Pernah popular menerusi lagu Tipah Tertipu dan Marilah Bergoyang, banyak perkara telah dilalui mereka sepanjang 10 tahun penglibatan dalam industri muzik tempatan.

Entah berapa kali bertukar ahli, Ruffedge pernah dianggap sudah berkubur lantaran menyepi daripada album baharu serta kurangnya tawaran persembahan dalam kaca televisyen.

Bagaimanapun, kemunculan semula Ruffedge pada majlis Anugerah MeleTop 2018 membuktikan bahawa kumpulan pop dan R&B ini masih bernyawa.

Kembali ke persada seni dengan enam orang anggota, Amer, 42; Cat Farish, 45; Azan Addin, 45; Zain Hamid. 41; Mode, 44; dan Sein, 36, sudah bersedia berjuang kembali dalam dunia hiburan dengan meletakkan pendekatan yang lebih matang serta nawaitu yang lebih jitu.

“Alhamdulillah perjalanan untuk kami berkumpul semula dalam satu kumpulan dipermudahkan. Mungkin kesempatan ini kerana Allah memberi kami peluang kedua untuk memperbetulkan apa kesilapan yang pernah kami lakukan sewaktu muda dahulu.

“Sepuluh tahun kami tidak muncul sebagai Ruffedge kerana kesemua ahli ada kerjaya dan komitmen masing-masing. Namun, perasaan rindu itu tidak pernah hilang. Sebenarnya sejak 2016 kami sudah merangka untuk kembali bersatu, namun ketika itu tidaklah terlalu bersungguh.

“Keduanya, antara sebab lain kami bersatu semula adalah kerana rindu untuk menyanyi dan kembalikan semula semangat Ruffedge yang tak pernah hilang walaupun lebih 10 tahun membawa haluan masing-masing, “ jelas Azan mewakili anggota lain.

Mengubat kerinduan seluruh peminat dengan mengadakan Konsert Ulang Tahun Ke-20 Ruffedge yang berlangsung di KL Live pada Ogos tahun lalu, jelas Zain, dia sama sekali tidak menyangka sembang santai dengan Mode, Azan dan Amer pada Ramadan 2017 membawa kepada penyatuan semula anggota Ruffedge.

“Ketika itu kami berbual santai tentang reunion Ruffedge dan perkara itu tidaklah berlangsung dalam keadaan yang serius kerana masing-masing sibuk dengan komitmen lain.

“Tidak sangka ia menjadi kenyataan apabila masing-masing memberikan persetujuan dan lebih menarik ia menyatukan semua ahli menjadikan Ruffedge bergerak dengan enam orang ahli,” jelas Mode.

Ubat kerinduan

BERSATU hati untuk meraikan semula ‘muzik Ruffedge’ yang pernah digilai peminat dahulu, kumpulan penyanyi yang popular dengan lagu Da Bomb ini mempunyai strategi tersendiri untuk menarik peminat muda masa kini.

“Kami tetap akan kekal dengan muzik yang telah kami bawa sejak dahulu. Mungkin ada perubahan sedikit untuk memberikan kematangan dalam muzik tersebut, namun kami menolak sekiranya diminta untuk berubah genre kepada muzik yang lain.

“Muzik ada putarannya. Mungkin untuk menarik minat anak-anak muda dengan muzik R&B agak sukar, namun saya yakin jika muzik itu bagus sudah tentu boleh diterima tidak kira zaman apa sekalipun ia dilancarkan,” jelas Cat yang baru sahaja melancarkan single terbaharu Ruffedge yang berjudul Seperti Mereka.

Tidak kisah menerima sebarang kritikan atau rasa tercabar terhadap kehadiran artis baharu, jelas Sein, perkembangan teknologi masa kini menjadikan peluang lebih mudah untuk mereka mengumpul peminat baharu berbanding dahulu.

“Apa sahaja komen tentang Ruffedge, kami tidak lihat sebagai kritikan, sebaliknya rasa lebih kepada ambil berat.

“Jika kami ragu mengenai kemampuan sendiri, mungkin Ruffedge tidak kembali. Kami tidak melihat penyanyi baharu sebagai saingan kerana 
masing-masing mempunyai daya tarikan tersendiri,” jelasnya lagi.

Rezeki dan kerjaya

PERLU memberi fokus yang mendalam terhadap Ruffedge, menurut Mode, mereka telah melakukan yang terbaik untuk menaikkan semula jenama kumpulan ini.

“Buat masa sekarang kami memberi fokus terhadap apa yang ada di hadapan mata. Sekiranya takdir menentukan rezeki kami bersama Ruffedge, jadi tiada masalah sekiranya membelakangkan buat sementara waktu kerja seni masing-masing.

“Hal ini disebabkan kami percaya terhadap rezeki Tuhan. Biarpun bersungguh-sungguh tetapi jika takdir tidak berpihak kepada kami, jadi tiada gunanya jua.

“Ini kerana bukan tugas kita sebagai manusia untuk mengawal setiap perkara melainkan berusaha bersungguh-sungguh mengikut rezeki yang ditentukan Allah kerana Dia sahaja yang menentukan segala-galanya,” luahnya.