Nabila AF


Agak menghairankan kerana setakat yang diketahui teman-teman media, Nabila masih belum mempunyai kekasih hati dan hal itu juga sebelum ini pernah diperakui oleh Nabila ketika ditemubual.

Pun begitu, berita mengenai perihal kahwin itu bukan datangnya daripada orang lain. Sebaliknya daripada Nabila sendiri yang dilihat telah mengemaskini statusnya di laman sosial.

Hal itu menimbulkan reaksi pelbagai memandangkan setelah mengemaskini status berkenaan, Nabila tidak pula membalas pertanyaan ramai seolah-olah sengaja menagih perhatian orang.

Pancaindera menghubungi Nabila untuk medapatkan reaksinya mengenai 'perkahwinannya’ itu.

Baru-baru ini anda berkongsi berita bakal menamatkan zaman bujang. Betulkah nak kahwin?

Maaf sangat sebab mengelirukan orang ramai terutama peminat. Sebenarnya status yang saya kemaskini di laman sosial baru-baru ini cuma satu gurauan saja. Saya menyahut cabaran teman-teman untuk satu permainan ini yang saya tidak boleh beritahu sebab atau apa perkara itu selepas mengemaskini status tersebut. Saya pilih untuk mengemaskini isu kahwin. Niatnya cuma untuk berseronok sahaja sebab itu memang sebahagian daripada permainan tersebut. Mula-mulanya kawan saya yang buat, kemudian saya 'dipaksa' buat perkara yang serupa. Tak ada apa pun, cuma sekadar berseronok saja dan saya tiada niat pun nak mainkan perasaan orang.

Mungkin bagi mereka yang tahu permainan itu akan faham. Tapi bagi yang tak tahu, mereka akan percaya dan anggap anda bakal berkahwin. Apa penjelasan anda?

Itulah pengajaran di bulan puasa ini. Kalau tak tahu dengan sebarang cerita, jangan juga sebarangan percaya atau buat andaian. Mereka yang percaya itu sebab mereka tak tanya sayalah... Cuba bertanya sendiri, bukankah tak perlu berteka-teki.

Tapi mengikut cerita, anda sebelum itu pun pernah mengemaskini status yang berbentuk isyarat tertentu. Dalam status itu anda seolah-olah sedang membuat pilihan sama ada ya atau tidak. Orang ramai mengaitkannya dengan status paling baharu mengenai perkahwinan. Komen anda?

Tak. Itu mengenai pertimbangan nak sambung belajar. Saya terfikir untuk sambung belajar ke peringkat Sarjana selepas tamat pengajian di peringkat Sarjana Muda. Tapi itu pun saya masih berbelah bahagi sama ada nak sambung atau tidak sebab sekarang saya terbeban dengan dua perkara iaitu kerja di pejabat dan karier nyanyian. Kalau saya sambung belajar pula selepas ini, mungkin beban saya akan bertambah lagi. Cuma apabila saya bertanya kepada teman-teman, ramai yang sokong saya untuk terus lanjutkan pengajian di peringkat Sarjana. Kalau saya teruskan membuat permohonan, mungkin saya akan pertimbangkan universiti di Kuala Lumpur. Ini bagi memudahkan saya untuk mengendalikan bidang seni dan pekerjaan yang saya lakukan sekarang.

Sudah fikir masak-masak?

Sudah. Cuma nak tunggu buat permohonan saja dan pada masa yang sama saya perlu uruskan banyak perkara. Insya-Allah, saya akan sambung pengajian di bidang yang sama iaitu seni bina. Cuma saya bimbang sekarang memanglah saya tak sibuk lagi, cuma gigih promosi lagu Cemburu. Tapi seandaianya permohonan itu diterima ketika saya benar-benar sibuk, mungkin saya akan pertimbangkan sekali lagi yang terbaik untuk saya ketika itu.

Kesimpulannya, ini bukan pasal kahwinlah?

Tidak... jangan buat spekulasi.

Apa komen anda jika ramai beranggapan anda sengaja meraih perhatian dengan cara itu?

Kalau ada yang bagi perhatian, baguslah. Lagipun saya sedang promosi lagu Cemburu (berseloroh). Bukan saya sengaja nak raih perhatian. Ramai saja yang buat perkara serupa cuma mungkin sebab saya selebriti maka orang lekas ambil serius.

Isu kahwin adalah soal yang amat besar. Andai orang anggap anda main-main dengan perkara serius begini, bagaimana?

Saya sendiri pun tak terfikir sampai jadi begini sebab mulanya sekadar main-main saja. Bukan apa, kalau asyik kemaskini pasal diri sendiri, mood kerja dan sebagainya pun bosan juga. Jadi saya gunakan pendekatan itu supaya peminat tak bosan. Tapi saya pun tak sangka ada yang ambil tahu mengenainya.

Atau sebenarnya memang nak kahwin tapi nak sorok-sorok?

Belum lagilah. Tapi kalau perkara itu benar-benar berlaku, tiada sebab untuk saya merahsiakannya daripada pengetahuan umum. Kalau dulu ya saya mungkin marah apabila ditanya soal ini. Sekarang saya rasa umur 24 tahun ini pun saya sudah fikir rasa nak tamatkan zaman bujang lekas-lekas. Iyalah, nak tunggu apa lagi? Kadang-kadang bercinta lama pun tak menjadi akhirnya. Kalau susah sangat, saya suruh sahaja ibu atau ayah saya yang carikan jodoh.