Ibarat tiada erti sesal, Aliff menerima kecaman hebat warganet yang menyatakan sokongan padu terhadap isterinya yang telah beberapa kali ‘ditipu’ dan dipermainkan.

Namun Aliff yang juga bapa kepada seorang anak secara eksklusif kepada Utusan Online berkata, sekarang adalah fasa paling getir yang dia lalui sepanjang 28 tahun hidup.

“Aliff minta jasa baik ye. Aliff tak nak bercakap dengan sesiapa buat masa sekarang.

“Ini fasa paling getir dalam hidup saya tapi insya-Allah,” katanya.

Bagaimanapun, Aliff enggan meneruskan perbualan tersebut dan meminta ruang kerana dia baru sahaja menjalani pembedahan.

“Maaf, sekarang Aliff baru habis pembedahan dan tidak ada apa nak borak buat masa sekarang,” katanya lagi.

Selasa lalu sekali lagi nama Aliff terpalit kontroversi apabila gambar tidak senonoh bersama gadis bawah umur tular dan menggemparkan industri hiburan tanah air.

Kru Utusan Online menerjah ke sebuah hotel di ibu kota yang dipercayai menjadi tempat berlindung pelakon itu setelah gambar tersebut tersebar.

Menurut sumber, hotel tersebut merupakan lokasi ‘persembunyian’ Aliff untuk 10 malam berturut-turut bermula 13 Mei lepas. - UTUSAN ONLINE