Benar, dia satu dalam sejuta. Permata yang bernama Siti Nurhaliza ini tidak perlu ditunjukkan lagi apa yang perlu dilakukan. Hanya perlu menjadi dirinya sahaja, itu sudah cukup membuatkan seisi peminat menyayanginya.

Menjadi saksi bersama 10,000 peminat yang membanjiri Axiata Arena, Kuala Lumpur minggu lalu, memberikan pengalaman baharu buat mereka yang pertama kali menyaksikan persembahan berskala besar begini.

Sorak-sorai penonton memenuhi segenap ruang stadium yang sudah dibanjiri penonton lewat petang lagi bagi menjadi saksi mata kepada kehebatan Konsert Siti Nurhaliza On Tour yang memasuki siri ketiga selepas Indonesia dan Singapura.

Apakah rahsia hebatnya Siti? Ini persoalan bermain dalam fikiran kebanyakan penikmat muzik yang mungkin tidak terlalu obses dengan dirinya?

Jika bercakap tentang suara dan sebagainya, Malaysia juga menghasilkan ramai penyanyi yang mempunyai kuasa vokal mantap dan rangkaian lagu-lagu yang sedap.

Tetapi mengapa Siti juga yang dipuja orang?

Persoalan ini yang tidak memerlukan jawapan khusus. Namun ramai beranggapan sikap mesra dan merendah diri ibu kepada Siti Aafiyah ini yang membuatkan dia terus menjadi jantung hati kepada peminat.

Kata orang, bila sudah berkuasa teruslah membumi. Penyanyi ini juga membuktikan yang sikap merendah diri menjadi azimat kepadanya untuk terus bertahan sebagai penyanyi disayangi ramai, barangkali.

Sikap-sikap begini apabila digabung jalin dengan produk berkualiti bakal memberikan impak yang baik. Dia juga mempunyai rangkaian lagu-lagu pelbagai genre yang secara tidak langsung memberikan kelebihan untuk menangkap telinga peminat.

PENGHARGAAN

LEBIH dua jam menghiburkan tetamu pada malam tersebut, tidak dinafikan Siti membawa seisi panggung mengenang kembali sejarah pembabitan dirinya sebagai anak seni sehingga ke hari ini.

Allahyarham Pak Ngah misalnya antara tangan yang banyak menaikkan nama Siti dalam genre irama tradisional. Begitu juga dengan Allahyarham Adnan Abu Hassan yang menghasilkan lagu balada.

Kedua-dua insan ini diberikan penghargaan khas dalam dua segmen yang berbeza secara tidak langsung memberikan mood berbeza-beza kepada penonton.

“Saya masih ingat bagaimana Allahyarham datang sendiri ke Kuala Lipis berjumpa dengan arwah ayah mempelawa saya menjadi penyanyi rakaman.

“Selepas itu saya kena ikuti sesi rakaman pula. Saya masih ingat kenangan naik bas loncat (henti-henti) daripada kampung ke Kuala Lumpur. Sampai di sini saya menumpang di rumahnya,” kata Siti mengenangkan kembali perjalanan seninya.

Tanpa bantuan dan kerja keras dua individu tersebut mungkin dia tidak berada di sini. Manisnya apabila dia terus memberikan penghargaan kepada mereka meskipun sudah meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Tidak cukup dengan itu, dia juga mengenang kembali peristiwa menjaga suaminya, Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di New Zeland pada penghujung 2012.

Empat bulan dia ‘berhenti’ menyanyi dan menjaga suaminya ketika itu. Pengalaman itu juga digambarkan menerusi lagu Jaga Dia Untukku yang banyak memberikan inspirasi kepada semua.

Sepanjang bergelar artis, Siti sudah merakamkan 25 buah album dan mempunyai 250 buah lagu. Dan malam itu, kurang 30 lagu dinyanyikan dan kebanyakan daripadanya dibawa secara medley dek kekangan waktu.