Siapa sangka, pengalaman mahal itu banyak mengajar mereka untuk sentiasa bersyukur dengan yang mereka ada hari ini. Mengingati kembali perkara yang pernah dilalui, tiada sekelumit rasa terkilan dibesarkan dalam keadaan tersebut.

Malah dengan perkaraperkara itulah menjadikan tiga anak seni popular ini mengecap kejayaan, sekali gus mampu menjadi inspirasi buat khalayak khususnya remaja yang mengimpilkan sebuah kehidupan yang berbeza suatu hari nanti.

Shuib hargai pengalaman lalu

MELALUI kehidupan yang sangat miskin, <strong>Shuib Sepahtu</strong> akui, bukan mudah untuknya yakin bahawa dia mampu mengubah hidupnya seperti yang dinikmati pada hari ini. 

“Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan malah boleh dikatakan kehidupan saya sangat daif ketika remaja.

"Sebagai anak tunggal, memang saya sudah dipersiap sebagai harapan dan sudah dibiasakan untuk mencari kerja membantu keluarga.

“Kemiskinan juga mewujudkan perbezaan hidup antara saya dengan kawan-kawan ketika itu. Ikutkan bukan mudah apabila kawan kita semua mempunyai motosikal, tetapi kita pula tidak mampu.

“Ini antara kenangan yang saya bawa sehingga kini yang menjadi pemangkin untuk saya mengejar impian dan berjaya,” kongsinya.

Dibesarkan sebagai anak kampung, pelawak ini juga tidak menafikan, masalah sosial menjadi antara cabaran berat untuk dirinya ketika itu.

“Memang apabila bercakap soal anak kampung, antara masalah utama adalah dadah. Saya tidak nafikan melihat sendiri perkara itu. Alhamdulillah saya tidak pernah terlibat.

“Walaupun miskin saya sentiasa berfikiran jauh, waktu itu saya boleh jangka yang akan saya lalui jika saya menjadi hamba bahan terlarang itu.

“Malah ternyata tanggungjawab sebagai seorang anak juga telah membuatkan saya lebih matang dalam membuat pilihan,” jelasnya.

Mengakui langkah dalam bidang seni mengubah keseluruhan hidupnya, Shuib atau Shahmira Muhamad, 33, bagaimanapun tidak menafikan, untuk berada pada kedudukan hari ini tidak dicapai dengan mudah.

“Sebelum menyertai program Raja Lawak, saya pernah bekerja dalam pelbagai bidang termasuk kerja kilang selama beberapa tahun. Apabila ada yang kata saya bernasib baik, saya tidak nafikan.

“Tetapi yang perlu mereka tahu juga adalah kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada nasib tanpa usaha keras,” katanya.

Menyampaikan nasihat buat anak muda yang melihat dirinya sebagai sumber inspirasi, kata Shuib, paling penting adalah untuk bersedia menghadapi cabaran.

“Cabaran masa kini lebih hebat dan itulah yang perlu mereka hadapi dan bersedia. Mungkin dahulu di kampung saya hidup dalam keadaan yang lebih ringkas tanpa telefon dan hiburan seperti sekarang.

“Tetapi kini budak kampung juga mempunyai akses yang sama dengan mereka yang tinggal di bandar jadi cabaran itu memang berbeza dengan zaman saya,” tambahnya.

Sedekah senjata Nabil

SEBELUM diangkat sebagai antara pengacara paling popular di Malaysia, dia sebenarnya bukanlah seorang yang berani di pentas.

“Yang saya ingat kehidupan pada waktu dulu sangat mudah dan tiada persaingan dalam kehidupan. Duit dalam poket ada RM5 pun boleh hidup sebab waktu itu, kawankawan saya juga melalui perkara yang sama.

“Sebagai orang yang selalu mencetuskan bahan ketawa, rakan mencadangan saya menyertai Raja Lawak dan itulah permulaan yang membolehkan saya berada pada tahap yang berbeza kini. Alhamdulillah... ” kongsinya.

