Melalui pelbagai onak dan duri sepanjang 10 tahun dalam bidang nyanyian, penyanyi Aweera sedar kerjaya seninya seperti sebuah roller coaster. Momentum kerjayanya tidak stabil seperti kebanyakan artis lain. Ada naik dan turunnya.

Namun bagi Aweera, 27, setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang sudah tertulis. Mahu atau tidak, Aweera akui sedikit sebanyak disebabkan kelemahannya dan juga masalah komunikasi yang berlaku di sekelilingnya.

Semenjak membina nama melalui rancangan realiti nyanyian One In A Milion (OIAM), pelbagai dugaan yang dilalui oleh Aweera termasuk pengundurannya dari kumpulan Mojo dan Prime Domestic yang mencetuskan kontroversi.

Tidak cukup dengan itu, Aweera juga pernah dikatakan kononnya sombong dan lupa daratan.

Semua itu dilalui Aweera dengan tenang. Hanya Allah, keluarga dan teman-teman rapat menjadi tempat mengadu.

“Saya akui hidup ini ibarat roller coaster. Kadang-kadang kita di atas, ada masanya kita di bawah. Ada kalanya perjalanan hidup kita lancar, namun ada ketikanya tersekat di tengah jalan. Itu kehidupan normal.

“Apa pun yang berlaku, saya ambil sebagai pengajaran dan pengalaman itu banyak mematangkan saya untuk menjadi insan dan penyanyi yang lebih baik.

“Memang pernah ada ketegangan dalam hubungan saya bersama Mojo dan Prime Domestic, tapi percayalah saya laluinya dengan reda dan tiada sekelumit pun dendam dalam hati,” kata Aweera memulakan bicara.

Kata penyanyi lagu Romancinta ini, apa sahaja yang dilalui bersama mereka satu ketika dahulu menjadi antara kenangan manis yang boleh dijadikan memori untuk tahun-tahun yang mendatang.

“Saya lebih suka bercerita tentang memori indah kami dan pengalaman yang saya peroleh bersama mereka. Kami pernah melalui saat-saat gemilang seperti muncul dengan lagu-lagu popular dan mengadakan konsert besar.

“Ilmu yang saya dapat tiada di mana-mana. Terima kasih kerana ilmu itu, hanya Allah yang mampu membalasnya.

“Mungkin orang di luar fikir kami bermasam muka, hakikatnya kami tetap berkawan. Apa yang berlaku semasa kami satu kumpulan, itu hal lama yang sudah pun dilupakan.

“Kawan tetap kawan. Saya juga menghormati mereka sebagai legenda negara,” kata Aweera yang menafikan dirinya sombong dan lupa daratan.