Setiausaha Agungnya, Hafiz Hanafiah dalam satu kenyataan menjelaskan, Seniman amat menitikberatkan permasalahan yang berlaku supaya setiap ahli yang berdaftar di bawah persatuan tersebut dapat manfaatnya.

“Bahkan, selain masalah bayaran yang tidak berbaloi, kebanyakan pelakon di negara ini turut dikerah kudrat mereka untuk bekerja lebih waktu, sekali gus menimbulkan tekanan.

“Justeru, Seniman cuba untuk menyelesaikan masalah-masalah yang kerap kali disuarakan sebaik mungkin tanpa mengguris hati mana-mana pihak,” katanya kepada Utusan Online.

Hafiz menambah, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil produksi bagi memperhalusi permasalahan yang sering berlaku dalam kalangan pelakon tempatan.

Bukan itu sahaja, Seniman turut bersedia untuk menerima atau mendengar sebarang aduan mahupun usul yang ingin diketengahkan agar tidak berbangkit lagi di kemudian hari.

“Buat masa ini, persatuan terlebih dahulu mahu menyelesaikan masalah berkaitan tempoh kerja dan kadar bayaran. Dua isu ini menjadi keutamaan.

“Jika diamati betul-betul kebelakangan ini, kadar bayaran yang diberikan kepada golongan pelakon veteran dan ekstra amatlah menyedihkan,” ujarnya.

Justeru, mewakili persatuan tersebut yang ditubuhkan bagi membela nasib artis tanah air, Hafiz berharap dapat diberikan sedikit waktu kepada Seniman.

Pada masa yang sama, dia juga mengharapkan kerjasama semua pihak untuk mengusulkan cadangan bagi sama-sama menangani masalah di samping meningkatkan tahap profesionalisme industri lakonan Malaysia. - UTUSAN ONLINE