Bukan sedikit pujian dan penghargaan dinukilkan, sekali gus memberi petanda bahawa ketika hayatnya, kehebatan Saleem tiada tolok bandingnya.

Mengikut kiraan, tempoh penglibatan Saleem dalam bidang muzik secara profesional ialah selama 28 tahun (berdasarkan penerbitan album sulung penyanyi itu dengan kumpulan Iklim pada 1990).

Bermula dengan lagu Suci Dalam Debu, Saleem bersama Iklim menempa kemasyhuran dalam sekelip mata. Ketika itu, Iklim seakan-akan membawa dimensi baharu dalam landskap industri muzik Melayu.

Sarat dengan imej pop rock Melayu, Saleem dan Iklim mencetus fenomena. Lagu Suci Dalam Debu seakan-akan menjadi ‘lagu kebangsaan’ kepada sebilangan besar pencinta muzik Melayu.

Bukan sedikit kejayaan yang dirangkul oleh Saleem bersama rakan-rakan yang turut mengasaskan Iklim iaitu Umarul, Mohalim, Huzali dan Kama.

Seperti mana kumpulan Search yang berjaya menguasai pasaran muzik Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, demikian juga ledakan populariti yang diraih oleh Saleem dan Iklim.

Saleem bersama teman-temannya ‘menjajah’ pasaran muzik Indonesia dan memahat nama sehingga ke hari ini. Karya Suci Dalam Debu menjadi tuah buat kumpulan yang berasal dari Terengganu itu.

Melihat perkongsian sedih warganet dan mereka yang pernah mengenali Saleem berhubung berita kematian beliau pada Ahad lalu, membawa ingatan kepada pengaruh besar yang dimainkan oleh Saleem dan rakan-rakannya ketika penulis masih bergelar remaja.

Seperti rakan sebaya lain, lagu-lagu nyanyian Saleem telah mendewasakan penulis sehinggalah alam pekerjaan menawarkan peluang kepada penulis untuk menemu ramah Allahyarham yang memiliki suara emas.

Lalu, apabila berita kematiannya diterima, penulis turut tergamam kerana ketika kesedihan kehilangan komposer Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah) belum lagi hilang, tiba-tiba pula pemergian Saleem mengundang duka pada pagi hari minggu lalu.

Namun, siapa kita untuk melawan aturan Allah. Sudah tertulis, hayat Saleem bernoktah pada 14 Oktober lalu pada usia Allahyarham 57 tahun.

Saleem kembali ke rahmatullah seawal pukul 6.15 pagi pada 14 Oktober lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur kerana komplikasi kemalangan yang dialaminya sejak 21 September lalu.

Dalam kecelakaan jalan raya itu, Allahyarham Saleem patah tulang rusuk dan berada dalam keadaan koma.

Pulih daripada koma, Allahyarham Saleem kembali stabil membuatkan banyak pihak khususnya keluarga beliau menyambutnya dengan penuh rasa syukur.

Namun, pada akhirnya, aturan Allah juga yang harus diterima setiap manusia. Saleem pergi dalam ketenangan membawa bersama kesakitan dan penderitaan yang ditanggung sepanjang dirawat di PPUKM.

Allahyarham pergi meninggalkan isteri yang setia mendampinginya, Juriah Bachok serta lima orang anak, Nurlugman Hakim, 30; Nurul Hidayah, 28; Nurfahmie Jurie, 26; Syafiq Farhain, 24; dan Nurul Azwanie Shuhada, 18, hasil daripada perkahwinan pertamanya, sementara Mohd. Amirul Mukminin, 15, merupakan cahaya mata bersama Juriah.

Pemergian seorang seniman yang sangat terkenal kerana vokal emasnya itu pergi membawa catatan sejarah seni yang luar biasa bagi seorang lelaki yang dilahirkan pada 31 Ogos 1961 itu.

Masakan tidak, ceritera Saleem dan rakan-rakan dalam band Iklim bangkit membina empayar seni hampir menyamai pengalaman-pengalaman kumpulan-kumpulan muzik lain seperti Search dan Lefthanded.

Penghijrahan terbesar dalam hidup daripada seorang anak kampung ke Kuala Lumpur membawa harapan, cita-cita dan keazaman untuk bergelar anak seni dibuktikan oleh Saleem bukan sia-sia.

