Bagi Iedil Putra walaupun ada yang mencadangkan supaya dia berhijrah sahaja ke Indonesia iaitu negara kelahiran isterinya, Prisia Nasution, namun pelakon filem One Two Jaga ini tidak melihat ia perkara yang terbaik pada waktu ini.

Malah, dia yakin sepanjang tiga tahun menjalani kehidupan sebagai seorang suami, hubungannya dengan Prisia tidak pernah terkesan dengan kesibukan mereka sebagai pelakon.

“Buat masa ini memang saya lebih banyak masa di Indonesia, namun itu bukan bermakna saya akan berhijrah terus ke sana sebab saya yakin masih banyak yang perlu saya lakukan di sini, malah tawaran berlakon juga banyak.

“Namun saya tidak nafikan dalam waktu sekarang saya dan isteri memang agak sibuk dengan kerjaya masing-masing. Sebab itu saya yang ambil tanggungjawab untuk berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta bertemu dengannya,” katanya.

Ketika masing-masing sibuk mengukuhkan nama sebagai seorang pelakon, kongsi Iedil, antara tips yang membuatkan rumah tangganya sentiasa bahagia adalah melalui kepercayaan.

Malah, sepanjang tempoh ini juga dia dan isteri sentiasa berusaha memberikan yang terbaik buat perkahwinan mereka.

“Paling lama kami tidak bertemu adalah selama sebulan. Ketika itu saya berada di Jepun untuk persembahan teater dan Prisia pula sibuk dengan kerjaya lakonannya di Indonesia.

Namun dalam keadaan itu kami sentiasa berusaha untuk menghubungi satu sama lain.

“Jika dia pula berada di luar negara untuk penggambaran, saya akan cari waktu untuk terbang bertemu dengannya. Memang begini kehidupan saya dan isteri sejak berkahwin, tidak pernah timbul masalah memandangkan prinsip perkahwinan kami adalah setiap hari kami bercinta,” katanya jujur.

Melihat kejayaan pasangan paling popular di Indonesia, Ashraf Sinclair dan isterinya Bunga Citra Lestari (BCL) ada yang membayangkan Iedil dan isterinya akan mengikut langkah yang sama.

Bagi Iedil bukan mudah untuk menembusi pasaran Indonesia, namun dia tidak menafikan ketika ini namanya sedang diterima.

“Walaupun berkahwin dengan orang sana tetapi saya lebih senang untuk menggunakan nama sendiri.

Ketika ini saya sudah ada wakil pengurusan di sana. Jadi lebih mudah jika mendapat tawaran berlakon.

“Alhamdulillah saya juga berada dalam filem terbaharu BCL dan Reza Rahadian. Ini filem pertama saya di Indonesia. Ini langkah yang baik memandangkan dapat berlakon dengan mereka yang boleh dianggap yang terbaik di sana.

“Apa pun itu tidak bermakna mudah untuk saya bersaing membina nama. Masih perlu kerja keras,” katanya.

Anak dan rencana

Selepas tiga tahun berkahwin mana-mana pasangan pun pasti mengimpikan anak sebagai penyeri kehidupan mereka.

Ketika ini Iedil, 34, tidak menafikan dia dan isteri agak sibuk dengan kerjaya, namun tidak bermakna mereka tidak memikirkan soal ini.

“Kami percaya dengan rezeki yang sudah ditetapkan. Mungkin sekarang belum rezeki lagi, insya-Allah satu hari nanti ada. Kami juga tidak merancang apa-apa.

“Dalam keadaan ini kedua-dua belah keluarga juga tidak pernah bertanya dan mendesak. Kami bersedia menerima rezeki anak bila-bila masa yang sudah ditentukan,” jelasnya.

Sukar menjangka apa yang akan berlaku pada masa hadapan, ketika ini kata Iedil, mereka cukup selesa dengan kehidupan yang sibuk.

Namun, jika ditakdirkan suatu hari nanti keluarganya sudah membesar mungkin ada yang perlu disesuaikan.

“Kalau ada anak nanti mungkin keadaannya berbeza, mungkin saya akan berada di Indonesia sahaja ketika itu.

“Namun buat masa ini kami mengikut rentak sahaja,” katanya.