Biduk Bu Merah.

Ketika masa lapang di sana, Fasha mengajak rakannya iaitu Miss Aisha (salah seorang penari yang memakai tudung dalam video tersebut) menari selepas ditanya cara aktres it menurunkan berat badan.

Selepas memuat naik video tersebut dan dikecam oleh netizen, pelakon itu dilihat terus menutup ruangan komen.

Bagaimanapun, Fasha yang tidak serik dengan kecaman netizen sekali lagi memuat naik video dengan penampilan yang berbeza bersama empat rakan lain atas permintaan ramai.

Kata Fasha, setiap kali menjalani penggambaran filem, sementara menunggu gilirannya masuk set, dia akan habiskan masa dengan bersenam.

“Berzumba exercise (senaman) pun kena kecam kata sis ini tergedik-gedik menari. Haih, this is what i like (ini yang saya suka), apa masalahnya sayang? Orang yang kecam tu ada masalah hati. Kalau teringin nak join (turut serta), dm (mesej) je (saja) kawan2 (kawan-kawan) sis kat sini k sayang... Kami ni kat gua pedalaman ni, kami je yang tau betapa seksanya berjauhan dengan keluarga dan cinta hati tersayang dalam tempoh yang sangat lama.

“Anak-anak sis pun takde depan mata, kalau ada, nak pegang phone (telefon) pun tak sempat... Ini memang team (pasukan) ni punya fav (minat). Ramai gang Zumba. Daripada membawang hal orang, kami bersenam. Suka tengok k. Tak suka silakan unfollow (berhenti mengikut) segera. Ni album Instagram sis jadi sis punya suka nak buat apa ok.

“Sis dah kata, sis tak suka followers (pengikut) ramai, masalahnya followers (pengikut) sis bertambah naik. Yang kecam tu sebenarnya suka ke sayang? Tepuk dada tanya selera,” kata Fasha mempertahankan dirinya. - UTUSAN ONLINE