Menurut Siti Nurhaliza, 38, anak sulung hasil pernikahannya selama 11 tahun dengan usahawan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 58, itu dijangka lahir sekitar Mac depan.

“Alhamdulillah, tiada kata yang dapat menggambarkan rasa syukur dan gembiranya kerana Allah memberikan kurniaan yang terlalu agung ini selepas 11 tahun kami bersabar. 


“Inilah juga menjadi sebab utama kenapa saya memilih untuk berehat kerana kandungan dan bayi ini menjadi keutamaan saya,” kata Siti Nurhaliza semasa mengumumkan berita gembira itu dalam sidang akhbar di kediamannya di sini malam ini.


Siti Nurhaliza juga tanpa berselindung memberitahu yang dia juga menerima rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Sebelum sidang akhbar itu, pasangan suami isteri itu mengadakan majlis kesyukuran dan doa selamat yang dihadiri oleh kaum keluarga, sahabat karib serta anak-anak tahfiz.


Pengumuman berkenaan sekali gus menjawab pertanyaan netizen dan media yang sebelum ini sering berteka-teki mengenai kehamilannya berikutan penyanyi berkenaan tidak muncul dalam pelbagai acara hiburan.


Media-media tempatan juga sebelum ini tidak ketinggalan membuat spekulasi mengenai kehamilannya namun baik Siti Nurhaliza mahupun syarikat pengurusannya, Siti Nurhaliza Productions (SNP) mengambil sikap berdiam diri.


HAMIL empat bulan... Siti Nurhaliza selepas selesai majlis pengumuman
HAMIL empat bulan... Siti Nurhaliza selepas selesai majlis pengumuman berita gembiranya di kediamannya di Hulu Kelang, Selangor. - UTUSAN ONLINE

Berikutan kehamilan tersebut, penghibur yang sangat terkenal dengan lagu Cindai dan Jerat Percintaan itu memberitahu, beliau akan berehat daripada sebarang aktiviti pertunjukan pentas sehingga kelahiran anak sulungnya.


Selama menyepikan diri dari dunia hiburan, Siti Nurhaliza mengakui, beliau mengikuti laporan-laporan termasuk spekulasi mengenai dirinya yang dikongsi atau ditular di media-media sosial.


Bagaimanapun, kata Siti Nurhaliza, beliau memilih untuk berdiam diri kerana mempunyai fokus tersendiri sepanjang tempoh ‘berehat’ itu.


Dalam masa sama, Siti Nurhaliza dan suaminya juga yakin yakin ramai dalam kalangan rakan-rakan wartawan mahupun peminat-peminatnya sudah menghidu mengenai kehamilannya itu. 


“Sehubungan itu, saya berpendapat, elok benar saya bertemu sahabat-sahabat media untuk anda mendengar sendiri dari mulut saya mengenai perkembangan terbaharu saya,” katanya lagi.


Kenyataan yang dibuat Siti Nurhaliza itu turut disiarkan secara langsung di media-media sosial.


Penghibur kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu juga memberitahu, tujuan pengumuman dan penjelasan kehamilan beliau dibuat ialah bagi memudahkan pihak-pihak luar yang berurusan dengan SNP memahami situasinya yang tidak dapat memenuhi sebarang undangan sejak beberapa bulan lalu dan untuk suatu tempoh pada masa depan.


Dalam sidang akhbar itu, Siti Nurhaliza turut berkongsi rasa kesyukuran kerana sehingga saat ini beliau masih menerima undangan mengadakan konsert, persembahan, kemunculan di televisyen dan radio serta menjadi jurucakap kepada pelbagai produk.


“Sayang sekali, kebanyakannya tidak dapat saya penuhi. Bagaimanapun saya juga harus melunaskan beberapa tugasan selepas ini yang bersesuaian dengan keadaan saya,” sambung beliau lagi.


Berita kehamilan Siti Nurhaliza ini menarik minat peminat-peminat setianya kerana penyanyi itu dan suaminya bersabar menanti selama 11 tahun untuk menimang cahaya mata sulung mereka.


Bagaimanapun pada awal November 2015, Siti Nurhaliza pernah hamil namun beliau mengalami keguguran ketika kandungannya berusia dua bulan.


Siti Nurhaliza dan Khalid yang juga seorang duda mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006. Perkahwinan pasangan itu mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan negara serantau.- UTUSAN ONLINE