Meneruskan legasi pasangan penyanyi dangdut popular, Iwan dan pelakon, Allahyarham Rosnah Mohd. Noor, Aprena sentiasa kuat dan tidak pernah goyah saat melangkah masuk dalam industri lima tahun lalu.

Biar berdepan pelbagai onak duri saat memanjat tangga populariti, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Tiada Arah Jodoh Kita itu akui, setiap cabaran yang dilalui mengajarnya erti kematangan.

Dua tahun lalu, Aprena atau Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 25, pernah ditipu oleh seorang pengarah filem epik, 1875. Meskipun penggambaran yang dilakukan di Pasir Salak, Perak sudah 70 peratus siap, namun sehingga kini dia tidak memperoleh sebarang bayaran.

“Pengarah itu berjanji mahu membayar semua wang para pelakon, tetapi sehingga hari ini sepi tanpa khabar berita. Filem itu pula terpaksa dihentikan disebabkan beberapa faktor masalah dalaman.

“Saya masih mahukan wang saya sebab penggambaran ini banyak membabitkan aksi lasak dan bermacam-macam luka serta kesakitan yang saya hadapi demi menjiwai watak tersebut.

“Perjalanan saya berulang alik dari Kuala Lumpur ke Perak pada bulan Ramadan pun saya tidak dapat sesen pun. Mungkin orang boleh bercakap ini dugaan kecil untuk saya.

“Tetapi kalau anda berada di tempat saya pasti anda akan merasai bagaimana teruknya kami para pelakon menjalani penggambaran,” luahnya.

Bukan sengaja mahu membangkitkan cerita yang sudah bertahun-tahun berlalu, namun tujuan Aprena berkongsi rasa hati itu adalah bagi membuka mata pelbagai pihak agar tidak memperkotak-katikkan hak individu seperti dirinya.

“Tiada siapa nak buat kerja tanpa gaji walaupun hanya RM10. Kalau dia sengaja buat macam itu (tidak membayar bayaran lakonan) memang saya tak puas hatilah.

“Watak saya banyak melibatkan babak lasak dan agak berat. Saya kena masuk lumpur, gua, air terjun dan adegan memijak duri ketika berlari dalam hutan.

"Bayangkanlah bagaimana susahnya saya lakukan semua itu yang penggambarannya dilakukan pada bulan Ramadan. Memanglah saya sukakan cabaran sebab itulah teruja untuk terima filem ini tetapi tak sangka ditipu.

“Saya dan pelakon lain sudah membuat aduan serta berjumpa dengan wakil Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Persatuan Seniman Malaysia untuk membantu masalah ini.

“Tapi yang saya tahu sehingga ke saat ini belum ada apa-apa perkembangan terkini mengenai perkara tersebut,” katanya.

Belumpun isu tersebut selesai, pelakon drama Pinggan Tak Retak Nasi Dingin itu menjadi pula mangsa iri hati salah sebuah produksi yang pernah bekerjasama dengannya sehingga menjejaskan periuk nasinya.

Tanpa mengetahui kesalahan yang dilakukan sehingga namanya dijaja dan diburuk-burukkan sebagai salah seorang artis yang mempunyai masalah displin.

“Semasa nama saya semakin dikenali, sebaik sahaja saya habis penggambaran dengan sebuah produksi, saya ada menerima panggilan telefon daripada seorang penolong produksi yang bertanyakan kesahihan cerita tentang yang didengari.

“Dia kata, ada orang bercerita kepadanya yang saya mempunyai masalah disiplin. Selama bertahun-tahun saya berhempas pulas untuk memahat nama dalam bidang bidang ini, tiba-tiba timbul cerita begini.

“Saya tahu tak ramai yang sukakan kita dan susah nak puaskan hati semua orang. Tetapi mengapa perlu memburukkan nama orang?

“Kalau betullah saya ada masalah disiplin, kenapa selama lima tahun saya bina nama, tak pernah pun ada terdengar cerita buruk tentang saya? Pengarah pun tak senang-senang menawarkan saya watak utama kalau tahu saya ini bermasalah,” katanya melepaskan geram.

Tambah Aprena, dia mahu membuktikan kata-kata nista yang ditujukan kepadanya itu tidak benar sama sekali dan sengaja dilakukan untuk menutup rezekinya.

“Satu sahaja saya nak cakap, bekerjalah dengan saya dulu baru tahu saya ini bermasalah atau pun tidak. Sebab saya bukannya bekerja dengan dua atau tiga produksi.

