Ujian terhadap penyanyi M. Sani barangkali jauh dari akal fikir manusia biasa. Sungguh, bukan calang-calang orang mampu menghadapinya. Bayangkan, meringkuk dalam penjara selama 12 tahun 8 bulan, kerana dakwaan kes jenayah terhadap salah seorang ahli keluarganya sendiri, insan ini menerima dugaan itu dengan penuh ‘rendah hati’. Tuhan sedang menguji, demikian katanya berkali-kali.

Tidak hairan, penyanyi Rindu Hatiku Tidak Terkira ini kekal dengan senyuman yang ikhlas, dalam pertemuan dengan Pancaindera minggu lalu.

Mendengar beliau sudah dibebaskan, penulis mencari peluang untuk bertemu dengan rakan duet Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada zaman 1970-an dan 1980-an ini. Dibantu oleh Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave, hasrat itu berjaya apabila M. Sani hadir untuk satu urusan di pejabat YKAT.

“Macam inilah kehidupan saya sekarang. Masih tercari-cari peluang pekerjaan yang datang. Sekian lama berada dalam penjara, saya akui memang perlukan sedikit masa untuk bangkit semula. Tidak apalah, perlahan-lahan saya sesuaikan diri,” katanya dalam bahasa penuh santun.

Sang Juara Bintang RTM 1971 ini menerima hukuman di Penjara Sungai Buloh, Selangor bermula pada 2004 dan dibebaskan pada Disember 2017. M. Sani atau nama sebenarnya Md. Sani Abu Yamin yang kini berusia 68 tahun, menetap di Setapak, Kuala Lumpur bersama-sama isteri, Che Su Ramli. Wanita itu kekal setia sehingga ke hari ini di sisinya. Hasil dua perkahwinan, dia mempunyai lapan anak.

Tidak mahu lagi mengenang kisah lama yang perit itu, M. Sani mahu memberi fokus kepada kehidupan baharu, pasca keluar penjara. Baginya, setiap yang berlaku itu sudah tertulis. Kamus kehidupan di loh mahfuznya sudah tertulis sedemikian dan sebagai hamba Allah, dia reda menerima takdir hitam yang menjarah.

Cuma, pintanya usah lagi dia dihukum oleh manusia lain di muka bumi ini. Cukuplah sudah selama hampir 13 tahun dia menerima takdir pedih itu yang sekali gus memalitkan aib yang bukan sedikit.

“Saya sudah dihukum mengikut undang-undang dunia, itu takdir saya. Dan saya juga berharap agar masyarakat tidak lagi terus menghukum kerana mereka sendiri tidak tahu apa yang sebenar-benarnya di sebalik ‘tragedi’ yang berlaku kepada hidup kami sekeluarga sehingga membawa saya ke penjara.

“Usah lagi terus mengaitkan saya dengan cerita-cerita lama lagi,” katanya, memohon diri diberi belas kasihan.

PENJARA BUKAN NERAKA

Dalam perbualan dengan Pancaindera itu, M. Sani kelihatan sangat tenang. Malah, dia juga secara jujur bercerita mengenai ‘ujian’ maha berat yang pernah dilalui itu. Dalam bercerita, Sani kelihatan lebih banyak merenung jauh, dan tutur katanya begitu terjaga sekali. Bimbang kalau tersalah bicara, boleh membawa silap faham orang, barangkali.

Dengan senyuman yang cukup ikhlas M. Sani memberitahu bahawa penjara, bukanlah satu tempat yang membawa ‘celaka’ kepada dirinya. Sebaliknya selama tempoh hampir 13 tahun di situ, dia menjadi seorang manusia yang tahu bersyukur dan lebih dekat dengan Allah SWT.

“Saya menjadi guru mengaji al-Quran kepada beberapa orang mualaf. Kalau dikira, sekitar 28 orang sudah saya ajar mengaji al-Quran selama tempoh ditahan dan nama mereka saya simpan dalam buku khas, sampai sekarang buat kenang-kenangan.

“Allah memilih saya untuk ke satu tempat yang menjauhkan kita daripada perbuatan dosa. Allah memberikan ujian ini (dipenjara) kerana tahu saya mampu melaluinya,” katanya yang pernah sangat akrab dengan penyanyi Ameng sewaktu di penjara.

 

BERI KERJA - DAVE

Usaha Pancaindera menjejaki M. Sani dibantu oleh Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair, Datuk DJ Dave yang mengaturkan pertemuan dengan M. Sani untuk hadir ke pejabat yayasan tersebut di Kampung Attap, Kuala Lumpur. M. Sani turut menerima wang pencen daripada YKAT, satu skim khas yang disediakan kepada artis berusia 60 tahun ke atas.