Tidak pernah malu dipanggil budak kampung, kongsi Nabil atau Ahmad Nabil Ahmad, 34, kehidupan getir yang pernah dilalui banyak mengajarnya untuk sentiasa yakin dengan Allah.

“Saya tidak pernah malu dengan pengalaman lalu, bekerja sebagai penghantar surat dan hidup dalam keadaan atap  rumah bocor itu yang membentuk diri saya hari ini.

“Yang berlaku atas diri saya ini juga adalah satu kisah pelik. Bayangkan daripada seorang yang tidak ada pengalaman di pentas, saya kini berada pada tahap ini. Sebab itu saya sentiasa yakin dengan Allah,” katanya.

Selalu melihat sesuatu perkara dari sudut paling positif, Nabil turut berkongsi bagaimana kuasa sedekah mampu memberi kelebihan dalam kehidupan seseorang.

Katanya, itu antara amalan yang perlu diterapkan dalam diri setiap daripada kita terutama anak muda.

“Miskin atau kaya bukan alasan, jika kita ada RM2 sekalipun, ikhlaskan hati untuk bersedekah. Sebab saya sudah laluinya dan yang kita dapat kelak lebih indah ganjarannya.

“Tidak semestinya wang  ringgit, apa sahaja yang kita ikhlas, kudrat, senyuman contohnya, jangan pernah lupa untuk sentiasa bersedekah,” kongsinya.

Black imej baharu Pantai Dalam

MEMBESAR dalam kegelutan Bandar raya Kuala Lumpur, cabaran yang dilalui penyanyi ini mungkin berbeza dengan kehidupan mereka yang dilahirkan di kampung.

Kongsi Black Hanifah, kehidupan mudanya tidak seindah mana bila kawasan yang didiaminya menjadi antara daerah hitam yang dibelenggu masalah sosial.

“Dahulu bila sebut Pantai Dalam pasti yang terlintas adalah pelbagai masalah sosial dan memang saya akui melalui sendiri perkara itu. Bayangkan buka pintu rumah kita boleh lihat kejadian polis menangkap penjenayah.

“Kalau mahu kata terpengaruh mungkin itu yang akan berlaku, tetapi ketika itu yang saya fikir adalah saya tidak mahu melalui kehidupan yang sama dan saya mahu ubah persepsi orang luar tentang Pantai Dalam,” katanya.

Jauh meninggalkan kehidupan lalu dengan kejayaan dalam bidang seni, namun Pantai Dalam tidak pernah dilupakan oleh Black atau Hanifah Md. Hanafiah, 31.

Sentiasa menghargai pelbagai perkara yang dilaluinya dahulu, menjadi tanggungjawabnya kini untuk memberi inspirasi kepada remaja yang melalui perkara yang sama seperti dirinya.

“Pernah bekerja kilang, penjual ikan dan penghantar surat, impian saya adalah untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Namun pada masa sama, saya mahu buktikan kesulitan hidup yang dilalui bukan alasan untuk kami tidak mempunyai impian memiliki kehidupan yang lebih baik.

“Sebab itu jangan salahkan persekitaran kita kalau kita sendiri tidak mahu berubah sebab selain saya, ada antara rakan-rakan yang datang dari lokasi yang sama juga sudah berjaya.

“Jadi apa alasan untuk berada pada takuk yang lama?” tegasnya.

Sebagai antara penyanyi lelaki popular masa kini, bagaimanapun Black tidak menafikan, diskriminasi menjadi antara sebab dia sukar menyertai industri lebih awal.

“Saya tidak pernah kisah pandangan orang tentang saya sebab saya sudah lalui pelbagai cabaran. Pernah dinafikan bakat kerana sikap manusia yang pentingkan diri selain diskriminasi terhadap paras rupa.

“Saya tahu perkara yang sama sedang berlaku kini, tetapi nasihat saya kepada mereka yang mahu mengubah nasib dengan menyertai industri ini, jangan pernah penat mencuba kerana percubaan demi percubaan akan lebih menguatkan semangat kita untuk berjaya,” katanya.