TONTON filem Polis Evo 2 dulu, kemudian nilai.

Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu & Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, Polis Evo 2 telah mendapat kelulusan untuk ditayangkan dan pihaknya sudah bertemu dua mufti untuk mendapatkan nasihat.


“Filem ini menyampaikan kesan buruk sekiranya kegiatan ajaran sesat tidak dibanteras. Ada isu kemanusiaan dan agama yang kita angkat supaya menjadi teladan semua.


“Pihak kami sudah bertemu Mufti Wilayah Persekutuan dan Mufti Perlis untuk mendapatkan nasihat. Semua karakter yang dipaparkan adalah rekaan semata.


“Bagi saya, kita harus tonton filem ini dahulu sebelum membuat keputusan. Trailer tidak menggambarkan keseluruhan filem. Saya yakin masyarakat akan menyokong filem ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini mengeluarkan kenyataan untuk menyiasat dakwaan kononnya filem tersebut memberi imej buruk kepada Islam.


Tindakan itu berikutan kenyataan Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Dr. Riduan Md. Nor yang menggesa rakyat Malaysia memboikot filem itu atas untuk memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat dalam filem itu.


Sementara itu, dalam kenyataan balas, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Norman Halim menyifatkan tindakan semak semula filem itu adalah tidak adil kerana Polis Evo 2 sudah mendapat kelulusan.


Filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew yang menampilkan gandingan Shaheizy Sam, Zizan Razak dan aktres Indonesia, Raline Shah itu akan mula ditayangkan pada 22 November depan. - UTUSAN ONLINE