Sementara itu, menurut Dave, semua pihak perlu memberi peluang kepada M. Sani untuk kembali ke dunia seni selepas ini.

“Dunianya adalah sebagai seorang penghibur dan dia akan kembali ‘bernyawa’ dan bersemangat jika terus diberikan peluang.

“M. Sani adalah seorang rakan artis yang baik dan tidak kenal erti putus asa dalam kehidupannya. Jadi, kita kena sentiasa beri sokongan dan dorongan dalam keadaan dia sekarang yang masih mencari peluang pekerjaan,” katanya.

Dave kini sedang mengusahakan pelbagai cara bagi mendapatkan peluang bagi artis-artis veteran untuk mendapat peluang pekerjaan. Malah, dia sedang berusaha dengan sebuah stesen TV untuk menganjurkan program khas bagi memunculkan semula artis-artis yang semakin dilupakan ini dek populariti artis muda semasa.

Bagi pendapat Dave, cara terbaik bagi membantu artis generasi lama adalah dengan memberikan mereka peluang muncul dalam saluran media, yang kemudian akan membuka peluang pekerjaan semula.

“Melalui program itu nanti, artis macam M. Sani dan rakan-rakannya ini akan ada peluang muncul di TV. Jadi, selepas itu orang akan ingat mereka semula dan akan datanglah tawaran membuat persembahan pentas dan sebagainya.

“Kita juga tidak melupakan nama-nama lain, antaranya Hamid Gurkha, Jamali Shadat (Datuk), Dhalan Zainuddin (Datuk), Andre Goh, Sarangapani dan ramai lagi yang sudah lama tidak mendapat peluang muncul di kaca TV.

“Insya-Allah, pihak saya sedang mengusahakannya melalui bantuan sebuah kementerian berkaitan,” jelas Dave.

PANCA TANYA

Fokus lebih setahun keluar penjara?

M. SANI: Saya akan teruskan karier sebagai penyanyi dan penglibatan dalam seni. Jika ada peluang, hendak buat bukan saja lagu bercorak komersial tetapi juga nasyid dan keagamaan pula. Kalau masyarakat terima saya sebagaimana dulu, insya-Allah saya akan cuba buat yang terbaik untuk semua terutamanya peminat. Sebenarnya saya mahu lebih dekatkan diri kepada Allah. Di dunia ni, kita hidup hanya sementara, hiburan pula hanya untuk isi masa lapang. Paling utama jaga hubungan dengan Allah.

Apa kenangan di penjara yang paling tidak dilupakan?

M. SANI: Penjara ni, kita punya dua jalan, mahu ke kanan atau ke kiri. Kalau ke kanan, kita akan jadi lebih baik dan positif akan semua perkara yang datang kepada kita. Paling saya tidak boleh lupa di penjara adalah setiap pagi kami akan habiskan masa di surau. Saya belajar agama bersama beberapa ustaz yang bagus dan baik. Terima kasih banyak kepada Ustaz Koperal Zainal dan Ustaz Affendi di Penjara Kajang. Mereka banyak memberi sokongan kepada saya. Ramai pegawai kanan beri sokongan dan kerjasama kepada saya.

Bagaimana pula hubungan dengan keluarga setelah jadi banduan?

M. SANI: Keluarga, adik-beradik tidak pernah singkirkan saya. Malah, ketika saya `di dalam’, setiap bulan mereka akan datang menziarahi, selalu. Mereka tahu apa yang sebenarnya terjadi kepada saya, jadi tak ada masalah. Anak-anak, isteri, anak buah dan keluarga lainnya sangat rapat sampai sekarang tidak ada yang berubah. Sebab itu saya bersyukur kepada Allah. Kasih sayang mereka terhadap saya, tetap macam dulu juga.

Maknanya, keluarga tidak pernah membuang abang?

M. SANI: Ya, saya tidak pernah dibuang oleh keluarga. Memang saya rasa bertuah sangat. Lagipun mereka tahu apa yang sebenar-benarnya terjadi, jadi mereka tidak pinggirkan saya walaupun seketika. Sejak di penjara, anak dan isteri pun datang. Semua okey dan tidak ada masalah, sampailah sekarang.

Pesanan kepada masyarakat yang mungkin memandang serong kepada seorang banduan?

M. SANI: Ini sudah menjadi takdir hidup saya. Apapun, kita perlu sayang kepada semua makhluk, pada sekalian di sekeliling kita. Saya harap masyarakat akan faham apa yang berlaku. Kita tidak tahu, pada pandangan kita nampak, tetapi pada hakikat hanya Allah sahaja boleh menghukum hambanya. Jangan sampai apa yang kita bercakap menjadi fitnah kerana kita tidak tahu apa yang sebenar-benarnya berlaku kepada orang lain. Lebih baik kalau kita mendoakan dan berkasih sayang sesama insan.