Atas sebab itu, pelakon Sabrina Ali, 38, mengakui dia tidak pernah berfikir tentang perkara yang satu itu sepanjang lima tahun kebelakangan ini. Lebih tepat lagi selepas rumah tangga kali keduanya dengan Syed Amirul Syed Ahmad berakhir pada 2014.

Bukan dia tidak pernah dihimpit dengan lelaki yang serius untuk memperisterikan dirinya selepas itu, cuma hatinya masih tawar lagi. Barangkali belum bersedia untuk kembali ke alam rumah tangga.

“Bukan sekali tetapi dah dua kali rumah tangga saya tak berjaya. Sebab itu, saya trauma jika isu tentang bila nak berkahwin ini dipersoalkan lagi. Mental saya betul-betul ‘koyak’ selepas apa yang telah terjadi.

“Begitu juga dengan dalaman saya, tak pulih lagi. Saya masih trauma dengan kegagalan dua kali perkahwinan saya. Jadi lebih baik jangan fikir tentang soal kahwin lagi,” katanya mengulas perihal peribadi.

Pun begitu pelakon filem Munafik ini tidak pernah menutup hatinya untuk bercinta dengan lelaki. Cuma kali ini pendekatannya lebih terburu-buru untuk menamatkan zaman solonya itu.

Ibu kepada tiga orang anak ini juga tidak pernah meletakkan sebarang harapan tinggi pada hubungannya kali ini. Sebaliknya dia hanya menyerahkan segala-galanya kepada suratan takdir untuk penentuan terakhir.

“Saya kini sedang berkawan dengan seseorang. Dia bukan artis tetapi hanya lelaki biasa. Hubungan kami berjalan lancar disebabkan persefahaman yang sedang dibina. Saya tidak berahsia tentang status dan kehidupan sepanjang kami berkawan.

“Tapi jangan ditanya tentang perancangan seterusnya kerana semuanya masih kabur lagi,” katanya berterus terang mengenai hubungannya yang dibina setahun lalu.

Menerusi perkahwinan pertama dengan Syed Amirul pada 2011, pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki, Syed Aryan Khan,7, dan Syed Adrian Khan, 5.

Sebelum itu, Sabrina pernah berkahwin dengan Shahrin Mohd. Abdul Halim pada 2006 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ariyana, 12.

Membimbing

BERKONGSI tentang kriteria lelaki idaman, Sabrina memberitahu dia hanya menginginkan lelaki yang mampu membimbing dirinya ke arah kebaikan. Mengakui diri masih tidak sempurna, dia memerlukan seseorang yang dapat melengkapkan dirinya.

Tidak juga memandang harta benda atau susuk tubuh, apa yang penting adalah lelaki itu sentiasa mengingatkan dirinya untuk berubah. Sabrina berazam untuk menjadi isteri terbaik selepas ini.

“Kalau betul-betul saya berjodoh dengan seseorang selepas ini, saya berdoa agar lelaki itu daripada orang baik-baik. Yang boleh terima semua kekurangan dan kelebihan kita.

“Maklumlah kita bukannya semakin muda, sebab itu kena sentiasa beringat-ingat. Kita berkahwin bukan untuk kehendak diri sendiri, tetapi untuk memenuhi tanggungjawab anak-anak yang semakin membesar,” ujarnya.

Kena jaga penampilan

Anda kelihatan berseri-seri sekarang ini, semua ini penangan teman lelaki ke, maklumlah tengah bercinta?

Sabrina: Tidak sama sekali. Saya memang seorang yang menjaga kesihatan dan kecergasan diri sejak zaman muda lagi. Kenalah jaga penampilan diri. Saya memang menjaga tubuh badan, nak ‘pakai’ lama bukan.

Atau dalam kata mudahnya, Sabrina sekarang ini sedang memasang badan sebagai persiapan menjelang perkahwinan, mana tahu...

Sabrina: Janganlah sangka yang bukan-bukan. Kalau saya memasang badan sekali pun, semua itu untuk kepuasan diri. Saya buat demi kebaikan dan kecergasan diri supaya cergas sepanjang masa.

Tapi tak semua wanita yang mengalami nasib macam Sabrina amalkan cara sebegini bukan?

Sabrina: Itulah masalahnya. Ada segelintir wanita merasakan kehancuran rumah tangga itu bermaksud berakhirnya seluruh kehidupan, sebaliknya tidak. Sepatutnya kaum wanita perlu lebih yakin selepas apa yang berlaku. Menjaga penampilan adalah antara senjata utama wanita yang mahu move on, lari daripada kesilapan lalu.