Jelasnya, walaupun Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sudah memperuntukkan dana sebanyak RM150,000 namun jumlah tersebut masih belum mencukupi dan memerlukan mereka untuk mengadakan kutipan dana pada malam gala pementasan teater tersebut.

“Kami sangat bersyukur dengan dana yang disumbangkan ASWARA bagaimanapun jumlahnya masih belum mencukupi memandangkan kos produksi untuk teater ini mencecah RM500,000.

“Setelah berbincang dengan pihak ASWARA, kami sepakat untuk mengadakan kutipan dana pada malam gala yang akan berlangsung pada 28 Ogos ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

“Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali akan hadir pada malam mala tersebut,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mei Fen Lim yang juga pelakon utama teater itu, walaupun sudah dinasihatkan untuk tidak mendedahkan masalah berkaitan dana itu sebelum ini namun dia memilih untuk tidak menipu.

“Walaupun ramai yang menasihatkan saya untuk tidak mendedahkan masalah sebenar berkaitan dana dan kewangan kerana akan menjatuhkan semangat mereka yang terlibat namun saya memilih untuk berterus terang.

“Perjuangan kali ini memang sangat mencabar kerana saya mula mengetuk pintu utnuk mencari dana sejak Februari lagi namun masih gagal mendapatkan sebarang penajaan,” katanya.

Dana dan tiket-tiket malam gala Tanah Akhirku boleh dibeli pada harga RM500 dan RM1,000 dengan menghubungi talian 016-4833786 (Miss Fong) atau 012-4757728 ( Faez Malek).

Teater hasil karya Amar Amir ini akan menemui penonton pada 28 Ogos hingga 1 September.

Selain Mei Fen Lim, pelakon lain yang terlibat termasuk Aeril Zafril, Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira, Nave VJ, Akmal Ahmad, Alfred Loh, Iskandar Zulkarnain dan Angeline Tan. - UTUSAN ONLINE