Mana tidaknya, bukan hanya sebagai pemain keyboard dan vokal utama, malah bos syarikat Republik Cinta Management itu adalah mastermind yang menjadikan Dewa 19 sebagai ikon terbesar dalam sejarah muzik di Indonesia. Mereka berjaya membawa karya-karya merentasi sempadan persada muzik antarabangsa.

Namun, ketiadaan pemuzik genius berusia 46 tahun itu yang kini sedang dipenjara, sedikit pun tidak menjejaskan konsert yang diberi nama Dewa 19 Feat Ari Lasso and Once Mekel Reunion Live in Malaysia yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, Sabtu lalu.

Ari, Once ubati kerinduan

Hampir 10 tahun tidak mengadakan persembahan mega di Kuala Lumpur, band legenda yang berasal dari Surabaya ini mengubat kerinduan peminat dengan sebuah konsert fantastik yang mengimbau nostalgia sejak penubuhannya pada 1986.

Baik Ari Lasso mahupun Once, dua bekas vokalis band rock ‘terhormat’ negara seberang ini telah memberi sepenuh jiwa dan tenaga mereka sepanjang beraksi di konsert tersebut.

Tidak ketinggalan formasi empat lagi anggota iaitu Andra selaku pemain gitar utama, Yuke (bass) dan dua pemain drum iaitu Agung dan Tyo Nugros menguatkan lagi jentera Dewa 19.

Istimewanya, dicelah pemuzik-pemuzik senior itu terselit seorang anak muda berbakat berusia 19 tahun, Abdul Qodir Jaelani atau panggilan manjanya Dul. Anak bongsu Ahmad Dhani ini mengambil alih posisi ayahnya sebagai pemain keyboard.

Selama tiga jam, konsert dimulakan dengan persembahan pembuka oleh kumpulan Andra and The Backbone dengan koleksi lagu mereka yang pernah memikat halwa telinga peminat muzik tempatan.

“Satu penghormatan buat kami diberi kepercayaan menjadi pembuka salah satu band legenda di Indonesia”, kata Andra.

Suasana bertambah hangat apabila Andra mengajak seluruh penonton bernyanyi bersama lagu hit Sempurna dan persembahan mereka diakhiri dengan lagu Hitam.

Kehangatan berterusan dengan penampilan Ari, 46, mengambil alih pentas mendendangkan 10 lagu seperti Restoe Bumi, Manusia Biasa, Takkan Ada Cinta, Persembahan dari Surga, Kirana dan Elang.

“Apapun yang terjadi, konsert tetap diteruskan. Malam ini tiada pertengkaran, kita semua satu hati. Kita juga tidak setuju dengan narkotika (dadah),” kata Ari menyapa peminat sebelum meneruskan persembahan.

Dia bersama Dewa 19 bermula dari 1991 hingga 1999.

Hati kental Dul

Dalam kerancakan itu, suasana stadium bertukar sentimental saat Ari mendedikasikan lagu Hadapi Dengan Senyum dan Cintakan Membawamu Kembali, kepada Ahmad Dhani. Lebih menyentuh emosi penonton, ketika dua lagu itu dinyanyikan, pada layar skrin di kiri dan kanan pentas terpapar gambar-gambar memori Ahmad Dhani bersama keluarganya.

Ketika itu juga Dul tidak mampu menahan air mata lalu menangis sambil tangannya masih ligat bermain keyboard. Melihat semangat anak sahabatnya itu mula goyah, Ari pantas memeluk dan memenangkan Dul. Penonton juga bersorak dan melaungkan kata-kata semangat kepada Dul.

Selain Dul, Ari sempat memaklumkan anak sulung Ahmad Dhani, Al Ghazali (Al) turut hadir dan berada di belakang pentas. Dul, Al dan seorang lagi iaitu El Rumi (El) merupakan zuriat hasil perkongsian hidup Ahmad Dhani bersama bekas isteri, penyanyi Maia Estianty sebelum bercerai pada 2008.

Menghampiri pukul 11 malam, giliran Once mengambil alih pentas. Bersama sorakan penonton, vokalis yang pernah tersenarai dalam 50 Penyanyi Terbaik Indonesia Sepanjang Zaman oleh majalah Rolling Stone itu memulakan aksi dengan rakaian lagu hit daripada lima album Dewa 19. Antaranya lagu Pangeran Cinta, Sayap Patah, Dua Sejoli, Hidup Adalah Perjuangan, Dewi dan Risalah Hati.

“Sejak bersama Dewa 19, ini baru kali keempat saya membuat persembahan di konsert dan menyanyikan lagu yang paling banyak di konsert Dewa 19,” katanya saat berinteraksi bersama penonton sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Perempuan, Pupus dan Arjuna.

Sama seperti Ari, Once juga memberikan apresiasinya tersendiri kepada Ahmad Dhani dengan mengajak Dul membantu mengiringinya ketika mendendangkan lagu Angin. Kali ini Dul menunjukkan pula bakatnya bermain gitar.

“Ini satu kenangan yang manis buat saya. Dul, terima kasih atas bantuannya ya. Semoga ayah kamu Ahmad Dhani melihat ini semua dan terus menghadapi dengan tabah dan semoga kamu menjadi pemuzik yang hebat.” kata Once.

Kemuncak konsert menyaksikan gandingan Ari dan Once berkongsi pentas menyanyikan lagu seperti Roman Picisan, Kangen, Kamulah Satu-satunya dan Separuh Nafas.

Secara keseluruhan, Ari, Once dan rakan-rakan serta Dul berjaya meninggalkan satu memori indah buat penonton yang melangkah keluar dari stadium dengan senyuman. Mungkin juga ada yang berkata di dalam hati, walaupun Ahmad Dhani tidak ada tapi reunion ini tetap dan masih sempurna.