Namun, siapa sangka, menerusi gambar itu Rapidah Abd. Ghani, 43, mula berhubung dengan Jalaluddin dan akhirnya sah bergelar seorang isteri. Baginya, apa yang berlaku adalah aturan Allah yang tidak dijangkakan sama sekali.

“Pada mulanya saya berhubung dengan dia sebagai seorang kawan sahaja. Tetapi lama kelamaan, saya mula tertarik dengan sikap penyayang dan bertanggungjawab yang ada padanya.

“Ketika dia beritahu mahu menjadikan saya seorang isteri, agak lama juga saya berfikir sebelum terima. Apa yang saya lakukan adalah untuk minta pada Allah supaya keputusan yang diambil ini adalah terbaik untuk saya dan dia,” jelas ibu tunggal kepada empat orang anak ini.

Bercerita mengenai penerimaan anak-anaknya, Rapidah mengakui, mereka gembira bila saya luahkan rasa hati untuk berkahwin dengan Jalaluddin.

Lagipun, anak-anak juga sebelum ini sudah menyuruh untuk dia memilih seorang lelaki yang boleh dijadikan peneman hidup.

“Mereka pesan, kalau saya solat seorang diri, pahala kurang sedikit berbanding solat sebagai seorang isteri.

“Sebab itu mereka beri saya kebenaran untuk berkahwin. Malah dengan kata-kata mereka itu juga yang memberikan saya kekuatan untuk menerima lamaran bergelar isteri kepada Jalaluddin,” katanya.

Berbeza pula bagi Jalaluddin yang pada awalnya takut untuk memberitahu anak-anak mengenai keputusan berkahwin apatah lagi ketika itu perasaan rindu pada Allahyarham isteri, Hashimah Mad Ehsan masih lagi kuat.

Reaksi yang diberikan anak-anaknya juga positif. Mereka merasakan bahawa seseorang perlu ada untuk menjaga beliau sama seperti yang dilakukan oleh arwah ibu mereka.

Cuma yang menduga Jalaluddin untuk mendirikan rumah tangga ketika itu ialah ibu Rapidah, Hesah Samad, 77, yang agak risau dengan statusnya sebagai seorang selebriti.

“Alhamdulillah, abang Rapidah, Lokmah Ghani yang juga merupakan rakan seni saya cukup kenal dengan saya.

“Dia yang meyakinkan ibunya untuk menerima saya sebagai menantunya yang baharu,” jelasnya.

Sebak melafaz taklik

Usai pernikahan, seorang lelaki yang bergelar suami perlulah melafazkan taklik. Ketika ini, Jalaluddin agak sebak untuk melafazkannya.

Ditanya mengapa rasa sebak itu muncul, jelas Jalaluddin, beliau melafazkan janji yang sama ketika berkahwin dengan Allahyarham isterinya 40 tahun yang lalu.

“Sebelum ini saya pernah melafazkan janji yang sama kepada arwah isteri. Siapa sangka, tuhan lebih menyayangi dia.

“Kali ini, janji itu bertukar kepada isteri saya yang baharu. Sebab itu saya rasa sebak dan tahu tanggungjawab itu sebenarnya berat,” jelasnya.

Namun, bagi Jalaluddin, menerusi perkahwinan sebelum ini, beliau bersyukur kerana sudah melatih dirinya untuk menjadi seorang suami yang baik kepada arwah.

Perkahwinan sebelum ini sudah banyak mengajarnya erti tanggungjawab dan kesetiaan pada pasangan.

“Saya tidak pernah lupakan dia. Pagi sebelum bernikah pun saya sempat pergi ke kubur arwah pada pukul 7 pagi.

“Saya menyatakan luahan hati saya dan bercakap seorang diri. Kalau lihat memang macam orang bodoh, tetapi itulah cara untuk saya meluahkan kepada arwah,” jelasnya.

Menerusi perkahwinan kedua ini, harapan Jalaluddin hanyalah satu, untuk mengembalikan suasana dan kegembiraan keluarga sama seperti yang arwah lakukan dahulu.

 

hits hiburan utusan malaysia