Perjalanan Eureka yang dianggotai oleh Haris, Joy Fikri dan Raja dalam industri muzik di Malaysia bermula secara underground dengan menampilkan genre moden rock komersial dan alternatif.

Haris selaku vokalis dan pemain gitar Eureka juga merangkap ketua kumpulan memberitahu, mereka telahpun menghasilkan satu single berjudul Medina.

“Saya bersama Joy Fikri (bass) dan Raja (drum) aktif sebagai pemuzik underground. Bagaimanapun, empat tahun lepas, kami bergabung dan menubuhkan Eureka.

“Tujuan kami untuk memunculkan diri sebagai artis arus perdana adalah kerana karya muzik yang kami hasilkan mahu dikongsi dengan semua golongan penggemar muzik tanah air.

“Oleh yang demikian, Eureka menyajikan muzik yang bermutu dan kami percaya dapat diterima dalam kalangan peminat,” kata Haris.

Menyedari nama Eureka agak unik, Haris memberitahu, eureka adalah bahasa Greek yang bermaksud idea positif dalam satu pencarian.

“Istilah eureka bukan dalam Bahasa Inggeris tetapi bahasa Greek. Dalam konteks lain, eureka bermaksud satu pertembungan dari arah yang berlainan. Jadi, muzik yang kami hasilkan adalah dari arah yang berlainan dan kelainan dalam muzik kami yang ingin ditonjolkan kepada khalayak ramai,” katanya.

Haris berkata, Eureka memerlukan sokongan daripada semua pihak terutamanya media massa dalam membantu memperkenalkan mereka sebagai trio berkumpulan baharu. - UTUSAN ONLINE