Serik berdepan dengan tempoh merawat luka itu juga menyebabkan pelakon drama Suamiku Paling Sweet yang sedang ditayangkan di TV3 ini enggan terjerumus ke kancah percintaan sekali lagi.

Biarpun ada saja lelaki yang menghulurkan cinta selepas putus cinta, namun tidak mudah bagi pemilik nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid ini memulakan hubungan baharu.

Lagipun definisi Mawar terhadap cinta sejati itu tinggi. Seperti kisah cinta abadi Shah Jehan terhadap Mumtaz hingga sanggup membangunkan Taj Mahal semata-mata untuk mengingati isterinya itu.

Maka tidak mudah bagi Mawar yang memegang teguh prinsip cinta sejati itu untuk sewenang-wenangnya mempermainkan kesucian cinta. Jauh sekali melukakan hati mana-mana lelaki.

“Kalau diukur dari segi usia, memang saya masih muda lagi. Tak layak pun nak komen panjang-panjang dalam bab cinta ini. Maklumlah pengalaman bercinta tak banyak.

“Lagipun kalau diikutkan, saya ada banyak lagi masa untuk bercinta bagi menguatkan pemahaman saya tentang cinta. Lepas itu, barulah boleh sembang panjang tentang soal cinta bukan?

“Tapi sebenarnya dalam urusan mencari cinta sejati ini, saya memilih untuk menjadi seorang yang teliti dalam memilih seorang yang paling layak dijadikan teman hujung nyawa.

“Bukan memilih sangat, cuma tak nak tersalah langkah. Nanti saya juga yang sakit kemudian hari,” jelas Mawar menghuraikan definisi cinta sejati secara peribadi.

Sepanjang perjalanan untuk bertemu cinta sejati, Mawar kemudiannya berkenalan dengan Raden Ahmad Faizal Yaakob, 32, menerusi teman baiknya, pelakon Emma Maembong lebih sebulan lalu.

Ahmad Faizal merupakan adik kepada Datuk Fazley Yaakob, penyanyi lagu Asmara Ini dan juara program realiti masakan MasterChef Selebriti Malaysia pada 2012.

Lelaki yang sama pernah dikaitkan bercinta dengan Emma sebelum ini. Bagaimanapun Emma menafikan perkara tersebut sebaliknya mendakwa hubungan mereka terjalin atas dasar kenalan keluarga masing-masing.


Keluarga Emma dan Ahmad Faizal berkawan baik sejak kecil apabila bekerja di bawah satu bumbung yang sama. Emma pula merupakan kawan baik Mawar.

Biarpun Ahmad Faizal merupakan seorang duda yang mempunyai dua anak menerusi perkahwinan terdahulu namun itu bukan penghalang buat masing-masing untuk merasai kehebatan cinta sejati.

Baik Mawar mahupun pihak Ahmad Faizal, masing-masing dilihat sekepala dalam pelbagai perkara biarpun 10 tahun jurang perbezaan usia mereka berdua.

Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan laluan persahabatan mereka menjadi mudah apabila berkongsi banyak perkara yang sama sejak mengenali hati budi masing-masing.

Sementelah keluarga masing-masing turut merestui hubungan sedia ada ditambah dengan kelancaran hubungan komunikasi sedia ada, secara tidak langsung menyebabkan Mawar selesa setiap kali bersama.

“Kami dalam peringkat mengenali hati budi. Untuk itu, saya rasa tidak elok kalau menggembar-gemburkan hubungan (cinta) ini kerana masih terlalu baharu.

“Apa pula kata orang kalau saya dilihat bersungguh-sungguh dalam hal ini. Mana tahu dalam ada yang suka, ada juga pihak yang tak suka dengan pendekatan terbuka sebegini.

“Satu lagi, sebagai perempuan saya perlulah tahu batasan dan tata susila dan adab hidup dalam masyarakat Melayu ini. Mana boleh semberono dan ikut kepala saya sendiri,” ujarnya lagi.

Pilihan lelaki

MEMBUKA topik tentang pilihan hati, Mawar menafikan sekeras-keras yang dia memandang kekayaan seseorang sebagai jaminan untuk melancarkan hubungan sebelum ke peringkat lebih serius.

Sebaliknya Mawar lebih tertarik melihat kebaikan budi dan kematangan seseorang dalam mengawal situasi-situasi tertentu sebagai permulaan sebelum proses berkenalan pergi lebih jauh.

“Lelaki bonus itu umpama satu bonus buat rata-rata wanita yang menginginkan hubungan yang lebih terjamin. Tapi saya tidak menganggap perkara ini sebagai kemestian.

“Kalau benar kita boleh hidup bahagia tanpa harta sekalipun, asalkan di sisi orang kesayangan saya reda. Kenalah percaya bahawa rezeki itu di mana-mana.

“Pucuk pangkalnya, kita perlulah rajin untuk mencari rezeki. Kalau malas, memang sampai bila-bila pun tak ada peningkatan dalam hidup,” ujarnya lagi.

Begitu juga dengan soal status dan latar belakang calon suami, Mawar sama sekali tidak akan memandang perkara tersebut kerana setiap manusia pasti ada cerita tersendiri.

Paling penting, Mawar mementingkan soal taat pada ajaran agama, bertanggungjawab dan jujur sebagai kriteria penting buat seorang lelaki paling layak dijadikan bakal suami.

Ini kerana Mawar merasakan ketiga-tiga kriteria berkenaan perlu ada bagi menguatkan lagi rasa hormat dirinya kepada bakal imamnya satu masa nanti.

“Tak salah kalau kita awal-awal lagi dah ada senarai kriteria imam pilihan. Mana tahu selepas ini apa yang kita angan-angankan itu menjadi kenyataan,” katanya penuh optimis.

Semakin stabil

MENGULAS tentang kerjaya, Mawar bersyukur kerana kehadirannya dalam industri hiburan semakin diterima apabila rezekinya tidak pernah putus sejak dua tahun lalu.

Nyata antagonis yang dijayakan dalam drama Tundukkan Playboy Itu pada tahun lepas itu telah membuka mata penerbit dan stesen televisyen untuk menilai kemampuan lakonannya.

Lebih membanggakan lagi, rezekinya dalam bidang lakonan juga tidak henti-henti apabila namanya semakin mendapat perhatian dari semasa ke semasa.

“Selain bidang lakonan, saya juga sedang mengintai peluang dalam bidang pengacaraan. Sekarang ini saya dalam proses untuk menajamkan kemahiran dalam bidang pengacaraan yang bakal diterokai tidak lama lagi.

“Sebenarnya saya memang sukakan cabaran dan sentiasa teruja untuk melakukan sesuatu yang baharu. Kesukaran itu yang akan membuatkan saya lebih bersungguh-sungguh untuk melihat kemampuan sebenar saya.

“Mungkin pada hari ini, peminat memandang sepi kemampuan sebenar yang ada pada Mawar Rashid. Tapi mana tahu pada dua tahun lagi, jenama Mawar Rashid itu semakin kukuh dan dikenali ramai.

“Inilah harapan saya,” kata Mawar yang sedang menjalani penggambaran drama berjudul Assalamualaikum YB untuk TV9 ini.