Hampir sembilan tahun bergiat dalam bidang lakonan, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Asam Pedas Untuk Dia pada tahun 2015 ini mengakui dia tidak pernah kisah tentang perkara tersebut jauh sekali terasa hati dengan pihak-pihak tertentu kerana baginya semua itu terserah kepada rezeki.

“Jujurnya dulu masa mula-mula berlakon saya pernah juga mempersoalkan kenapa tak macam orang lain lebih cepat naik dan sebagainya tetapi persoalan tersebut sebenarnya membuatkan diri ini jadi tidak baik. Bila tersedar tentang itu saya cepat-cepat insaf. Kemudian saya berusaha dan serahkan kepada Allah.

“Apapun saya dah bersyukur sangat dengan apa yang ada sekarang. Kalau sudah ini rezeki yang telah ditentukan buat saya, Alhamdulillah buat apa nak terkejar-kejar sangat. Terima dengan hati yang terbuka. Lagi pun selama ini peminat yang betul-betul mengikuti perkembangan diri ini, tahu sejauh mana mutu lakonan saya,” ujar si pemilik usia 27 tahun ini.

Tidak menolak andaian kurangnya kontroversi menyebabkan dirinya kurang menyengat, namun dia lebih rela andai dirinya tidak dikenali ramai daripada mencipta kontroversi merapu yang akhirnya boleh menjatuhkan maruahnya sendiri.

“Saya akui zaman sekarang ni sikit sahaja kontroversi boleh membuatkan nama seseorang itu melonjak naik dengan pantas tapi kena tengoklah juga berkenaan apa. Biasanya perkara-perkara yang tak berapa elok sahaja. Kalau cara sebegitu mungkin nama boleh naik cepat tapi tawaran tetap sama mungkin lebih pun sedikit sahaja.

“Itu semua terpulang pada diri masing-masing. Yang pasti adanya saya dalam industri ini bukan untuk cipta kontroversi sebab nak naik. Buat apa saya buat begitu tak ada faedahnya. Lagi pula saya ni jenis yang tak suka berkongsi sangat tentang kehidupan dengan orang luar. Kalau nak diikutkan di media sosial pun saya hanya berkongsi tentang kerja sahaja,” ujar pelakon kacukan Cina dan Siam ini.

Dia cukup berhati-hati membawa diri kerana bimbang setiap kontroversi yang tercipta akan membawa kesan yang berpanjangan terhadap diri dan masa hadapannya nanti. Ini kerana setiap cerita tidak elok yang tersebar pasti akan sentiasa kekal di alam maya.

“Zaman teknologi yang semakin canggih ini, semua perkara di hujung jari sahaja. Satu hari nanti saya akan berkahwin dan mempunyai keluarga jadi tak mahulah anak-anak nanti terbaca kisah yang tidak elok tentang diri saya. Perkara tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka. Selagi boleh elak, saya akan cuba sehabis baik,” tuturnya.

Beralih kepada perkembangan terbarunya, dia bakal memulakan penggambaran untuk drama bersiri genre seram berjudul Mata Ketiga selain sibuk mengacarakan program baru berbentuk pertandingan bola sepak yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.

Menyentuh soal cinta, Dayana enggan lagi berkongsi mengenai kisah percintaannya kepada umum kerana belajar daripada kesilapan lalu. Baginya terlalu banyak kesan buruk jika dia terlalu terbuka mengenai kisah cinta tetapi dia akur sebagai selebriti sememangnya dia tidak lepas daripada diasak persoalan tentang hal tersebut.

Kegagalan cinta lalu dengan pemain bola sepak dijadikan sebagai pengajaran yang berguna namun itu bukanlah menjadi titik noktah untuk menjalinkan hubungan dengan orang baru. Mengakui sedang menjalinkan hubungan dengan seorang juruterbang bernama Ariff Ali, sifat lelaki berusia 31 tahun itu yang mementingkan hubungan kekeluargaan telah membuka pintu hatinya.

“Kami baru sahaja berada dalam fasa mengenali antara satu sama lain. Kalau boleh tidak mahu terburu-buru dalam semua perkara. Hubungan yang terjalin pun baru sahaja tak sampai setahun pun lagi. Kematangan dirinya membuatkan hati saya terbuka untuk kembali bercinta. Selain itu, cara dia menghormati ibu bapa saya merapatkan lagi hubungan antara dua keluarga,” ujarnya.

Berbicara lebih lanjut tentang cinta barunya itu, dia mengakui tidak berbincang secara serius lagi tentang perihal mendirikan rumah tangga. Baginya biarlah perkara tersebut berjalan secara semula jadi dan bukan dalam keadaan tergesa-gesa.

“Kalau dah namanya jodoh tak ke mana. Cinta yang lalu mengajar saya untuk tidak meletakkan kepercayaan seratus peratus terhadap pasangan. Bukan apa bila kita jatuh dan segala perancangan tidak menjadi, sakit itu akan membawa kesan terhadap diri. Tidak keterlaluan juga kalau saya katakan yang diri ini sebenarnya trauma. Apapun saya reda dengan apa yang telah berlaku cuma sekarang ini saya lebih berhati-hati tentang hati dan perasaan,” tuturnya mengakhiri bicara.

Di zaman media sosial ini ternyata peminat semakin dekat dengan artis kesayangan dan lebih mudah untuk berinteraksi. Apa sahaja yang dilakukan sentiasa menjadi perhatian ramai termasuklah cara berpakaian. Dek kerana itu, dia juga tidak lepas daripada dikecam oleh segelintir netizen yang melabel dirinya sebagai seorang yang seksi dan liar.

Bagi Dayana, dia tidaklah terlalu terkejut dengan dakwaan tersebut kerana pernah beberapa kali dikaitkan dengan hal serupa sebelum ini namun jauh di sudut hatinya dia menganggap setiap orang mempunyai cara pandangan yang berbeza-beza dengan yang lain. Kerana itu dia tidak terlalu ambil peduli tentang hal yang remeh temeh tersebut.

“Kalau nak cakap seksi, saya pun tak tahu bahagian mana yang orang kata seksi tu. Mungkinlah ada sesekali saya memakai baju gaun pendek dan sebagainya tapi itu pun bukanlah selalu. Kadang-kadang tak pakai pun baju yang mencolok mata tapi orang tetap akan berkata macam itu juga. Jadi saya tak boleh nak kata apa. Bagi saya seksi itu perkara yang simbolik.

“Biarlah orang nak kata apa sahaja sebab mulut orang tak boleh nak tutup. Yang pasti keluarga dan teman-teman rapat tahu perkara sebenar kerana mereka cukup mengenali diri saya. Itu yang lebih utama dan penting daripada memikirkan cakap-cakap orang yang kita sendiri pun tidak kenal siapa.

“Kalau nak diikutkan saya ni seorang yang ringkas. Kalau keluar rumah pun tak adalah bersiap-siap dengan kasut tinggi dan sebagainya. Pendek kata saya lebih senang dengan baju t-shirt dan jeans. Sekarang ni pula saya lebih suka pakai baju lelaki sebab besar dan lebih selesa. Rasanya kalau dah pakai macam tu tak ada lagi orang nak cakap seksi,” ujarnya.

Biarlah orang nak kata apa sahaja sebab mulut orang tak boleh nak tutup. Yang pasti keluarga dan teman-teman rapat tahu perkara sebenar kerana mereka cukup mengenali diri saya. Itu yang lebih utama dan penting daripada memikirkan cakap-cakap orang yang kita sendiri pun tidak kenal siapa