Bagi mengenang jasa besarnya dalam dunia komik, bekas sekolah lamanya, Sekolah Tinggi DeWitt Clinton telah mengabadikan lukisan mural wajah Lee dan watak adiwira ciptaannya seperti Spider Man, Iron Man dan Incredible Hulk di tiga bahagian dinding di sekolah tersebut sebagai mengenang legasi yang ditinggalkannya.

Bukan setakat itu sahaja, media sosial terutamanya Twitter dan Facebook miliknya terus aktif dan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi mengenang beliau. Malah, tanggal 4 Januari lalu media sosial milik lagenda komik itu mengimbas semula penghargaan yang diterima beliau apabila namanya terpahat di Hollywood Walk of Fame, Los Angeles, lapan tahun lalu.

KARIER BERMULA

Dilahirkan pada 28 Disember 1922, karier Lee dalam dunia komik bermula sekitar 1939. Ketika berusia 18 tahun beliau telah mendapat tawaran untuk bekerja dengan Timely Comics yang kemudiannya menukar nama kepada Marvel. Ketika itu syarikat tersebut dimiliki oleh Martin Goodman.

Pada awalnya Lee bekerja sebagai budak pejabat sebelum mula menulis di syarikat tersebut dengan menggunakan nama Stan Lee sebagai nama pena. Karier Lee mula menyinar selepas dilantik sebagai ketua editor ketika berumur 19 tahun bagi menggantikan Joe Simon yang meninggalkan syarikat tersebut akibat tidak berpuas hati isu bayaran.

WATAK SPIDERMAN

Antara watak paling terkenal ciptaannya sudah pasti Spider Man. Menariknya ketika Lee baru mula bekerja watak adiwira Superman telah dicipta. Selain itu, antara watak lain yang terkenal waktu itu ialah Human Torch, Sub Mariner, Father Time dan Hurricane. Watak Hurricane misalnya mengisahkan mengenai seorang adiwira yang berlari dengan sangat laju. Disebabkan itu Lee mula mencari satu watak baharu yang mampu menarik perhatian peminat.

Ketika itu yang terlintas difikirannya ialah satu watak yang mampu merangkak di dinding dan antara nama bermain difikirannya ialah Mosquito Man dan Fly Man. Bagaimanapun, nama tersebut dianggap tiada daya tarikan sehinggalah beliau terfikir nama Spider Man. Watak tersebut ternyata membawa tuah kepadanya sehingga ke hari ini.

HAMPIR MUFLIS

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, populariti industri komik mula merosot. Pada 1954 hanya siri Batman, Superman dan Wonder Woman yang mampu bertahan. Di Timely semua watak siri adiwira terpaksa dibekukan sehingga menyebabkan Lee mengubah hala tuju syarikat dengan menumpukan kepada laporan berita berbentuk jenayah, seram dan koboi.

Kemerosotan mendadak industri tersebut membuatkan Timely hampir muflis dan menyebabkan Lee memikirkan untuk bersara. Biar pun, telah melakukan pelbagai usaha, syarikat miliknya masih berhadapan dengan risiko muflis sehingga memaksa Lee menjual perabot pejabat dan membuang ramai pekerjanya. Namun. nasib umpama menyebelahi Lee selepas mendapat idea untuk memberi nafas baharu kepada siri Fantastic Four sehingga berjaya mengubah sejarah komik dan menyelamatkan syarikatnya daripada muflis.

KONTROVERSI PENCIPTA SEBENAR WATAK ADIWIRA MARVEL

Selepas beberapa tahun Timely telah menukar nama kepada Marvel dan Lee seterusnya mencipta semula watak Thor, Iron Man, Spider Man, Daredevil, Hulk dan X-Men. Bagi episod bersiri pula beliau memperkenalkan siri Marvel Method.

Biarpun siri Marvel Method berjaya di pasaran, perselisihan antara Lee dan artis Marvel mula berlaku apabila mereka mempersoalkan bayaran yang sepatutnya diterima. Kemuncak kontroversi yang melanda Marvel apabila rakan baiknya Steve Ditko dan Jack Kirby meninggalkan syarikat tersebut masing-masing pada 1966 dan 1970. Paling mencuri tumpuan apabila Kirby mendakwa beliau merupakan pencipta watak adiwira terkenal Hulk, Thor dan Fantastic Four.

Kirby mendakwa Lee menggunakan kuasanya sebagai editor bagi mendapatkan kredit sebagai pencipta watak adiwira tersebut.

THE MIGHTY 7

Selain dikenali dengan watak ciptaannya, Lee juga pernah menghasilkan satu 'projek ganjil' dengan beliau sendiri bertindak sebagai watak utama. Komik berjudul Stan Lee's Mighty 7 yang dilancarkan pada 2012 dianggap sebagai buku komik realiti pertama di dunia biar pun hubungan antara watak realiti dan kandungan dalam komik tersebut sangat sedikit. Malangnya, siri komik tersebut tidak pernah ditayangkan manakala edisi cetakkan hanya sempat keluar tiga daripada enam episod.

HANYA MILIKI HARTA SEKITAR AS$50-70 JUTA

Melihat kepada kejayaan Lee di Marvel mungkin ramai yang beranggapan beliau sangat kaya namun, di sebalik kejayaan watak-watak adiwira ciptaannya, kekayaan Lee tidaklah sebesar mana. Harta beliau hanya dianggarkan sekitar AS$50 juta hingga AS$70 juta berbanding filem-filem menggunakan watak ciptaannya yang kini bernilai AS$21 bilion dan dijangka terus meningkat lagi.

Di Marvel, Lee hanya merupakan seorang pekerja dan tidak pernah memiliki hak ke atas karakter ciptaannya. Malah, pada tahun 2002 Lee pernah menyaman Marvel kerana mendakwa syarikat tersebut gagal mematuhi perjanjian untuk membayarnya 10 peratus daripada hasil keuntungan melalui filem yang menayangkan karakter ciptaannya. Bagaimanapun, kes tersebut diselesaikan di luar mahkamah tiga tahun selepas itu dengan beliau menerima wang kira-kira AS$10 juta.

TIADA PENGGANTI

Tanggal 12 November 2018, seluruh dunia dikejutkan dengan kematian Lee selepas menerima rawatan di Pusat Perubatan Cedars-Sinai di Los Angeles. Sejak setahun yang lalu, tahap kesihatan Lee merosot akibat menderita beberapa penyakit termasuk pneumonia dan masalah penglihatan.

Pemergian Lee pada usia 95 tahun merupakan satu kehilangan besar kepada industri komik dunia.