Poster Pesta Kumpulan Gitar Rancak Tour 2018.
Poster Pesta Kumpulan Gitar Rancak Tour 2018.

Tidak hairanlah gitaris berasal dari Sweden ini  menjadi idola ramai pemain gitar tempatan termasuk mereka yang terpengaruh dengan skil petikan gitar serta gaya persembahan beliau.

Malah, konsert penghargaan Tribute To Yngwie Malmsteen juga akan dijayakan oleh ramai gitaris dan kumpulan rock tanah air sebagai mengenang sumbangannya itu pada 8 September ini.

Menurut wakil pihak penganjur, Kombat, konsert yang akan diadakan di Panggung Asia, Jalan Gombak, Taman Setapak, Kuala Lumpur, itu adalah julung-julung kalinya diadakan di sini.

“Ini salah satu siri konsert bergerak Pesta Kumpulan Gitar Rancak Tour 2018 yang diadakan sebelum ini, tetapi kali ini ia memfokuskan penghargaan kepada Yngwie sebagai gitaris ikon.

“Untuk konsert dengan tiket berharga RM30 itu, kami akan menjemput ramai gitaris seperti Man Keedal dan Joe Burnmark yang memang merupakan peminat setia Yngwie,” katanya.

Selain itu katanya, kumpulan rock Malex, Orion, Raven dan Eddy & Uchop juga akan beraksi pada mulai pukul 3 petang selain pelbagai lagi acara termasuk cabutan nombor-nombor bertuah.

Ujar Kombat, para pemenang antaranya akan mendapat hadiah berupa gitar yang ditandatangani oleh Yngwie serta tiket-tiket bagi menyaksikan konsert gitaris itu pada 29 September ini.

“Konsert itu bagi menyemarakkan lagi persembahan sulung Yngwie yang akan diadakan di Dewan Wawasan, Menara PGRM, Cheras, Kuala Lumpur, pada 29 September ini pukul 8 malam.

“Melalui cara ini, golongan gitaris tempatan dan peminat Yngwie berpeluang mengimbau nostalgia beliau yang telah terbabit dalam dunia muzik sejak hampir 40 tahun lalu,” jelasnya.

Selain Malaysia, Yngwie yang pernah menjadi gitaris kumpulan rock Rising Force akan berkunjung ke Sepanyol, China dan Amerika Syarikat dalam siri konsert jelajahnya sepanjang bulan ini.