Ketika meraikan ulang tahun ketiga syarikat pengeluar produk kecantikan berkenaan semalam, Sherry memberitahu, dia kurang gemar bercerita tentang kehidupan peribadinya itu apatah lagi hubungan tersebut masih baharu.

“Hubungan kami masih berada pada fasa saling mengenali antara satu sama lain. Jadi, lebih baik saya simpan saja kisah ini untuk diri sendiri.

“Jika ada perkembangan terhadap hubungan ini, barulah saya sedia untuk berkongsi kepada semua terutama peminat,” katanya menetapkan pendirian.

Tambah Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim menegaskan, dia tidak akan mendedahkan gerangan kekasih hatinya sehinggalah hubungan mereka berada pada satu tahap yang lebih serius.

“Andai ditakdirkan dia adalah jodoh saya, jangan risau, saya sendiri akan beritahu nanti. Iyalah, perkara yang baik buat apa nak sorok,” janjinya.

Sherry menambah, Rabu ini dia bakal melancarkan koleksi tudung di bawah jenamanya sendiri iaitu Sherry Scarves.

“Ini adalah cabang baharu perniagaan saya dan berharap segala-galanya dipermudahkan,” pintanya memanjatkan doa dan harapan. - UTUSAN ONLINE