Tahukah anda, bahawa Kilafairy juga merupakan seorang pelakon dan penyanyi yang baik? Mungkin sudah tiba masanya untuk Kilafairy tampil dengan sesuatu yang meyakinkan dalam bidang kerjayanya. Tengoklah siapa emak dia, kan? Mesti percaya kerana serba sedikit si peramah ini akan mewarisi bakat orang tuanya yang memang handal menyanyi.

Selepas kali terakhir muncul dengan lagu Warna Cinta bersama Aliff Aziz yang juga merupakan alih bahasa daripada lagu Gerua dari filem Dilwale, Kilafairy kini muncul dengan single terbaharu berjudul Setia. Lagu Setia merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Irfan Aulia, gitaris kumpulan Samsons yang berasal dari Indonesia.

Muzik lagu itu lebih ke arah elemen balada yang sudah pastinya mudah menangkap deria pendengaran ramai. Ditambah kolaborasi dengan lirik yang ringan, selari dengan gaya muzik yang diminati sekarang, tidak sukar untuk lagu tersebut digilai ramai.

“Lagu Setia ini sangat kena dengan jiwa saya dan pastinya senang didengari oleh peminat muzik kita sendiri. Saya amat teruja dapat berkolaborasi bersama Irfan Aulia, salah seorang anggota kumpulan Samsons yang cukup terkenal dengan lagu hit Kenangan Terindah di sini dan Indonesia.

“Dia memberikan garapan melodi dan lirik puitis yang sangat indah dan saya bertuah sekali,” kata Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jahangir Khan.

Lagu ini juga adalah buah tangan terbaharu buat para peminat setia yang selama ini menyokong perjalanan kerjaya seninya sehingga dikenali ramai.

Anak kepada penyanyi Rohana Jalil (Juara Bintang RTM 1981) itu memulakan karier nyanyian menerusi single sulung berjudul Pasti pada 2012. Lagu-lagunya yang lain termasuklah Resolusi dan runut bunyi untuk filem Tihany iaitu Roman pada 2013.

Lagu Setia boleh dimuat turun di iTunes atau portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, Joox Music, KKBox, Raku, Spotify dan Yonder Music.