Memilih untuk mengetengahkan lagu rakyat sebagai satu kelainan, Marsha dan Velvet sepakat mendendangkan sebuah naskhah yang diberi judul Sumandak Sabah.

Meskipun sering tertangguh dek kesibukan jadual kerja, namun mereka berdua amat berpuas hati apabila lagu ciptaan vokalis Estranged iaitu Rich yang juga suami kepada Velvet mendapat sambutan baik pendengar.

Sejak mula dilancarkan pada Mei lalu, ternyata penantian Marsha mahupun Velvet berbaloi setelah klip video rasmi lagu berkenaan hampir mencecah lima juta tontonan.

Mengulas perancangan kolaborasi anak kelahiran Sabah itu, Marsha atau nama lengkapnya Marsha Milan Londoh menjelaskan, mereka sudah merancang kira-kira sedekad lalu.

“Selepas tamatnya AF, kami mula berkawan baik.

“Semakin lama, persahabatan bertambah erat dan kami bercadang untuk berkolaborasi dalam sebuah lagu.

“Memandangkan masing-masing masih mentah dan baharu dalam muzik tanah air, kami putuskan untuk menunda rancangan tersebut.

“Kini selepas 10 tahun, impian untuk bekerjasama terlaksana selepas penghasilan Sumandak Sabah,” ujar Marsha.

Menyedari bakal berhadapan kesukaran untuk memastikan penerimaan pendengar terhadap lagu bercorak kerakyatan, Marsha dan Velvet optimis memikirkan halangan mendatang.

Tambahan pula, kejayaan lagu bertema serupa, Itik Gembo-Gembo nyanyian kumpulan A to Z yang popular sekitar tahun 90-an menyuntik semangat kepada mereka untuk menyahut cabaran.

Dalam masa yang sama, Velvet atau Velvet Lawrence Aduk berkata, dia menaruh harapan seandainya Sumandak Sabah diangkat sebagai lagu rasmi pertandingan ratu cantik yang sering dianjurkan di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Penganjuran Unduk Ngadau saban tahun yang mempertandingkan kecantikan serta kecerdikan gadis-gadis atau disebut sumandak dalam bahasa Kadazan Dusun adalah platform terbaik untuk lagu tersebut dikomersialkan.

“Memandangkan sambutan baik daripada peminat muzik tempatan, kami berharap satu hari nanti lagu ini dijadikan penyeri melatari pertandingan Unduk Ngadau.

“Seperti mana yang diraih oleh lagu Tanggal 31 Ogos nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, begitulah harapan kami agar Sumandak Sabah mendapat impak serupa,” ujarnya teruja.

Bahkan, lirik lagu yang menceritakan kepelbagaian etnik lokal itu turut sesuai dijadikan simbolik perpaduan negeri Borneo dalam meraikan Pesta Keamatan Sabah, di samping usaha memartabatkan kuasa kaum wanita di mata umum.

Tidak menafikan tindakan mereka untuk tampil berbeza menerusi lagu berbentuk kerakyatan bakal mengundang risiko. Kedua-dua sahabat baik itu cuma mampu bersangka baik dengan penerimaan khalayak.

Apatah lagi, menggunakan dialek tempatan iaitu bahasa perantaraan kaum Kadazan Dusun dalam lirik lagu itu, ternyata menggandakan kerisauan dua wanita tersebut.

“Sewaktu ingin menghasilkan lagu, kami bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal dihadapi. Rich sendiri selaku komposer telah memikul tanggungjawab sebaik mungkin untuk memastikan Sumandak Sabah bersifat universal atau menyeluruh.

“Meskipun kebanyakan lirik lagu berdialek tempatan, tetapi ada beberapa bahagian kami terjemahkan ke bahasa Melayu untuk pemahaman pendengar.

“Secara tidak langsung, lagu ini mendidik orang luar memahami dialek Sabah,” jelas Marsha memberi penerangan.