Proses pembelajaran mengenai Islam tidak dinokhtahkan pada saat dia berhijab dan mengerjakan haji, lebih daripada itu penyanyi yang pernah popular dengan lagu What You Waiting For ini mengakhiri karier muziknya secara total.

Ketika ini, Mizz Nina atau Shazrina Azman kembali bergelar penuntut dengan mendalami al-Quran secara dalam talian sejak lapan bulan lalu untuk tempoh dua tahun.

“Saya taklim al-Quran secara dalam talian menerusi Al Huda International. Dalam pengajian ini, ada banyak subjek yang disediakan seperti kelas tafsiran, terjemahan, hadis dan husnul khuluq (akhlak yang baik),” kata Mizz Nina.

Bagi Mizz Nina, keputusan belajar dalam talian adalah yang terbaik untuknya buat masa ini memandangkan dia kerap berada di luar negara, di samping sibuk dengan program televisyen (TV) yang diusahakan syarikatnya. DOPStv.

“Cara begini memudahkan saya sebab kerap berada di merata-rata tempat. Asalkan ada kemudahan WiFi dan komputer riba, saya boleh akses masuk di mana-mana sahaja lokasi ketika itu.

“Sekiranya saya tertinggal kelas pun, ada kemudahan untuk saya mendengar rakaman pembelajaran pada hari tersebut.

“Kelas saya pula diadakan tiga kali seminggu dengan setiap satunya selama empat jam. Kemudian ada juga sesi ulang kaji pelajaran selama setengah jam untuk tiga kali seminggu.

“Kaedah begini sangat sesuai untuk saya kerana cepat dan mudah. Pensyarah-pensyarah pula terdiri daripada ahli akademik dari seluruh negara dalam bidang kepakaran masing-masing,” katanya yang turut mempelajari tatabahasa Arab.

Pada masa yang sama kata Mizz Nina, dia kerap dipanggil oleh penuntut universiti untuk mengadakan ceramah mengenai penghijrahan dan motivasi diri.

“Tetapi semua itu bergantung kepada topik yang diberi. Sekiranya topik yang tawarkan tidak sesuai, saya tidak akan terima,” katanya.

Sukses akhirat

Berkahwin tujuh tahun lalu dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh, pasangan ini masih belum dikurniakan cahaya mata yang menjadi penyeri rumah tangga.

Meskipun sudah melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan anak termasuk menjalani proses rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) dan masih belum berputus asa,  takdir masih belum berpihak kepada mereka.erkahwin tujuh tahun lalu dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh, pasangan ini masih belum dikurniakan cahaya mata yang menjadi penyeri rumah tangga.

“Pada awal perkahwinan, saya agak sensitif apabila ditanya soal anak, tetapi lama-kelamaan apabila sudah belajar, saya menerima dengan reda dan melihat setiap sudut dengan fikiran yang positif.

“Bagi saya, sukses dalam hidup kita ini bukan sekadar memiliki anak, berkahwin, ada suami atau ada isteri semata-mata. Sukses bagi saya ialah akhirat.

“Yang membantu kita di akhirat kelak ialah perbuatan baik kita dengan Allah. Ada suami atau ada anak tidak menjamin syurga buat kita, yang menjamin syurga ialah perkara baik yang kita lakukan.

“Apa sahaja Allah berikan kepada saya dan suami, kami terima dengan reda. Kalau pun tidak ada anak, tidak bermakna tidak bahagia dan dunia sudah berakhir. Ada matlamat lain dalam hidup yang kita perlu sempurnakan.

“Misalnya kerja-kerja dan misi kemanusiaan membantu mereka yang memerlukan, bantu anak-anak yatim, berdakwah dan juga mempelajari ilmu agama dan al-Quran.

“Kalau saya ada anak ketika ini, mungkin semua perkara itu tidak dapat saya sempurnakan lagi. Itu hikmah yang Allah beri,” kata Mizz Nina.

Kerjasama dengan Yasmin Mogahed

Mengagumi pensyarah motivasi dan penulis terkenal Amerika Syarikat, Yasmin Mogahed, Mizz Nina yang pernah bertemu secara peribadi dengan penceramah tersebut kini berkolaborasi dengannya menerusi satu siri jelajah Yasmin di Malaysia.

“Saya pernah bertemu dengan Yasmin selepas saya berhijrah ketika mengadakan program TV di New Zealand.

“Dia wanita hebat yang sangat memberi inspirasi dan pengaruh yang besar kepada dunia penghijrahan saya.

“Banyak nasihat dan kata-kata pembakar semangat yang diberikan kepada saya.

“Yang ditekankan oleh beliau ialah dunia ini hanyalah sementara dan fokus di akhirat adalah yang paling utama.

“Justeru saya memilih Ustazah Yasmin kerana dia memberi kekuatan dan membantu ramai orang yang dalam kesedihan, kemurungan atau yang sedang mencari matlamat hidup,” katanya.

Bersama-sama AlMaghrib Institute dan Hijup, DOPStv secara ekslusif akan mengadakan program motivasi dengan Yasmin pada 24 Ogos ini di Dewan Azman Hashim UTM Kuala Lumpur dan TM Convention Centre, Kuala Lumpur (25 Ogos dan 26 Ogos).

“Tetapi Yasmin akan berada secara eksklusif bersama-sama DOPStv selama tiga hari di Tiarasa Escapes Glamping Resort, Janda Baik, Pahang untuk program pengisian rohani, kesihatan dan kecantikan khusus untuk wanita,” kata Mizz Nina.

Bagi mereka yang ingin menyertainya boleh mendaftar di almagrhib.my/yasmin, namun penyertaan adalah terhad.