“Saya dan dia (Engku Emran) berpisah secara baik malah saya sentiasa mendoakan dia kembali berkahwin dengan seorang wanita yang akan sayangkan anak kami.

“Ternyata doa saya dimakbulkan dan saya tidak nafikan Laudya adalah seorang yang padan dengan Engku Emran dan Aleesya,” katanya.

Mengakui tidak terselit rasa kurang selesa mahupun kekok dengan kehadiran Laudya dalam kehidupan dia dan anaknya, kata Erra, dia ikhlas menjalinkan hubungan baik dengan ibu tiri anaknya itu.

“Saya tidak ada niat lain untuk berkawan dengan dia selain kami mempunyai matlamat yang sama untuk mendidik anak kami. Jadi saya memang ikhlas.

“Malah Aleesya juga sering bercerita mengenai Laudya kepada saya dan itu adalah sesuatu yang normal buat saya kini sebab sebagai ibu, kami berdua akan sentiasa berinteraksi untuk sama-sama membesarkan Aleesya,”jelasnya lagi.

Tambah Erra, walaupun Laudya mempunyai ramai rakan di Kuala Lumpur, namun ini tidak membataskan dia membuatkan aktiviti bersama-sama termasuk berzumba.

“Bukanlah sebab dia tiada kawan lain di sini tetapi jujur memang saya selesa berkawan dengan dia.

“Malah saya juga pernah terfikir, kalaulah saya yang berhijrah ke sana jadi saya juga perlu untuk berbuat baik dengan orang agar pada masa yang sama orang juga akan berbuat berbaik dengan kita,” jelasnya.

Masih tak nampak soal perkahwinan

BUKAN mudah sebenarnya menjadi Erra Fazira. Mungkin orang luar melihat kehidupan primadona ini lengkap dan sempurna dengan populariti dan kejayaan yang dikecapinya dalam bidang seni. Ironinya, Erra Fazira juga masih manusia biasa yang tidak terlepas daripada menjalani cabaran kehidupan seorang anak seni.

Mungkin bagi pihaknya, dia sentiasa mahu mengetepikan soal peribadi dalam memberi laluan kepada kerjaya. Namun selepas 25 tahun berada dalam bidang ini, Erra tidak pernah menafikan hak untuk khalayak berkongsi perkara yang dirasainya.

Walaupun tidak semua boleh dikongsi, nampaknya wanita berusia 43 tahun ini lebih tahu apa sebenarnya yang dia mahu dalam hubungannya dengan penyanyi Shahir atau Ahmad Shahir Zawawi, 30, yang baru-baru ini mencetuskan kontroversi kerana dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan wanita berbeza. Ikuti temu bual Mega HITS dengan Erra.

MEGA HITS: Apa definisi hubungan Erra dengan Shahir ketika ini?

Erra FAZIRA: Saya tidak mahu menjadi hipokrit, memang kami sedang berkawan dan masih menghubungi dia. Tetapi saya tetap orang yang sama untuk mengatakan jodoh bukan pada tangan saya.

Boleh Erra jelaskan apa yang berlaku kepada Erra sepanjang tempoh Shahir berhadapan dengan kontroversi tempoh hari?

Tiada apa yang berlaku, saya masih menjalani kehidupan dengan tenang. Saya tidak ambil kisah dengan perkara itu sebab tidak ada kaitan dengan saya.

Ada pihak yang kurang senang dengan hubungan Erra dan Shahir kerana merasakan Erra lebih sesuai mencari lelaki lain?

Terima kasih dengan keprihatinan dan kasih sayang yang ditunjukkan pihak tersebut. Bagaimanapun saya yang menjalani kehidupan ini dan menghadapi cabaran yang sudah tertulis. Mungkin senang untuk berkata-kata tetapi lebih baik sebenarnya mendoakan yang terbaik untuk saya sebab itu adalah yang saya mahukan ketika ini.

Bagaimana pula keputusan untuk bernaung bawah pihak pengurusan baharu. Ada kena mengena dengan Shahir sendiri?

Apa kena mengena Shahir dengan keputusan saya? Selama 25 tahun saya membuat sebarang keputusan tanpa melibatkan sesiapa. Sebabnya saya sentiasa meletakkan garisan untuk setiap perkara yang melibatkan kerjaya dan peribadi.

Shahir nampaknya hilang lagi dari radar industri hiburan, komen?

Tidak ada kena mengena dengan saya sebab saya tidak mahu melibatkan diri dengan sebarang keputusan orang lain. Maknanya jika apa-apa berlaku ini tidak melibatkan saya.

Adakah ini menunjukkan Erra sebenarnya ‘keras kepala’ dengan keputusan untuk meneruskan hubungan dengan Shahir?

Keras kepala terlalu negatif bunyinya. Untuk perkataan yang lebih positif, lebih baik kita gunakan ayat pendirian saya. Kita tidak tahu penghujung hidup seseorang jadi doakan yang terbaik.

Berlegar soal tarikh perkahwinan Erra dengan Shahir malah ada gosip terkini yang mengatakan Mac ini. Komen?

Selagi tidak keluar daripada mulut saya jangan percaya apapun yang diperkata. Saya akan kongsikan kalau sudah ditetapkan (hal-hal mengenai perkahwinan).

Memandangkan masih belum ada tarikh, mungkin Erra sebenarnya sudah nampak perkahwinan yang dimaksukan itu akan berlaku pada tahun ini?

Sehingga saat ini saya masih tidak nampak soal perkahwinan tetapi tidaklah saya mahu kata tidak. Kalau benar akan berkahwin saya terima tetapi jujur ketika ini, 2018 adalah mengenai kerjaya sahaja.

MindOrder pilihan Erra

Tidak pernah bernaung bawah syarikat pengurusan sebelum ini, nampaknya 2018 memberi satu gambaran berbeza buat kerjaya seninya.

Kali ini Erra sudah bersedia menyerahkan soal perancangan kerjayanya kepada pihak MindOrder dalam memberi peluang untuk dia lebih bersinar.

“Saya rasa berada bawah syarikat pengurusan kini adalah satu trend. Malah di Indonesia sendiri kita melihat bagaimana artis-artis di sana diuruskan pihak pengurusan.

“Kenapa baru kini saya setuju berada bawah pihak pengurusan? Yang boleh saya katakan adalah saya perlukan satu pasukan dalam merangka jadual seni saya.

“Dahulu saya pernah mempunyai pasukan sendiri tetapi bila sudah tiada memberi makna saya perlu bernaung bawah syarikat pengurusan lain,” jelasnya.

Pengarah Urusan MindOrder, Murshid Eunos pula berkata, semua pelan kerja dan strategik untuk Erra sudah pun diaturkan lebih awal.

“Kami berbesar hati menerima Erra kerana profil kerjaya seninya yang cukup hebat selain peribadi dan latar belakangnya yang dikenali sangat berdisiplin dan disenangi banyak pihak industri.

“Ini adalah faktor utama yang kami lihat. Boleh dikatakan Erra juga antara artis termahal di MindOrder,” ujarnya.