Dalam kesederhanaan, Allahyarham dan rakan-rakannya mengatur langkah membawa diri ke kota yang telah mengubah nasib dan masa depan mereka secara total.

Dan bersama-sama Iklim, Saleem menggapai impian yang mungkin tidak pernah beliau jangkakan.

Saleem luar biasa - Amy

SEANDAINYA generasi muda mahu mencari seorang figura yang boleh dijadikan sebagai contoh penyanyi balada terbaik yang pernah dilahirkan Malaysia, penghibur legenda tanah air, Amy Search menyenaraikan nama Saleem patut diberi perhatian.

Kepada Amy, Allahyarham Saleem memiliki nilai-nilai seorang penyanyi terbaik yang pernah dilahirkan oleh industri muzik tanah air.

“Kualiti vokal arwah tidak perlu kita pertikai. Orang yang menyanyi dari dalam sanubari dan penuh jiwa ialah Allahyarham Saleem.

"Beberapa kali saya sebutkan hal ini kepada arwah. Saya secara peribadi berpendapat, kelebihan yang ada pada Saleem, tidak ada pada penyanyi lain. Arwah terlalu istimewa,” kata vokalis utama kumpulan Search ini kepada Mega HITS ketika diajak mengenang pemergian sahabatnya, Saleem.

Sebagai rakan seperjuangan, Amy merumuskan Allahyarham Saleem sebagai seorang anak seni yang sangat bersederhana dalam kehidupannya.

Bahkan, Amy tidak ralat untuk menyebut sahabatnya itu bukan seorang yang oportunis, sebaliknya, Allahyarham seorang yang sangat realistik dan sentiasa mengikut arus laluan kerjaya seninya.

“Arwah memahat nama yang cukup besar di Indonesia ketika lagu Suci Dalam Debu popular di sana, namun, arwah masih berada dalam kesederhanaan. Itu keperibadian arwah Saleem yang sangat saya kagumi,” jelas Amy.

Kenyataan Amy itu ada benarnya. Allahyarham sepanjang hayatnya bergelar anak seni tidak pernah mempamerkan imej yang hebat, cakapnya sentiasa berlapik dan seperkara yang akan dikenang mengenai Saleem ialah sikapnya yang happy go lucky.

Amy turut memberi pendapat bagaimana Saleem juga harus menjadi contoh paling relevan dalam mengupas isu penerimaan masyarakat Indonesia terhadap penyanyi kelahiran Malaysia.

Kata Amy, selepas beliau bersama Search serta Datuk Sheila Majid menguasai pasaran muzik negara jiran, Saleem bersama Iklim membawa perspektif baharu mengenai muzik Malaysia untuk Indonesia.

Menurut pelantun lagu Isabella itu, antara faktor kejayaan Saleem dan rakan-rakannya di sana ialah muzik yang dijaja mereka bertepatan dengan selera Melayu di rantau nusantara.

“Jika diteliti, Saleem berada dalam genre pop rock Melayu. Nada suara lunak berserta serak membuatkan orang melihat sesuatu yang baharu disampaikan oleh Allahyarham.

“Bertepatan pula lagu-lagu nyanyian mereka sangat kena dengan selera nusantara menjadikan mereka diterima secara meluas. Itu kejayaan luar biasa bagi artis Melayu,” kata Amy menyambung cerita.

Jika Search memiliki Isabella sebagai ‘lagu kebangsaan’ peminat muzik, Saleem dan Iklim juga, jelas Amy, tidak ketinggalan harus berbangga dengan pencapaian Suci Dalam Debu yang disifatkan oleh Amy, rezeki buat kumpulan itu.

Secara peribadi, Amy berpendapat, lagu Suci Dalam Debu ciptaan Wan Zul dan lirik ditulis oleh S. Amin Shahab itu merupakan karya yang dituliskan eksklusif buat Allahyarham Saleem.

Kata Amy, sehingga ke saat ini selepas 28 tahun usia Suci Dalam Debu, beliau masih belum nampak ada penyanyi lain yang boleh mendendangkan lagu berkenaan sebaik Allahyarham.

“Sebab itu saya katakan, Suci Dalam Debu sememangnya ditulis khas buat Saleem. Tiada orang lain boleh menyanyi sebaik arwah. Melodi, lirik dan cara arwah menyanyi sangat sempurna,” kata Amy lagi.