Menurut Sufi, 27, dia tidak menjangka penyanyi remaja yang dianggapnya sebagai adik itu bertindak untuk mengetepikan dirinya selaku pencipta bersama karya tersebut yang dihasilkan di rumahnya pada tahun lalu.

“Saya, Sharul dan Haqiem sering menghabiskan masa bersama-sama untuk berkarya jika masing-masing berkelapangan dan terdapat beberapa koleksi lagu telah dihasilkan secara kolaborasi.

“Jujurnya, apabila mendapat tahu Haqiem ada memasukkan sebahagian melodi ciptaan saya di permulaan lagu Selamat Tinggal Sayang, memang berasa bangga.

“Namun, perasaan itu bertukar kecewa tatkala menyedari tiada langsung kredit diberikan kepada kami setelah lagu itu buat pertama kali diperdengarkan kepada umum semalam,” katanya.

Tambah Sufi, intro atau permulaan lagu itu pernah dikongsikan di media sosial sehingga mendapat maklum balas sebanyak 3.2 juta tontonan dan tidak mudah baginya untuk merelakan karya tersebut diplagiat sedemikian rupa secara percuma.

Sementara itu, Sharul yang turut terbabit dalam proses rakaman awal lagu itu juga kesal atas tindakan Haqiem yang menidakkan haknya untuk mendapat sedikit penghargaan.

“Dari tengah malam hinggalah ke subuh pagi, sayalah individu yang merakamkan proses pembikinan bahagian intro lagu berkenaan.

“Paling tidak pun, berilah kredit di media sosial atas dasar mengenang jasa kawan-kawan yang bersengkang mata memberikan kerjasama tanpa mengenakan sebarang caj atau bayaran.

“Tetapi, tak mengapalah. Mungkin dia belum matang untuk hargai semua ini,” katanya dalam nada terkilan. - UTUSAN ONLINE