Kuala Lumpur 10 Januari 2017 Fotografi bersama pasangan kembar

Mempertaruhkan genre pop sebagai pilihan, kedua-duanya bakal tampil dengan single pertama yang dijangka menemui peminat sekitar pertengahan tahun ini. Bercerita tentang itu, Zafira yang dihubungi penulis baru-baru ini menjanjikan kelainan kepada penggemar muzik tempatan.

“Single pertama dicipta sepenuhnya oleh penulis dan komposer dari negara seberang. Oleh itu, kami akan terbang ke Jakarta pada Mac ini untuk proses rakaman.

“Buat masa ini, belum ada tajuk sesuai untuk lagu tersebut. Ia masih dalam perbincangan. Apa yang pasti, lagunya berentak pop moderate yang berkisar tentang kisah cinta,” katanya teruja.

Disoal tentang kerjasama dengan pemuzik Indonesia, Zafira memberitahu, semuanya dirancang Cloudworks Entertainment yang kini menguruskan kerjaya nyanyian mereka secara profesional.

“Terima kasih kepada syarikat pengurusan kerana peluang ini. Kerjasama dengan pemuzik di sana merupakan satu langkah positif dalam memperkenal serta mempromosikan muzik The Mirza, bukan sahaja di Malaysia, malah negara jiran.

“Sejujurnya, bukan senang mendapat peluang bekerjasama dengan pemuzik berpengalaman di sana. Tambahan pula, Indonesia terkenal dengan industrinya yang besar dan berkualiti. Sebagai artis baharu, peluang ini adalah perkembangan sihat untuk kerjaya kami,” tambahnya.

Diajak berbicara tentang keunikan, Zafira berkata, dia dan adiknya sedia membawa kelainan untuk menambah ‘warna’ dalam industri muzik tempatan.

Katanya, The Mirza ingin lari daripada stereotaip dan mahu dikenali dengan jenama sendiri.

“Tidak ramai penyanyi duo tempatan yang mengetengahkan konsep nyanyian secara harmoni. Nyanyian cara itu adalah satu kekuatan yang membuatkan kami berbeza dengan mana-mana penyanyi lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zafira menegaskan dia dan adiknya tidak akan mengabaikan pelajaran walaupun sudah menempah haluan sebagai penyanyi. Katanya, pendidikan tetap penting dan akan diteruskan dalam bidang bersesuaian.

“Kami ada merancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Namun itu masih menjadi perancangan dan biarlah urusan rakaman (single) diselesaikan dahulu.

“Walaupun teruja untuk menjadi penyanyi, kami tidak lupakan pelajaran. Biarlah kami dikenali sebagai penyanyi berilmu agar dapat bertahan dalam industri untuk jangka masa lama,” katanya menutup perbualan.