Biarpun tiada publisiti berhubung gerangan teman istimewa namun penyanyi lagu Menahan Rindu ini mengakui pernah mengecapi detik tersebut.

Cuma untuk bercinta secara serius, tidak boleh buat masa ini. Bimbang jika hilang fokus kerana tumpuannya adalah mencari rezeki buat masa sekarang.

“Saya tidak mencari dan tidak menghalang jodoh yang datang dalam masa terdekat ini. Kalau ada (calon yang sesuai), boleh dipertimbangkan. Kalau tidak, kita menjalani kehidupan seperti biasa.

“Tak naklah terburu-buru nak mencari jodoh, dah macam nak kejar sesuatu pula. Nanti orang kata saya terdesak nak mendapat jodoh pula,” kata Wany.

Tidak menetapkan sebarang kriteria sosok calon pilihan, penyanyi Rintihan Rindu ini sekadar mengimpikan lelaki beriman dan berakhlak sebagai suami. Itu adalah kriteria utamanya.

Wany juga percaya bahawa seseorang wanita itu perlu berubah sikap terlebih dahulu sebelum bercita-cita untuk mencari suami terbaik dalam hidupnya.

“Kalau paksi kita mencari calon suami berdasarkan kepada fizikal seseorang, memang itu saja yang kita akan dapat. Apabila bentuk tubuh badan berubah, dikhuatiri perasaan sayang dan cinta itu tidak ada pula masa akan datang.

“Jadi lebih baik kita tetapkan ciri kekal yang ada pada seseorang itu supaya ia tidak berubah sampai bila-bila,” ujarnya.

 

RESTU ibu kesayangan menjadi keutamaan untuk memulakan hubungan lebih serius.
RESTU ibu kesayangan menjadi keutamaan untuk memulakan hubungan lebih serius. 

POPULARITI

SEBENARNYA Wany memen­tingkan hubungannya dengan orang sekeliling yang banyak membantu dia kekal relevan dalam industri hiburan. Pendekatan sebegitu akan membuatkan setiap naskhah membabitkan dirinya itu diterima umum.

Perkara lain yang dikekalkan dalam usaha yang sama adalah menyuntik aura positif kepada orang sekeliling serta menerapkan elemen sihat pada setiap penampilan. Biarpun tidak sempurna tapi sedaya upaya dia perlu mengekalkan cara itu.

“Tidak dinafikan setiap artis yang pernah berada pada kemuncak populariti pasti berasa bimbang jika satu hari nanti dia dilupakan sikit demi sikit. Saya juga begitu tapi selagi kita mengekalkan hubungan baik dengan orang sekeliling, semuanya akan berjalan lancar.

“Satu lagi, jangan sekali melupakan jasa baik dengan pihak yang pernah sama-sama menjayakan projek dan kelab peminat yang banyak menyokong sebelum itu,” katanya lagi.

Berhubung kerjaya seninya, Wany bakal tampil dengan lagu terbaharu berjudul Terlalu Memuja yang menampilkan sisi berlainan daripada lagu dirakamkan sebelum ini. Klip video lagu itu dirakam di Santorini, Greece pada Februari lalu. Lagu ciptaan Sharon Paul manakala lirik oleh Sirkhan dan Fedtri Yahya itu begitu dekat dengan hatinya yang pernah mengalami pengalaman pahit sebelum ini. Cerita lama membabitkan episod kegagalan percintaan terdahulunya itu secara tidak langsung memudahkan penghayatan lagu berkenaan.


BUKAN ANAK EMASLAH!

Sejak meraih anugerah Anugerah Bintang Paling 2018, khabarnya Wany menjadi anak emas syarikat rakaman FMC Music (FMC), betul ke?

Wany: Mana ada. Cerita itu tidak betul. Saya bukan anak emas FMC. Semua artis yang bernaung di FMC adalah anak emas syarikat. Tak timbul soal siapa mendapat layanan yang lebih di sini.

Kalau bukan anak emas, takkanlah penggambaran klip video Terlalu Memuja sampai dibuat di luar negara?

Wany: Setiap satu artis di FMC ada layanan sebegini untuk mencantikkan lagi klip video lagu terbaharu masing-masing. Ini semua adalah strategi syarikat.

Seronok tak dapat menjejakkan kaki ke Santorini baru-baru ini? Kongsilah pengalaman sikit.

Wany: Mestilah seronok kerana kunjungan itu seperti dua dalam satu. Kita bekerja untuk klip video itu dan pada masa sama dapat bercuti.