Lima tahun menyusun strategi, populariti bukan matlamat utama Sarah Hildebrand. Dia tidak mahu namanya hanya terpalit dengan cerita-cerita panas yang tidak membantu lakonannya.

Kuantiti peminat hanyalah satu bonus bagi seorang anak seni, namun apa yang lebih mustahak adalah bagaimana memahat lakonan berkesan dalam benak fikiran sesiapa yang menonton sesebuah naskhah.

Mengakui lakonannya pada awal kemunculan dalam industri sebagai ‘kayu’, dia belajar untuk terus memperbaiki. Dia juga tidak mahu tunduk dengan setiap satu kecaman dan kritikan warganet.

“2014 bermula titik tolak saya sebagai anak seni. Ketika itu, lakonan saya memang sangat kekok dan orang kecam sebagai pelakon kayu. Mula-mula kecewa dan sedih, tapi untuk apa saya melayan tenaga negatif seperti itu?

“Saya jadikan kutukan dan kecaman sebagai alasan untuk terus belajar. Saya masuk kelas lakonan. Memang pernah rasa putus asa dan penat, tapi itu semua satu cabaran.

“Saya tidak pernah menjadikan dunia lakonan sebagai taman tema untuk bermain. Ini adalah lubuk rezeki dan pentas untuk saya melampiaskan minat serta kesungguhan saya,” kata gadis berusia 29 tahun ini.

Melakonkan watak Nadine dalam drama yang mencetuskan fenomena Pujaan Hati Kanda, nama Sarah semakin menyinar. Dia kembali meraih perhatian peminat dengan watak antagonis.

Mengangguk setuju watak ‘jahat’ itu memercik tompokan warna indah yang cukup besar dalam kanvas seninya, Sarah sebenarnya bersyukur akhirnya peminat membuka mata bakat yang ada.

“Sebenarnya watak Nadine ini memang cukup memberi impak. Ramai juga yang geram dan tak puas hati dengan watak itu. Saya terima banyak sangat komen dan kecaman peminat.

“Cuma geram dan rasa marah itu hanya pada watak, bukan saya. Peminat sekarang sudah bijak membezakan realiti atau fantasi. Kalau geram dan marah, maknanya lakonan saya berjaya.

“Memang itu niat saya bila mula-mula dapat watak itu, nak buat orang benci Nadine. Seronok sebenarnya membawakan satu watak yang mencetuskan rasa marah serta geram peminat,” selorohnya.

Berakhirnya drama tersebut, ada yang bertanya, apa rencana seni Sarah? Tidakkah dia khuatir namanya akan kembali suram dan hanya menunggu sebuah naskhah hebat memanaskan kembali namanya.

Tidak pernah risau andai kata namanya dikaitkan dengan watak antagonis sahaja, Sarah menganggap itu semua sebagai cabaran sebagai pelakon untuk membentuk karakter sehingga berjaya.

“Memang ada orang benci saya sebab watak tersebut. Mereka cakap lakonan masih kayu, tak cukup impak dan sebagainya. Cuma bagi saya, biarlah, tak semua akan suka kita.

“Saya akan terus belajar dan memperbaiki lakonan. Sekarang saya mahu meluaskan bidang seni dengan mencuba mengacara pula. Saya bakal muncul dengan program berbentuk temu bual undang-undang.

“Gementar tunggu respons peminat tetapi, saya yakin mereka yang ikhlas menyokong akan memberikan komen positif walaupun berbentuk nasihat untuk saya belajar dan terus belajar,” katanya.

HARAPAN CINTA DAN PERKAHWINAN

 

UMUM mengetahui hubungan cinta antara Sarah dan pengacara, Nabil Mahir, mereka berdua bukan seperti segelintir artis yang susah membuka mulut tatkala ditanya soal cinta.

Selesa menyulam cinta bersama untuk lima tahun, ramai peminat menanti detik indah untuk mereka disatukan di atas pelaminan. Soalan itu acap kali ditanya kepada pasangan ini.

Tidak mahu kahwin lambat, itu adalah jawapan Sarah. Namun, manusia hanya mampu merancang, tuhan penentu segalanya. Kesibukan mereka membataskan rencana untuk menjadi kenyataan.

“Saya pun sudah 29 tahun, memang cukup ideal untuk mendirikan rumah tangga. Bukan sahaja peminat, rakan dan keluarga juga tanya soalan sama. Cuma jawapan itu tidak ada pada saya atau Nabil.

“Kami memang merancang untuk mendirikan rumah tangga, cuma mungkin belum waktunya. Masing-masing sibuk dan kalau boleh, saya tidak mahu tergesa-gesa atau buat cincai untuk majlis perkahwinan,” katanya.

Berbicara tentang Nabil, sifat kelakar dan tidak mudah melatah menjadikan lelaki itu cukup istimewa di hati Sarah. Dia sentiasa selesa dan tenang di samping lelaki itu.

“Dia suka bergurau dan tidak pernah serius sebenarnya. Mungkin bagi segelintir orang, itu tanda belum matang. Cuma bagi saya, Nabil seorang yang cukup istimewa. Dia matang dan pada masa sama, menceriakan hidup saya.

“Kalau saya tertekan atau rasa kecewa dengan apa juga masalah, dia hadir menghadiahkan senyuman kepada saya. Dia buat saya rasa seperti semua masalah boleh diselesaikan,” tambahnya.

Menjawab persoalan warganet apabila videonya bersama Nabil dikecam baru-baru ini, Sarah berkata, video tersebut sebenarnya sudah lama dalam simpanan. Aksi bergurau yang ditonjolkan itu juga sudah biasa dilalui mereka.

“Nabil memang suka mengusik saya. Kadang-kadang dia jatuhkan barang saya, curah air atas kepala dan macam-macam lagi. Tapi, itu adalah Nabil. Saya sayang dia kerana itu,” kata gadis kacukan Melayu-Amerika ini.

OH, INI SARAH RUPANYA...

1 Mula melibatkan diri dalam industri sekitar 2014 apabila menyertai sebuah program realiti mencari pelakon. Drama pertama lakonannya Hujan Pagi membawakan watak Ati.

2 Mula menjalinkan hubungan cinta dengan Nabil sebelum melangkah ke dalam industri seni lagi. Hubungan mereka bukan rahsia dan peminat cukup suka melihat gelagat pasangan ini.

3 Mempunyai wajah persis pelakon Hollywood, Kristen Dunst. Tidak pernah menjadikan wajah kacukan sebagai satu kelebihan, Sarah tetap berusaha mencipta nama dengan bakat yang ada.

4 Berguru dengan pengarah teater Inggeris terkenal Nicole Ann-Thomas yang menggunakan teknik biomechanics bagi memantapkan lagi lakonannya. Sarah juga ingin berlatih bersama Fauziah Nawi.

5 Mula memakai tudung selepas setahun mencebur diri dalam industri. Pun begitu, dia terbuka untuk menerima apa sahaja watak yang bersesuaian dengan imej terkini.