Siti berkata, dia akan memikirkan sesuatu untuk menyumbang ke arah memartabatkan semula lagu-lagu berentak irama Malaysia.


“Pemergian Pak Ngah amat mengejutkan banyak pihak. Buat masa ini saya masih belum memikirkan sebarang perancangan.

“Bagaimanapun sebelum ini saya dan Pak Ngah pernah berbincang untuk menghasilkan sebuah lagu etnik, malangnya tak berkesempatan setelah dia pergi buat selama-lamanya,” ujar penyanyi itu.


Ketika ditanya kewajaran untuk menganjurkan sebuah konsert tribute bagi memperingati jasa dan bakti Allahyarham, Siti tidak menolak untuk mempertimbangkan cadangan tersebut dan akan bekerjasama dengan rakan-rakan artis lain terutama Noraniza sendiri yang digelar Ratu Irama Malaysia.


Sementara itu, Noraniza yang sedang giat mengadakan siri jelajah Akar Kita Zapin sejak 2016 memberitahu, penganjuran konsert tribute memerlukan perancangan yang terperinci dan tidak boleh dibuat sambil lewa.


“Jika diizinkan Allah dan mendapat sokongan banyak pihak termasuk barisan penaja, tak mustahil usul ini boleh direalisasikan.


“Bagaimanapun perkara ini memerlukan sedikit masa untuk diperhalusi supaya matlamat dan objektifnya dapat dicapai,” katanya.


Terdahulu, Pak Ngah disahkan meninggal dunia di Rumah Sakit Provinsi Kepri Tanjung Pinang, Batam, Indonesia pada pukul 3.05 petang semalam akibat komplikasi jantung.


Difahamkan, doktor yang merawatnya turut mengesahkan arwah menghidap penyakit pneumonia yang membuatkannya sukar bernafas.


Dalam pada itu, penerbit Liga Dangdut Asia atau sebelum ini dikenali dengan nama D’Academy Asia iaitu Ekin Gabriel berkata, komposer tersebut dijangka terlibat dengan penerbitan musim keempat program realiti berkenaan yang bakal disiarkan di stesen televisyen Indosiar bermula Oktober ini.


“Kami warga seni di Indonesia turut merasai kehilangan apatah lagi pembabitannya sejak musim pertama pada 2015 telah meninggalkan impak terhadap pembangunan muzik tradisi nusantara,” katanya yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir. - UTUSAN ONLINE