Jauh di sudut hati, dia seboleh-boleh mahu memaafkan dirinya yang dahulu. Tatkala hidup terumbang-ambing dipukul oleh ombak duniawi, dia tercari-cari erti nafas yang dihembus.

Melankolia hatinya terfikir bagaimana sukar untuk dia melalui episod hitam yang segera mahu dilupakan dan dimaafkan. Setiap langkah dahulu, ada cerita pahit yang disimpan sendiri.

Sedar menyusun tapak untuk pergi lebih jauh menuntut pengorbanan dan rasa taubat dalam hati, Dewi Sandra terus mendalami ilmu agama supaya diterangi setiap jalan yang mahu dilalui.

Apatah lagi, sesuai dengan pertambahan angka pada usia, dia tidak mahu lagi sesat dan tercari-cari erti hidup. Selesa dengan kedudukan dan bersyukur dengan apa adanya menjadi prinsipnya kini.

“Alhamdulillah, saya kini pada suatu tempat kehidupan yang cukup menggembirakan. Saya lebih matang dalam menjalani kehidupan dan lebih rasional untuk menyelesaikan setiap cabaran.

“Boleh dikatakan yang dimiliki dan dipunyai sekarang sudah cukup hebat nikmatnya. Tiada lagi yang saya mahu kejar dan idamkan. Tidak seperti sebelum ini apabila saya tercari-cari.

“Saya mahu cuba semua tetapi sekarang, saya bersyukur dengan kehidupan ini. Saya perlu memaafkan diri sendiri kerana itu adalah sebahagian daripada proses metamorfosis,” katanya dalam nada cukup tenang.

Bersua bicara dengan pelakon dan penyanyi Indonesia ini, mata dan hati penulis terpegun tidak hanya dengan kecantikan malah santunnya juga melengkapkan peribadi yang cukup indah ini.

Bersulam senyuman tatkala berbicara, pasti ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang menjadikan wanita setegar karang ini kekal berjiwa hamba biarpun kemewahan dunia melilit diri.

Tekad terus mempelajari agama, Dewi Sandra sedar sebagai seorang Muslim dia harus mendalami dan melengkapkan diri dengan ilmu supaya tidak lagi tersesat dalam kehidupan ciptaan sendiri.

“Semestinya, suami adalah pendorong untuk saya lebih matang sekarang. Tetapi yang penting adalah diri sendiri. Apa pun jalan yang dipilih, kekuatan dan kecekalan hati kita sendiri yang menentukan.

“Dalam belajar agama, kita harus bersikap terbuka. Kita tidak boleh dihalang dengan pemikiran yang sempit. Cari komuniti yang memahami dan memimpin kita ke jalan yang diredai.

“Sekarang saya faham, kenapa wahyu pertama yang diturunkan adalah Iqra’ (bacalah). Kita kena banyak membaca. Tidak faham? Baca selagi boleh. Banyakkan bertanya kepada mereka yang alim,” kata suri hati Agus Rahman ini. - Gambar ZAKARIA IDRIS

Menyanyi? Lupakan sahaja

Tatkala disoal tentang kerjaya nyanyiannya, seraya tergelak kecil anak kelahiran Brazil terus menggelengkan kepala memberi seribu satu tanda kepada rakan media yang teruja menantikan jawapan.

Hanya untuk suami, ringkas jawapan Dewi seolah-olah memberi titik noktah kepada kerjaya nyanyian yang suatu ketika dahulu cukup hebat. Dia sepertinya tidak mahu lagi berkongsi bakat itu.

“Buat masa sekarang, keinginan untuk menyanyi itu sudah tidak ada. Buat suami sahajalah. Tapi kalau mahu jawapan jujur, sebenarnya saya lebih suka dengan lagu rancak dan penuh dengan tarian.

“Tetapi melihatkan imej yang saya bawa sekarang, tidak sesuai. Sebab itu saya memilih untuk tidak (lagi) menyanyi buat masa sekarang. Tukar genre? Jiwa itu sudah tidak ada lagi,” katanya yang pernah menghasilkan enam buah album.

Melakonkan watak Sabina dalam filem fenomena, Ayat-ayat Cinta 2, cabaran Dewi Sandra untuk membawakan karakter itu sememangnya di luar kotak fikiran kita. Jiwanya disumbat dengan penderitaan yang dilalui Sabina.

Tiga bulan mengasingkan diri daripada khalayak ramai termasuk keluarga dan rakan-rakan, Dewi Sandra membenarkan ‘roh’ Sabina merasuk ke jiwanya. Dia tahu watak itu menuntut komitmen yang cukup besar.

“Saya buat kajian dan hampir tiga bulan saya menjadi Sabina. Seorang wanita yang melalui penderitaan dan terkunci dalam kehidupan gelap akibat trauma didera dan diseksa tentera Zionis.

“Dari situ, saya belajar erti lakonan sebenar apabila saya seolah-olah ditolak ke satu sudut yang cukup seram dan gelap. Secara psikologi dan fizikalnya, saya banyak ‘melukakan’ jiwa dan diri sendiri.

“Malah selesai sahaja sesi penggambaran saya terus tutup telefon dan mengambil masa untuk memperbaiki luka mental dan fizikal. Saya benar-benar terkesan dengan watak itu,” katanya.

Menanggap Sabina merupakan watak paling sukar yang pernah dibawa, Dewi Sandra bagaimanapun banyak mempelajari dan mematangkan dirinya sendiri melalui watak yang cukup besar itu.

“Apabila kekuatan kita dikeluarkan sebegitu sekali, perkara itu mengubah saya menjadi seorang manusia yang berbeza. Saya seperti lebih memahami penderitaan yang mereka (rakyat Palestin) lalui,” katanya yang kini hanya mahu terbabit dalam dunia lakonan yang disertai selepas tidak lagi bergiat dalam nyanyian.