Menurut Zulin, dia sendiri rasa terganggu apabila setiap lagu yang dihasilkan acapkali dikait rapat dengan kisah dukanya itu.

Katanya, apa yang dihasilkan dalam melodi lagu-lagu miliknya adalah seperti mana yang selalu dilakukan oleh komposer lain dan bukan mengenai dirinya semata-mata. Jadi tidak wajar jika dikatakan dia masih bermain dengan emosi sedih.

.

“Orang serik melihat saya seperti terlalu terdesak mencari cinta sehingga setiap kali saya menyanyi lagu-lagu sedih mereka akan tanya adakah saya sedang bersedih? Kenapa? Adakah saya tidak boleh menyanyikan lagu-lagu sebegini.

“Wany Hasrita dari lagu pertama sehingga sekarang, semua lagu cinta. Begitu juga penyanyi lain, tapi orang tak kata apa-apa. Cuma bila Zulin Aziz yang menyanyi, saya terus dikatakan terdesak.

“Saya belum terdesak lagi nak bercinta dan saya ada kehidupan yang baik, jadi janganlah buat saya begini,” luah Zulin ketika ditemui dalam sidang akhbar Gegar Gempak Raya 2019 di Dorsett Putrajaya, baru-baru ini.

Enggan lagi bercerita soal cinta kepada umum, jelas Zulin, dia juga tidak terdesak untuk menjaja kisah sedih bagi meraih cinta atau perhatian umum. Oleh itu, dia membuat keputusan untuk tidak lagi bercerita kepada umum soal cinta dan perkahwinan.

“Saya serik nak berkongsi kisah perkahwinan sebab takut tak jadi macam dulu. Jadi, selepas ini saya tidak akan berkongsi lagi kisah cinta mahupun kahwin. Kalau betul-betul saya akan berkahwin sekalipun, biarlah umum mengetahuinya selepas majlis itu selesai.

“Biar majlis itu hanya untuk keluarga dan tak perlu buat besar-besaran. Saya lebih suka begini daripada berterusan dilabel sebagai wanita terdesak mencari cinta,” jelas Zulin yang popular dengan lagu, Dan ketika Itu.

Berniaga Ramadan

Terbabit dengan program jualan Gegar Gempak Raya 2019 yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 Mei ini bertempat di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) selama 72 jam tanpa henti, menurut Zulin, dia akan berniaga bersama lebih 400 usahawan termasuk selebriti .

“Untuk tahun ini saya banyak ikut program jualan selebriti, malah sepanjang Ramadan saya ada lebih empat buah gerai di dalam dan luar negara.

“Kalau ikutkan memang saya tidak berani untuk berniaga, tapi syarikat label saya banyak membantu dan memberi sokongan untuk saya masuk dalam bidang perniagaan,” kata Zulin.

Selain mahu serius dalam bidang keusahawanan, Zulin juga mengehadkan bidang lakonannya untuk fokus sebagai Instafamous dalam laman Instagram miliknya.

“Sukar untuk saya katakan tentang fokus kerjaya sekarang, apa sahaja yang saya lihat ada rezeki maka di situ saya akan pergi.

“Buat masa ini saya kuat dalam media sosial, jadi komitmen lebih di sana berbanding berlakon atau menyanyi.

“Namun saya tetap perlu mengambil tawaran berlakon tiga atau empat telefilem dalam setahun supaya nama kekal relevan di kaca televisyen,” jelas Zulin yang terikat dengan kontrak bersama Maggi Cukup Rasa untuk ruangan Instagram.

Bercerita soal lagu jelas Zulin, dia kini lebih bebas memandang dirinya tidak lagi bergelar penyampai radio di stesen radio Suria FM.

“Kalau dahulu ketika bersama radio, ada beberapa sekatan di stesen-stesen lain. Sekarang saya lebih bebas dan lagu-lagu saya juga telah dimainkan di stesen radio lain.

“Saya bukan berhenti kerana ini. Saya faham ini memang sudah adat setiap radio.

“Bagi saya cukuplah saya timba pengalaman selama dua tahun dalam bidang radio dan ia sangat berguna dalam profil peribadi saya,” jelas Zulin.