Bergandingan dengan Syamsul Yusof menyanyikan lagu runut bunyi (OST) berjudul Selamat Tinggal Masa, Black akui pengalaman bekerjasama dengan bintang utama KLSF itu amat berbeza memandangkan pelakon tersebut cukup cerewet dalam mengutamakan kesempurnaan.

“Tak dinafikan, semua orang mahu nampak sempurna. Akan tetapi mengenali Syamsul, dia seorang yang sangat obses dengan kesempurnaan.

“Dari situ, banyak yang saya belajar daripadanya. Cerewet bukan membawa maksud negatif, tetapi mendidik saya untuk melakukan sesuatu pada tahap maksimum supaya dapat hasil yang terbaik.

“Jadi, patutlah selama ini filem-filem yang dihasilkannya berjaya mencatat rekod box-office sehingga mencecah jutaan ringgit,” katanya kepada Utusan Online.

Mengulas tentang klip video Selamat Tinggal Masa yang mencapai lebih sejuta kali tontonan setelah sebulan setengah dimuat naik di YouTube, Black berbangga kerana catatan itu amat memberangsangkan.

Menurut Black, jumlah tontonan tersebut antara rekod terbaik pernah dicapainya dalam tempoh singkat sejak bergelar penyanyi hampir sedekad lalu.

Justeru, Black berharap lagu ciptaan Syamsul, manakala lirik ditulis oleh Dr. Anwar Fazal itu terus diterima baik pendengar muzik tempatan sehingga mampu mara ke peringkat tertinggi.

Sejak mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 8 Mac lalu, KLSF telah mencatat hasil jualan tiket melebihi RM12 juta berdasarkan laporan Finas pada 12 April lalu. - UTUSAN ONLINE