Kedua-duanya berharap agar penggambaran drama Hero Seorang Cinderella selesai seperti yang dijadualkan kerana tidak mahu tergopoh-gapah dalam membuat persediaan berhari raya.

“Sebenarnya dari segi persediaan awal semua sudah dilakukan tetapi setiap kali raya mesti ada yang dilakukan pada saat-saat akhir dan itu yang kalau dapat cuti awal, lebih senang,” kata Fazura.

Fattah yang saban tahun menyambut detik Syawal di Bagan Datoh, Perak, juga memberitahu yang persiapan untuk meraikan lebaran sudah dilakukan dan tahun ini dia beraya dengan 200 koleksi baju Melayu.

“Jumlah itu adalah kuota untuk saya atas kerjasama dengan Altelia Amani. Itu pun sudah terlalu banyak sebenarnya,” jelasnya.

Kata Fazura yang memiliki 35 pasang baju kurung daripada jenama butiknya sendiri, House Of Doll:

“Setiap tahun saya akan pulang beraya di Pekan, Pahang dengan keluarga.

“Tiada yang berbeza berbanding sebelum ini cuma mungkin disebabkan drama yang sedang ditayangkan.

“Mungkin lebih ramai tetamu yang akan saya terima dan sebagai seorang artis, itu bukanlah satu perkara besar.”

Dikaitkan dengan hubungan intim, timbul pertanyaan sama ada mereka akan saling kunjung-mengunjungi ke rumah masing-masing sempena Syawal ini.

Fazura dengan nada seloroh berkata, mungkin mereka akan menziarah antara satu sama lain jika berkelapangan.

“Kalau ada masa, boleh sahaja berkunjung ke rumah satu sama lain.

“Sebagai mengeratkan hubungan silaturrahim antara sahabat,” jelasnya yang mengambil cuti selama empat hari untuk sambutan Syawal tahun ini.

Bermula dengan lakonannya yang dianggap ‘kayu’, Fattah kemudian terus berusaha tetapi tetap mendapat kecaman menerusi hal lain pula. Antaranya termasuklah buku yang dihasilkan, hubungannya dengan Neelofa dan juga peminatnya yang terlalu fanatik.

Kesemua ini mengundang kecaman buat Fattah dan dia mengakui, tidak sedikit pun terkesan dengan perkara itu.

“Saya sudah lali dikecam sejak saya mula terlibat dengan industri seni sampailah sekarang dan semua itu saya ambil sebagai penguat semangat saya.

“Sebelum ini pun saya sudah beritahu, kejayaan saya hari ini adalah kerana usaha dan komen-komen negatif yang dilemparkan pada saya sebelum ini,” jelasnya.

Ada individu yang apabila dikritik akan mula berdendam dan mengambil keputusan untuk tidak memaafkan orang lain.

Tetapi bagi Fattah, dia tidak mahu mengambil tindakan sedemikian rupa. Memaafkan seseorang itu menurut Fattah adalah lebih penting daripada dimaafkan.

“Industri kita ini kecil. Pergilah jauh mana sekalipun, pasti akan bertemu kembali satu hari nanti.

“Jadi, buat apa nak bermusuhan dengan sesiapa sedangkan kita boleh ambil keputusan untuk memaafkan dan menjernihkan keadaan,” jelasnya.

Cuba kawal peminat

KETIKA ini sambutan peminat terhadap Fattah sememangnya tidak dapat dinafikan. Apa sahaja yang dibuat atau ke mana sahaja lokasi dia berada pasti akan diserbu.

Sikap fanatik sebegini bagi sesetengah peminat ada buruk dan baik. Dari sudut positif, sudah pasti ini adalah bukti jaminan kukuh kestabilan kerjaya seseorang pelakon.

Negatifnya pula menyaksikan ada antara peminat yang nampaknya gagal mengawal emosi sehingga mengeluarkan perkataan yang kurang enak kepada orang lain.

Perkara itu sekali gus menjadi perbalahan dan secara tidak langsung memberi kesan yang tidak baik kepada pelakon. Tidak hanya bergaduh sesama peminat sahaja, jika ada artis lain yang tercuit, artis pujaan mereka juga akan dikecam dengan kata-kata yang negatif.

Bagi Fazura dan Fattah, yang berlaku melibatkan peminat mereka bukanlah sesuatu yang boleh dikawal apatah lagi masing-masing mempunyai pendirian dan pendapat tersendiri.

Namun kedua-duanya lebih senang untuk mengawal keadaan dengan memberi inspirasi kepada peminat mereka untuk sentiasa positif.

“Dalam setiap status saya di Instagram, pasti akan diselitkan ayat seperti #doayangbaikbaik dan #cakapyangbaikbaik.

“Itu antara langkah saya kepada rakan-rakan dan peminat untuk tidak membuat tuduhan dan komen-komen yang tidak baik,” jelas Fattah.

Menurut Fazura pula, sebagai pelakon sememangnya kehadiran peminat dan haters (pembenci) juga sama penting buat pelakon.

“Haters sebenarnya membuatkan persaingan itu menjadi lebih sihat.

“Kalau asyik memuji sahaja tak seronok juga. Apabila ada haters yang hadir dengan kritikan, itu akan memberi seseorang itu semangat untuk terus tampil dengan lebih baik,” jelasnya.

Seperkara yang turut berkait dengan Fattah dan Fazura yang terkenal dengan gelaran #Fattzura adalah apabila peminat mula membandingkan drama yang dilakonkan dengan drama-drama pelakon lain.

“Setiap drama ada nilainya tersendiri dan bagaimana seseorang pelakon itu mewujudkan hubungan antara wataknya dengan watak lain dalam sesebuah drama.

“Perbandingan ini sebenarnya sesuatu yang tidak baik dan untuk artis jadi adalah penting untuk mereka mengawal diri daripada membalas semula komen-komen seperti ini,” ujar Fazura.

Fattah pula melihat setiap drama mempunyai kekuatan masing-masing dan itu juga sebahagian penat lelah seseorang pelakon menonjolkan wataknya. Justeru tidak perlu dibanding-bandingkan sesebuah drama dengan drama lain, katanya.