Ifa, 44, atau Saripah Raziah Mustapha ketika ditemui memberitahu, dia sebenarnya tidak menjangkakan karnival pertama Star Vendors di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Ramadan lalu berlangsung dengan jayanya.

“Maklumlah, Star Vendors adalah jenama baharu jika hendak dibandingkan dengan pesaing lain yang telah bertapak lebih awal.

“Disebabkan itu, saya bersyukur kerana mendapat maklum balas positif daripada para pelanggan yang membeli-belah di gerai-gerai jualan disediakan.

“Terkini pada 3 dan 4 Ogos ini, karnival jualan Star Vendors akan menakluk tanah jajahan di Negeri Bawah Bayu iaitu Sabah,” ujarnya selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Star Vendors sambil berkongsi rasa bangga.

Terdahulu, Ifa berkata demikian sewaktu ditemui sempena pelancaran lagu tema Star Vendors bertajuk Starlela yang dinyanyikannya secara trio bersama dua lagi penyanyi kelahiran Borneo iaitu Bella Astillah dan Zizi Kirana.

Pada masa sama, menjawab dakwaan dia mahu ‘membalas dendam’ atas perbalahannya dengan bekas majikannya sebelum ini,Ifa menegaskan bahawa itu semua adalah spekulasi umum..

“Saya dikelilingi orang-orang yang positif yang ingin bersaing secara sihat.

“Jadi, tiada niat kacau rezeki sesiapa. Ini cuma usaha sendiri untuk mencari bahagian rezeki saya yang ditetapkan-Nya,” ulas penyanyi itu.

Mengulas tentang karya ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik ditulis oleh Zizi Kirana tersebut, Ifa optimis penghasilan lagu berkenaan tepat pada masanya sebelum kru produksi Star Vendors menjejakkan kaki di Sabah.

“Bahkan, pembabitan Bella dan Zizi dalam lagu ini juga dilihat amat bertepatan memandangkan mereka adalah sumandak (wanita) Sabah.

“Mengadunkan irama pop dan latin, melodi Starlela ibarat peniup semangat golongan wanita untuk bangkit berdikari tanpa bergantung harap sepenuhnya terhadap lelaki.

“Itulah simbolik perjuangan kami bertiga demi menempatkan diri dalam bidang seni dan juga perniagaan,” jelas usahawan wanita kelahiran Jitra, Kedah itu. - UTUSAN ONLINE