Malah dalam soal ini dia sentiasa yakin dengan segala nasihat yang diberikan oleh ayahnya, Abdul Razak Husin, 55, yang mahu dia memberi fokus terhadap kerjaya dahulu sebelum mampu memulakan sebuah keluarga sendiri.

“Saya banyak berbincang dengan ayah soal ini (perkahwinan). Bagi saya, ayah merupakan rujukan penting sebab dia lebih dahulu makan garam. Antara nasihat yang ayah beri ialah biar saya fokus pada kerjaya dahulu selain membina tahap kewangan yang kukuh sebelum mahu berkahwin,” kongsi aktor muda yang namanya semakin cemerlang mendaki tangga kemasyhuran.

Sebagai anak, Syafiq sentiasa memandang tinggi setiap nasihat yang dititipkan oleh ayahnya bahkan didorong oleh rasa tanggungjawab juga, dia mahu memberikan yang terbaik buat kedua-dua orang tuanya sebelum menggalas tugas sebagai seorang suami pula.

“Ayah saya berkahwin muda ketika dia berumur 21 tahun. Mungkin apa yang dilaluinya ketika itu memberi sebab untuk dia berkongsi pengalaman dengan saya. Buat masa ini, selain karier, saya juga mahu memberi fokus kepada keluarga. Seperti orang lain, saya juga mahu membalas setiap jasa ibu bapa,” kata Syafiq melafazkan ikrarnya.

Pada usia 26 tahun, Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak menyedari bahawa usia berkenaan sangat ideal buat dia menamatkan zaman bujang, namun, usaha ke arah itu belum digerakkannya lagi.

“Jodoh juga perlu datang dengan usaha dan apa yang boleh saya kata saya tidak ada usaha ke arah itu lagi buat masa ini,” jelas Syafiq.

Kali terakhir dilamun cinta tiga tahun lalu, sehingga kini, Syafiq masih dengan status solo.

Mengakui ada yang cuba mendekati, namun belum ada mana-mana wanita yang berjaya memikat hatinya.

“Kali terakhir bercinta tiga tahun lalu dan sehingga sini saya masih solo. Bila kita sudah tetapkan yang fokus kita hanya kerja memang itu yang akan berlaku. Saya akui ada yang mendekati, namun akhirnya apa yang berlaku ke atas hubungan tidak akan lebih daripada kawan sahaja,” katanya jujur.

Tidak meletakkan sasaran umur untuk bergelar seorang suami, bagi pelakon kacak ini, dia menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa berhubung perjalanan kehidupannya.

“Saya tidak letak sasaran bila waktu sesuai untuk saya berumah tangga, sebab soal bersedia atau tidak terletak ke atas diri saya sendiri. Saya sentiasa percaya bahawa masanya akan tiba juga satu hari nanti,” ujar Syafiq menyambung perbualan.

Teruja bintangi Gol & Gincu Vol. 2

DALAM merangka perjalanan seninya pula, Syafiq menyatakan rasa teruja kerana dapat membintangi filem Gol & Gincu Vol. 2.

Kata Syafiq, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menjadi sebahagian daripada pelakon dalam naskhah yang pernah menjadi fenomena sekitar 13 tahun lalu.

Untuk lakonan dalam Gol & Gincu Vol. 2 ini, Syafiq digambarkan penulis skrip sebagai seorang wartawan yang sentiasa kelihatan kacak.

“Saya memegang watak sebagai seorang wartawan yang perlu sentiasa nampak kacak. Mungkin pada pandangan setengah pihak ia mudah untuk dilakukan namun sebetulnya agak sukar sebab saya perlu berjaga-jaga setiap masa bagi memastikan penampilan tidak berubah,” ujarnya lagi.

Menerusi Gol & Gincu Vol. 2 juga, Syafiq turut berada dalam dilema kerana terpaksa bersaing dengan dua wanita sehinggakan dia tidak sedar bahawa sebetulnya dia sedang didominasi oleh kaum Hawa.

Selain Syafiq, Gol & Gincu Vol. 2 yang akan ditayangkan pada 25 Oktober depan turut dibintangi oleh Datin Diana Danielle, Ummi Nazeera, Aedy Ashraf dan pelakon asal filem berkenaan, Sazzy Falak.