Pemilik nama penuh Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak itu memberitahu, Zainol yang juga seorang aktor pernah menyatakan bahawa dia suka melihat keserasian pasangan hero dan heroin tersebut.

Menurut Syafiq, ketika sama-sama terbabit dalam penggambaran drama tersebut, Zainol berkongsi pendapatnya itu secara terus kepadanya sewaktu berbual dengan pelakon veteran berkenaan.

“Sejujurnya, apabila mendapat tahu Uncle Zainol turut sama berlakon dalam produksi itu, saya gementar memandangkan dia adalah bapa kandung kepada pasangan lakon saya.

“Bagaimanapun selepas beberapa hari berada di set penggambaran, rupa-rupanya Uncle Zainol seorang yang sangat sporting dan selamba.

“Alhamdulillah, dia menyukai saya. Maksud saya, dia suka lihat Zahirah berpasangan dengan saya dalam drama itu,” katanya kepada Utusan Online.

Syafiq berkata demikian ketika diminta mengulas tentang hubungannya dengan aktres berdarah kacukan itu yang dilihat begitu mesra malah mendapat ‘lampu hijau’ para peminat kedua-dua pelakon tersebut agar mereka benar-benar bercinta di alam realiti.

Pun begitu, Syafiq memberitahu yang sebenarnya dia lebih mudah mencipta keserasian dengan aktres Hannah Delisha kerana pernah beberapa kali digandingkan bersama.

“Bukan bermaksud Zahirah tidak bagus, bahkan dia sangat berbakat. Saya cakap macam ini disebabkan saya dan Hannah banyak kali berlakon bersama-sama,” jelasnya mengelak salah faham.

Bakal tampil menerusi filem sulung lakonannya berjudul Langsuir arahan Osman Ali, semalam aktor itu juga telah melancarkan tiga produk di bawah jenamanya iaitu produk penjagaan kulit Kylez Lab, koleksi pakaian Kylez by Syafiq Kyle serta laman sesawang rasmi www.syafiqkyle.com. – UTUSAN ONLINE