Mengimbas kembali tangga popularitinya, aura seni anak kepada pasangan pelakon seniwati Norsiah Yem dan komposer veteran Ali Ahmad cukup menyerlah dalam lakonan.

Antara lakonannya yang memberi kesan kepada penonton tentunya menerusi filem antaranya Ali Setan yang ditayangkan pada 1985, Balik Kampung (1986) dan Suara Kekasih (1986).

Waktu bergulir, pelakon dan penyanyi Ebby Saiful, 59, akui semakin selesa duduk di atas kerusi pengarahan di bawah produksi sendiri, Allstar Production.

Malah sehingga kini sudah lebih daripada 100 drama telah diarahkan antaranya Siapa Dia Sebenarnya.

“Masa saya kini lebih terarah dengan kerja-kerja pengarahan. Ya, saya akui sangat selesa dengan perkara yang sedang saya lakukan ketika ini.

“Memang ada yang menghubungi saya dan menawarkan peluang lakonan. Cuma secara jujurnya saya jawab, saya tidak mahu berlakon lagi kerana apabila saya bersetuju untuk kembali berlakon, sudah pasti saya terpaksa ‘mengorbankan’ rambut saya.

“Jadi tidak mengapalah, mungkin bukan rezeki saya. Kerana saya lebih berkeyakinan apabila berimej rambut panjang dan tak sanggup rasanya nak memotong pendek rambut saya.

“Lagipun zaman saya sudah berlalu, saya tidak lagi kejar glamor kerana saya sudah merasai semua itu. Biarlah industri ini dipenuhi dengan bakat-bakat baharu yang saya percaya mampu mengukir nama Malaysia hingga ke luar negara,” katanya.

Pun begitu, dia kini kembali untuk teater Pokok arahan U-Wei Shaari yang akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa Pustaka (DBP) bermula 7 Disember hingga 16 Disember ini.

Ebby Saiful akan melakonkan watak Darwis bergandingan dengan aktres Haliza Misbun sebagai isterinya, Mardiah yang sedang sarat mengandung.

Tinggal di sebuah rumah kecil, kediaman mereka dipayungi pokok raksasa yang bukan sahaja melindungi, namun pada masa sama turut mengancam keselamatan mereka.

Pentingkan personaliti penyanyi

SEBELUM pembabitannya dalam bidang lakonan, Ebby Saiful terlebih dahulu bergelar penyanyi serta seorang komposer dan sehingga kini masih lagi menerima undangan persembahan.

Menurut Ebby, minatnya dalam bidang nyanyian dan ciptaan lagu tidak pernah pudar malah dia mempunyai ratusan lagu yang telah siap, namun tersimpan dalam simpanan peribadinya.

Malah dia memasang impian untuk melihat karya-karya ciptaannya dinyanyikan oleh penyanyi berbakat seperti Liza Hanim, Hazama dan Dayang Nurfaizah.

“Saya bersyukur kerana dipinjamkan anugerah yang sementara ini untuk menghasilkan lagu-lagu yang sehingga kini sudah lebih daripada 200 lagu yang disimpan rapi.

“Semua lagu itu masih belum bertuan kerana saya masih tercari-cari penyanyi yang sesuai untuk membawakan lagu tersebut.

“Saya bukan bersikap memilih tetapi sebagai komposer sudah tentu kita ada hak untuk menentukan siapakah yang sesuai dengan karya yang dihasilkan.

“Saya tidak boleh beri sewenang-wenangnya sahaja kepada sebarang penyanyi kerana si pembawa lagu perlu ada jiwa.

“Saya mengagumi penyanyi seperti Dayang Nurfaizah, Liza Hanim dan Hazama. Saya juga tak segan untuk mengatakan mereka ini antara anak seni yang saya paling minat.

“Andai ada peluang, saya mahu mereka menyanyikan lagu-lagu hasil ciptaan saya, namun tiada paksaan buat mereka dalam pemilihan lagu.

“Saya akan beri mereka kebebasan untuk pilih lagu mana yang kena dengan jiwa mereka. Saya juga mementingkan personaliti penyanyi sebab hal ini akan membantu mereka menghayati lagu dengan mudah,” katanya.

Pernah menubuhkan kumpulan New Breed ketika usianya 19 tahun, Ebby juga kerap diberi tanggungjawab untuk menghasilkan lagu runut bunyi untuk filem dan drama.

Antara lagu-lagu yang popular termasuklah Bunga-Bunga Berguguran yang menaikkan nama aktres dan penyanyi Fauziah Datuk Ahmad Daud menerusi filem Suara Kekasih.