Mengaitkan perihal kehancuran rumah tangga dengan bekas suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, Ziana Zain berat untuk bercerita tentang hal lalu kerana baginya sudah tiada apa-apa untuk dikongsi lagi.

Dapat dilihat pada zahirnya penyanyi legenda ini seolah-olah mengumpul segala kekuatan yang ada untuk menutup episod sedih itu, Ziana mengaku hidupnya semakin baik sehari demi sehari.

“Alhamdulillah, syukur kepada Yang Maha Esa kerana memberikan kekuatan untuk saya menerusi anak-anak. Ya, merekalah kekuatan saya hari ini,” katanya.

Dalam senyum, Ziana meminta agar dia tidak ditanya mengenai bekas suami lagi. Segala yang berlaku antaranya dengan Armin sudah berlalu dan tiada gunanya diungkit perkara lepas. Namun terbuka untuk pertanyaan lain. 

“Bukankah hidup ini perlu diteruskan? Fokus saya sekarang adalah anak-anak dan kerjaya.

Sekarang saya pun tinggal bersama ibu bapa dan adik-adik, jadi rumah sentiasa meriah dengan keriuhan.

“Maklumlah, kami semua ini memang ‘bising’, jadi seronoklah. Saya pun tak ada fikir apa-apa,” katanya yang mengharapkan sinar kebahagiaan terus menyinari dirinya.

BERTUAH

Berkongsi lanjut, Ziana juga menganggap dirinya bertuah kerana mempunyai anak-anak yang sangat memahami dan menyokongnya.

Teringat bait-bait kata salah seorang anaknya, Ziana tahu dari situ dia adalah seorang ibu yang beruntung di dunia kerana masih ada ‘lelaki’ yang berdiri di sampingnya.

“Kata mereka, “Apa pun yang terjadi kami akan sentiasa berada di sisi. Tersentuh rasa di hati dan tidak sangka anak-anak sangat sweet dan memahami keadaan saya. Sebab itulah saya katakan, mereka adalah pendorong untuk saya bekerja lebih keras selepas melalui episod kegagalan dalam rumah tangga,” katanya.

MUKA GARANG, LELAKI NAK KE?

PENYANYI berusia 50 tahun ini nekad untuk tidak memandang ke belakang lagi. Kemahuannya pada waktu ini hanyalah satu, mencari kebahagiaan buat diri sendiri.

Dia juga percaya makna kebahagiaan itu sendiri begitu luas untuk diungkapkan dan ia tidak semestinya harus datang daripada cinta manusia semata-mata.

Cukup subjektif untuk dikongsikan, kata Ziana apa yang penting dia mahu mengisi segala kebahagiaan di hati ditemani anak-anak dan bukannya bersama mana-mana lelaki lain.

Mengakui belum terbuka untuk menerima mana-mana lelaki dalam hidup ketika ini, Ziana tahu ada yang gemar mengusik manja mengenai statusnya yang kembali ‘single’ kini.

“Lelaki yang ingin mendekati? Mungkin adalah di luar sana, entah saya tak tahu dan tak mahu ambil tahu. Saya ni bukannya jenis wanita yang mudah membuka hati buat sesiapa sahaja.

“Betulkah ada lelaki yang mahu mendekati? Tengok muka saya yang garang macam ni, rasanya takkan ada yang berani rapat,” seloroh Ziana mengendurkan keadaaan.

Bagaimanapun dalam nada serius, dia tidak mahu memikirkan soal penganti atau berkahwin lagi. Sekiranya ia berlaku juga, semua itu adalah ketentuan Ilahi.

“Semua itu urusan Tuhan. Saya tak mahu banyak berfikir kerana keutamaan sekarang adalah kebahagiaan diri dan orang-orang di sekeliling,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Madah Berhelah ini lagi.