Ini memandangkan filem seperti itu kurang mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton tempatan.

Perasaan ragu dan bimbang mula menyelubungi produksi Paskal termasuk Taufiq Hanafi.

“Mula-mula takut dan berasa ragu dengan sambutan filem ini, sebab genre patriotik biasanya kurang dapat sambutan.

“Berdasarkan pengalaman saya yang pernah membintangi filem seperti itu sebelum ini, perasaan risau..., tentu sahaja bermain di fikiran,” katanya kepada S2.

Namun, jangkaan itu meleset sama sekali apabila Paskal yang menampilkan aksi keperwiraan anggota keselamatan negara menerima reaksi positif daripada ramai peminat.

Menurut Taufiq yang membawakan watak Ustad dalam filem itu, dia sendiri tidak sangka orang ramai menyukai filem tersebut.

Malah katanya, apabila filem itu ditayangkan dan menerima kutipan mencecah RM22 juta selepas 18 hari tayangan, nama Taufiq Hanafi mula dikenali.

“Alhamdulillah, selepas filem ini ditayangkan..., orang ramai mula kenal saya sebagai pelakon,” katanya yang sebelum ini pernah membintangi filem Ola Bola.

Dia yang kini sedang membintangi drama 15 episod di Astro Citra bertajuk Cekelat Honey menyimpan harapan bahawa Paskal akan tampil dengan sekuel selepas ini.

Ditanya tentang pengalaman sepanjang menjalani pengambaran, Taufiq berkata, terlalu banyak kenangan pahit dan manis semasa melakonkan watak Ustad.

Menurutnya, kesemua pelakon yang membawa watak anggota Paskal melakukan sendiri aksi lagak ngeri di dalam filem tersebut.

“Ada ketika..., kami melakukan babak menyelam dan perlu menyarung sut selam seberat 80 kilogram. Kami hampir lemas ketika berada di dalam laut.

“Satu babak lain pula, kami terpaksa berendam di dalam paya sehingga tiga jam dan terpaksa membuang air kecil ketika berendam,” katanya.

Kesemua pelakon yang memegang watak sebagai anggota Paskal menjalani pelbagai latihan fizikal intensif selama dua bulan seperti menyelam, terjun udara, menggunakan senjata dan mempertahankan diri bagi merealisasikan watak yang dipegang.

Selain Taufiq, Paskal turut dibintangi Hairul Azreen yang membawa watak utama sebagai Arman Rahmat, Ammar Alfian sebagai Jeb, Henley Hii (Joshua), Gambit Saifullah (Gagak), Hafizul Kamal (Yan), Theebaan G (Misi) dan Jasmine Suraya Chin (Lily).

Mula ditayangkan pada 27 September lalu, Paskal The Movie mengangkat kisah perjuangan anggota elit, Pasukan Khas Laut (Paskal), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Berdasarkan kisah benar, Paskal The Movie mengisahkan tentang usaha pasukan elit TLDM iaitu Pasukan Khas Laut atau Paskal dalam misi merampas semula kapal dagang milik Malaysia, MV Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Diarahkan oleh Adrian Teh, Paskal The Movie mendapat kerjasama daripada TLDM bagi memastikan jalan cerita dan watak yang dipaparkan di dalam filem itu benar-benar menghidupkan jalan cerita.