“Sudah banyak produksi saya pernah jalinkan kerjasama tetapi tidak ada pula cerita buruk dan tak berasas tentang saya kedengaran.

“Saya memang sensitif apabila berbicara bab-bab begini. Ini periuk nasi saya. Selama ini saya bertungkus lumus meraih peluang untuk mengecapi yang saya ada sekarang.

“Tetapi orang lain (pula) senang-senang mahu menjaja cerita palsu untuk menjatuhkan kita,” katanya kecewa.

Bertitik tolak daripada kejadian itu, anak kelahiran ibu kota itu kini semakin berhati-hati dan berwaspada sebelum membuat sebarang keputusan.

“Apabila perkara-perkara seumpama ini berlaku, sedikit sebanyak mematangkan saya. Ini mungkin bahagian dan dugaan yang Tuhan beri kepada saya.

“Saya terima dan anggap sebagai satu pengalaman berharga. Selepas kejadian ditipu, saya kini akan meminta deposit dulu kalau ada mana-mana produksi mahukan saya berlakon dengan produksi mereka.

“Saya belajar daripada kesilapan kerana waktu itu saya masih belum ada pengalaman. Alhamdulillah, lepas satu persatu kejadian, rezeki saya dalam lakonan semakin melimpah ruah,” katanya yang selesa menguruskan karier seninya sendiri.

Pelbagai watak

DARI segi luaran mungkin ada yang menganggap adik kepada pelakon Oktovia Manrose itu seorang yang kurang cenderung melakukan babak aksi dan melibatkan cabaran fizikal.

Hakikatnya, Aprena Manrose seorang yang suka mencuba pelbagai watak, malah tidak gentar untuk menerima sebarang karakter demi menguji kemampuan diri.

“Saya seorang yang penakut tapi pada masa sama, sukakan cabaran. Sebab itulah saya terima tawaran untuk berlakon dalam telemovie Korban Penunggu Hospital.

“Selain itu, tahun hadapan filem Jodoh Syaitan lakonan saya akan keluar menemui penonton. Naskhah ini juga bergenre seram.

“Saya sukakan cabaran, malah kalau boleh selepas ini jika ada peluang saya nak beraksi dalam cerita yang banyak memainkan emosi serta pergerakan tubuh badan. Ini impian saya satu hari nanti,” tuturnya.

Berkongsi perihal peribadi, Aprena yang mendirikan rumah tangga dua tahun lalu tidak menyangka rezekinya lebih banyak hadir selepas berkahwin.

Percaya semua itu kehendak Tuhan yang memberikan jalan mudah untuk dia mencari peluang kerjaya, Aprena menangkis dakwaan kononnya populariti seseorang artis akan hilang selepas membina kehidupan berumah tangga.

“Saya sedar waktu nama sedang berada di puncak, orang tidak tahu latar belakang saya. Tapi bila tiba-tiba rezeki saya semakin banyak, semakin orang menggali tentang diri saya.

“Itu namanya ketentuan Tuhan. Tak ada kena-mengena pun sebenarnya isu sudah kahwin dan hilang populariti atau orang tak mahu ambil kita kerja kalau sudah kahwin.

“Semua itu kerja Tuhan dan kita harus percaya dan yakin dengan-Nya. Cuma mungkin Tuhan bagi saya jalan mudah, tetapi pada masa sama saya juga berusaha serta rajin.

“Aturan Tuhan kepada setiap individu berbeza-beza. Mungkin cara dipermudah dengan dapat tawaran lakonan banyak selepas orang tahu saya sudah berkahwin,” kongsinya lagi.

Terlanjur berbicara, isteri kepada Mohd. Afiq Hazman juga yakin dengan rezeki cahaya mata buat mereka.

Meskipun bersabar menanti kehadiran zuriat, Aprena dan suaminya lebih senang bersikap positif menjalani kehidupan suami isteri tanpa sebarang tekanan.

“Saya beruntung kerana Tuhan hadirkan saya seorang suami dan keluarga mentua yang sangat memahami dan memberi sokongan kepada kerjaya saya.

“Selepas ibu saya meninggal dunia, Tuhan menghadiahkan saya mentua yang penyayang dan saya anggap sebagai pengganti arwah ibu.

“Saya sedar ramai yang bertanya soal anak, malah kami pun tidak pernah merancang.

“Semuanya berbalik kepada rezeki Tuhan. Mungkin buat masa ini Tuhan suruh saya dan suami sibukkan diri dengan bekerja sebab kalau sudah ada anak nanti kena tumpu untuk besarkan mereka pula,” katanya optimis.