Dilahirkan di Johor Bahru, Johor dan membesar di Banting, Selangor, pemuda berkenaan mencari sumber pendapatan dengan membuat persembahan di tepi jalan bersama-sama kumpulannya yang dikenali sebagai Rancaxx.

Ayied ketika bertandang ke Studio Utusan memberitahu, selain aktif membuat persembahan jalanan, Rancaxx juga sering dijemput memeriahkan majlis-majlis perkahwinan di sekitar Banting.

“Selepas mengenali komposer Rosli Selasih, barulah saya dilamar menjadi penyanyi solo dan telah mengeluarkan single pertama berjudul Serindu bergenre balada rock.

“Walaupun sudah bergelar artis rakaman, saya tidak kisah jika ada pihak yang menggelar saya penyanyi jalanan kerana menerima hakikat asal-usul terdahulu. Malah sehingga sekarang saya masih aktif membuat persembahan jalanan,” katanya.

Tambah bekas peserta Gang Starz musim kedua pada 2008 itu, gelaran tersebut tidak menjadi kudis baginya kerana percaya kerjaya berkenaan halal dari sudut agama.

“Selagi saya tidak melakukan sesuatu yang melanggar hukum syarak dan tidak menyusahkan sesiapa, selagi itulah saya percaya setiap hamba-Nya mempunyai rezeki tersendiri,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai single Serindu, dia yakin gabungan suara serak basah yang dimilikinya dan melodi indah ciptaan ROsli diharap menjadi kekuatan karya tersebut.

Ayied bernaung di bawah syarikat pengurusan Kayangan Event Sdn. Bhd. milik Rosli dan merupakan anak kepada finalis Kilauan Emas musim kelima, Laila Saharin. - UTUSAN ONLINE