Tidak menafikan sama sekali dakwaan tersebut, bagaimanapun Hans masih menunggu keputusan rasmi. Dia tidak menolak kemungkinan itu. Kepada Mega HITS, dia menjawab persoalan apakah langkah pertama sekiranya dia memegang jawatan tersebut.

MEGA HITS: Terus kepada soalan utama, benarkan ura-ura mengatakan anda bakal bergelar Pengerusi Finas?

HANS: Ramai yang bertanya, biar saya jelaskan. Benar saya ada dipanggil menghadiri tiga sesi temu duga bagi jawatan tersebut. Tapi bukan saya seorang sahaja. Ada beberapa pemain industri turut dipanggil.

Sekarang saya masih menunggu keputusan. Setakat ini, hanya ahli lembaga pengarah sudah menerima surat. Semua keputusan bergantung kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Maksudnya, anda bersedia untuk menggalas jawatan penting itu?

Ya, saya sudah bersedia. Memang satu tanggungjawab yang besar dan perlu memikul amanah ‘menjaga’ industri perfileman, tetapi saya sudah bersedia untuk jawatan tersebut.

Sekiranya diberi mandat memegang jawatan tersebut, apa perkara pertama yang anda akan lakukan?

Kalau diberi peluang, saya akan merombak industri ini seratus peratus. Kebajikan artis veteran khususnya akan diberi perhatian dan saya akan meneliti kembali persatuan yang ada.

Merombak keseluruhan industri? Termasuk dasar sedia ada?

Ya, saya kena tukar dasar sedia ada dan ini akan melibatkan semua penggiat industri tidak kira penerbit, pengarah dan juga pelakon. Saya sudah melalui semua itu.

Saya pernah lari dari industri kerana kecewa. Kita hanya banyak cakap tapi tidak ada tindakan. Kalau saya diberi peluang, saya akan tukar dasar yang ada. Semuanya!!

Apa yang dimaksudkan dengan kecewa? Kecewa dengan dasar atau orang dalam industri sendiri?

Saya sudah penat bercakap. Dari dulu, ramai yang cakap itu ini. Akan laksanakan pelbagai dasar tapi hasilnya? Tidak ada.

Kalau saya jadi pengerusi, saya akan laksanakan sistem kesamarataan kepada semua pihak.

Tidak ada isu politik atau agenda peribadi. Semuanya akan menerima dana yang sama. Tidak ada kegemaran atau berat sebelah. Kita harus menggunakan kemahiran yang ada di Finas.

Apa antara dasar yang bakal anda laksanakan sekiranya jawatan tersebut milik anda?

Semasa temu duga, saya bentangkan 15 dasar. Antaranya caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP). Saya pernah cadangkan perkara ini dan saya yakin, KWSP untuk pekerja industri boleh dilaksanakan.

Seandainya anda menjadi pengerusi, bersediakah anda untuk berganjak daripada menjadi pemain industri?

Saya akan tarik diri. Syarikat penerbitan saya tidak akan mengeluarkan produk menggunakan dana Finas. Saya akan keluarkan dana sendiri seperti sebelum ini.

Mendengar ketegasan anda, pasti ada yang ‘panas punggung’ sekiranya anda bergelar pengerusi?

Industri mana pernah suka saya. Orang tahu kelantangan dan ketegasan saya. Kita kena bergerak untuk masa depan industri. Saya bukan hendak membongkar semua, kita kena kaji selidik yang mana baik dan mana yang buruk.

Belum bergelar pengerusi, sudah ada yang mempertikai kemampuan anda. Komen?

Saya sudah berada dalam industri hampir 25 tahun, saya sudah lalui dan rasa semuanya. Ditipu, rugi itu ini dan macam-macam lagi.

Mungkin ramai tidak tahu tapi saya pernah menyelesaikan isu 80 buah rumah untuk penggiat seni.

Anak seni susah hendak buat pinjaman sebab itu saya akan usahakan caruman KWSP jika saya diberi peluang jadi pengerusi. Laksanakan keadilan dengan memberikan dana kepada mereka yang memohon menerusi laman web rasmi.