Siti Saleha
Siti Saleha

Mungkin sebab selama ini Siti Saleha belum berkesempatan nak tunjukkan kemampuan bakatnya. Taring tak keluar lagi sebab kebanyakan watak yang diterima lebih kurang sama saja.

Asyik-asyik berlakon jadi anak mat saleh atau perempuan yang bajet cun dalam drama. Berlainan dalam 7 Hari Mencintaiku. Siti Saleha berjaya membuai emosi penonton dengan menjayakan watak Mia daripada sejahat-jahat wanita bertukar kepada wanita yang baik.

Seperkara lagi yang membanggakan Miss J, Siti Saleha tak perlu melakonkan gimik murahan seperti melakonkan babak romantis suami isteri secara berlebihan dalam drama itu. Biarpun ada adegan di atas katil bersama pasangannya dalam drama itu, Shukri Yahya namun tiada yang berlebih-lebihan.

Maklumlah Shukri berstatus suami orang manakala Siti Saleha kan baru saja menjadi tunangan kepada Lutfi Azhar hujung November lalu. Jadi kena pandai membawa diri. Silap hari bulan, abang tunang cemburu, siapa pula yang susah nanti.

Yang pasti, Siti Saleha menjaga sensitiviti penonton Melayu drama itu yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Walaupun Siti Saleha berdarah kacukan Melayu-Inggeris, namun dia tetap menyanjung tinggi budaya masyarakat Melayu tempatan. Bagus Siti Saleha!

Miss J yang mengikuti perkembangan kerjaya Siti Saleha juga turut tumpang gembira dengan pencapaian terbarunya. Siti Saleha memang bijak membawa diri dan langsung tidak bersandarkan kepada wajah cantik untuk menarik perhatian peminat untuk terus mengikuti perkembangan kerjayanya.

Dan disebabkan pencapaian yang membanggakan itu, Miss J dapat tahu ada usaha yang dilakukan pihak tertentu menggunakan wajah Siti Saleha sebagai penarik produk kecantikan di alam maya.

Itu belum lagi dengan terciptanya beberapa akaun palsu laman sosial yang menggunakan profil wajah yang menyerupai milik Siti Saleha hingga mengelirukan ramai peminat. Habis semua kawan Siti Saleha kini berada dalam senarai pengikutnya dalam laman sosial yang sama.

Miss J juga yakin yang semua akaun palsu itu sengaja direka cipta untuk menumpang populariti nama Siti Saleha yang semakin meningkat naik ini. Cuma buat pada pelakon yang glamor. Tengok ada impak ke tak?

Bijak sampai jadi orang tua

UMUR artis ini masih muda tetap lagaknya mengalahkan orang tu apabila bercakap. Semua dia tahulah, pendek katanya. Semua dia betul, dalam tangan dia sahaja, termasuklah dalam bab menasihatkan orang sekeliling. 

Lagak artis muda ini pada waktu itu dah macam orang tua yang mempunyai pengalaman hidup 50 tahun lamanya dalam dunia ini, sedangkan budak-budak saja pun. 

Orang industri kata artis muda itu bijak disebabkan cara pemikiran dan persekitarannya yang dikelilingi golongan dewasa sejak kecil. Tapi apa pun, artis itu masih muda kalau diukur dari usia. 

Jadi artis itu masih terikat dengan batas adab dan rasa hormat dalam diri sepanjang bergaul dengan orang sekeliling yang rata-ratanya mereka terdiri daripada golongan yang lebih berusia daripadanya.

Kalau dua perkara itu tak ada, susahlah kalau kita nak bekerjasama dalam jangka masa yang panjang. Mungkin pada hari ini, artis muda itu boleh  bertahan tetapi apa yang bakal terjadi beberapa tahun kemudian.

Jadi tak perlulah nak menjadi orang tua sedangkan dalaman diri itu masih kekal muda dan masih hijau lagi. Lagipun hidup ini masih panjang. Tak perlu terburu-buru nak jadi lekas tua. Tak ada faedahnya.

Kahwin cuma sebulan, Ean kena kuat

RAMAI juga yang tertanya-tanya ke mana menghilangnya penyampai radio Hitz.FM, Tengku Mohd. Ean Nasrun atau Ean selepas tidak ke udara sejak kebelakangan ini.

Ada yang kata Ean kini sudah tidak lagi bekerja dengan stesen radio swasta itu disebabkan tidak mampu memberikan komitmen yang baik. Mana tidaknya, Ean dikatakan dah banyak kali menghilang dan memeningkan pihak pengurusan.

Semuanya berlaku selepas Ean bercerai dengan isteri, Zehan Marissa yang dipercayai membuatkan Ean tiba-tiba hilang arah panduan kira-kira tiga tahun lalu. 

Masa itu, Ean dah mula tertekan sebab hubungannya dengan isterinya hanya bertahan dalam tempoh sebulan,  sebelum masing-masing membuat haluan hidup sendiri.

Tak tahu pula apa punca rumah tangga Ean dan pasangan itu ditimba badai. Yang pasti waktu itu Ean berubah daripada seorang yang ceria dan banyak cakap kepada seorang yang pendiam. 

Khabarnya, Ean sudah menemui seorang wanita baharu dalam hidupnya. Tapi entah macam mana, hubungannya dengan wanita itu tidak berkekalan. 

Ada yang membisikkan ke telinga Miss J yang Ean kini berada dalam tekanan selepas apa yang terjadi dalam hidupnya. Apa yang membimbangkan jika tekanan itu tidak terkawal menyebabkan Ean berdepan dengan kemurungan pula.

Ean janganlah begitu. Kehidupan ini tidaklah sesukar yang disangka. Apa yang penting adalah jiwa kita perlu tebal untuk berdepan dengan apa cabaran mendatang. Jadi lelaki kena kuat!