Biarpun ada banyak genre yang boleh dinyanyikan tetapi menurut penyanyi berusia 25 tahun itu, dia lebih selesa dengan seleksi lagu-lagu begitu buat masa ini.

Maklum dengan perkembangan muzik terkini Sufian akui, genre sebegitu lebih menjadi pilihan halwa telinga pendengar malah dia tidak kisah sekiranya ada kalangan peminat muzik tempatan menggelarkan dirinya ‘raja tangkap leleh’ atau ‘raja lagu sedih’.

“Tidak keterlaluan andai saya katakan yang lagu-lagu berentak begini sudah lama dimainkan, sejak tahun 80-an lagi dan saya rasa muzik tanah air kita sekarang lebih ke arah lagu berentak mendayu-dayu dengan unsur kesedihan.

“Oleh kerana karya begini lebih mendapat tempat di hati peminat jadi saya mengambil peluang itu untuk mengeluarkan lebih banyak single yang mendayu-dayu.

“Malah sebelum menghasilkan lagu baharu, saya mesti membuat kajian dan menyelidik tentang perkembangan muzik tanah air dari segi minat pendengar. Ternyata hasilnya, lagu sedih dan mendayu-dayu lebih digemari,” jelasnya.

Sufian turut berkongsi penangan single terkininya, Di Matamu yang berjaya mencipta fenomena dengan mencatat rekod apabila meraih 12 juta tontonan sejak dimuat naik pada 22 Mac lalu di laman perkongsian video YouTube.

Bersyukur dengan sambutan hangat yang diterima, jejaka berkacak mata ini turut mengucapkan penghargaan buat para peminat atas sokongan yang tiada berpenghujung.

Ternyata sentuhan magis komposer Sirkhan dan Rinkarnaen menerusi lagu yang dimuat naik pada tarikh dia sepatutnya bernikah itu berjaya membuatkan para peminat khususnya remaja ‘melekat’ dengan ciptaan ‘tangkap leleh’ mereka.

Saat ditanya apakah dia tidak kisah andai lagu Di Matamu itu dijadikan lagu tema percintaan golongan muda, dengan ayat yang tersusun indah, dia mengatakan adalah sesuatu yang luar biasa untuk menghalang minat seseorang.

“Tak mungkin saya nak halang, kan? Bagi saya, lagu yang berentak balada dan muzik perlahan seperti Di Matamu ini lebih dekat dengan orang kita malah lagu seumpama itu bukannya baru tahun ini muncul.

“Sejak dari dulu lagi lagu-lagu begini sudah ada. Saya pun ada pilihan lagu yang disukai yang dinyanyikan oleh penyanyi lain.

“Cuma jika peminat mahu menjadikan lagu ini sebagai lagu tema percintaan atau putus cinta, terpulanglah kepada penerimaan masing-masing. Setiap orang memiliki cita rasa berbeza. Jadi saya tidak boleh halang,” jelasnya.

Sambil menyifatkan lagu Di Matamu itu merupakan lagu kebangkitan semulanya dalam industri selepas buat julung kalinya muncul dengan lagu hits Terakhir pada 2016.

“Tiga lagu sebelum ini adalah hasil eksperimentasi. Justeru bila nak buat lagu baharu, sudah tentu saya perlu memastikan saya mampu meninggalkan karya yang mampu memberi impak.

“Di Matamu sangat istimewa dan bermakna buat saya. Nilai sentimental dalam lagu ini tinggi dan ada dalam diri saya. Justeru saya memang mengharapkan single ini meledak.

“Sejujurnya sebelum benar-benar yakin untuk melancarkan single tersebut, saya mendengar berulang kali dan memikirkan apakah lagu ini akan disukai ramai.

“Malah sokongan rakan artis yang menyanyikan semula lagu ini dengan versi mereka adalah satu bentuk promosi yang baik untuk Di Matamu. Pelbagai versi saya dengar dan saya anggap itu tanda sokongan,” ujarnya terharu.

Bekas penari zapin, ulek mayang

BERCERITA tentang projek terkini, Sufian bertuah kerana bakal terbabit dalam pertandingan Malaysian Floor Pattern Sport Dance 2018 bertempat di Istana Budaya bermula 8 Mei hingga 12 Mei depan.

Mungkin ada yang mempersoalkan apa kaitan pertandingan itu dengan dirinya? Meskipun dia hanya dipelawa sebagai penyanyi jemputan namun ada bakat tersembunyi yang dimiliki Sufian yang ramai orang tidak tahu.

Malah Sufian tanpa segan silu berkongsi tentang bakat terpendamnya yang berkebolehan menari tarian tradisional zapin.

“Sewaktu di bangku sekolah di Johor, saya aktif menari zapin dengan kumpulan tarian peringkat sekolah. Bakat itu diteruskan sehingga sewaktu saya menyambung pengajian di Unversiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Terengganu.

“Di Unisza saya menyertai band nyanyian kelab kebudayaan dan ketika itu pusat kesenian warisan di tempat saya belajar sedang mencari penari ulek mayang, saya tanpa segan silu menawarkan diri.

“Namun kalau diminta menari sekarang, saya tidak akan buat lagi rasanya sebab hanya akan memalukan diri sendiri sahaja,” ujarnya sambil tertawa kecil.

Walau bagaimanapun, Sufian menyimpan impian untuk mencuba lagu rancak dan diserikan dengan tarian moden bagi buah tangan baharunya pada masa akan datang.

“Saya suka tarian seperti Justin Timberlake. Teringin nak ada satu lagu rancak seperti dia dan saya sanggup masuk kelas tarian untuk latihan tarian moden sebegitu.

“Bergelar penyanyi, tidak perlu malu untuk lakukan pembaharuan. Sesekali nak juga ada lagu rancak seperti artis lain. Mungkin satu hari nanti akan tertunai, siapa tahu?” akhirinya.